Bandai Namco bersama pihak pembangun, Media.Vision, mengumumkan kemas kini percuma untuk Digimon Story Time Stranger yang bakal dilancarkan pada 9 Julai 2026. Patch baharu ini akan membawakan beberapa ciri paling kerap diminta oleh peminat, termasuk playable character baharu, fungsi Photo Mode, pilihan prestasi visual, serta penambahbaikan quality-of-life.
Kemas kini ini dilancarkan bersempena dengan pelancaran game tersebut ke platform baharu. Walaupun RPG monster-taming ini asalnya dikeluarkan pada Oktober 2025 untuk PlayStation 5, Xbox Series X/S, dan PC, ia akhirnya akan membuat kemunculan di Nintendo Switch dan Nintendo Switch 2 pada 9 Julai 2026. Oleh itu, pemain di konsol Nintendo boleh menikmati semua kandungan baharu ini pada hari pertama pelancaran.
Berikut adalah beberapa kandungan yang bakal dibawakan:
- Terriermon Assistant (Playable Character): Kita boleh membawa Terriermon Assistant masuk ke dalam pasukan Digimon. Variasi unik ini boleh dibuka melalui ‘Mode Change’ daripada Terriermon biasa. Dia juga boleh bertenggek di atas bahu pemain semasa meneroka kawasan luar. Dalam combat pula, serangan khasnya iaitu “Dai-Badgy-Gu” dijamin akan mengurangkan salah satu stat musuh secara rawak sebanyak 60% selama satu pusingan.
- Sistem Jejak Digivolution di Digifarm: Sejak dilancarkan pada tahun 2025, antara isu yang sering memeningkan pemain adalah proses menjejaki laluan evolusi yang leceh. Sebelum ini, pemain terpaksa menghafal, menulis secara manual, atau mengambil gambar untuk menyemak syarat evolusi Digimon mereka. Isu ini akhirnya diselesaikan melalui pengenalan skrin ‘Digivolution Conditions’ terus di dalam Digifarm, lengkap dengan fungsi ‘Digivolution History’ bagi memudahkan pemantauan proses evolusi.
- Pilihan Graphic Mode: Pemain konsol boleh melaraskan kualiti visual mengikut cita rasa masing-masing. Pilihan ‘Graphic Mode’ membolehkan pemain bertukar antara mod Quality atau mod Performance dengan frame-rate yang sasar 60 FPS. Bagi pengguna Switch 2, Bandai Namco mengesahkan bahawa mod Quality akan menyokong resolusi asli 4K pada kadar 30 FPS (serta sokongan HDR) apabila berada dalam mod docked, manakala mod Performance pula akan menawarkan resolusi 1080p pada kadar 60 FPS.
- Photo Mode: Ciri ‘Photo Mode’ membolehkan pemain menghentikan seketika permainan semasa meneroka kawasan luar untuk mengambil gambar. Anda boleh menangkap dan mengubah suai gambar watak bersama-sama Digimon kegemaran.
Kemas kini percuma ini akan ditawarkan kepada pemain PlayStation 5, Xbox Series X/S, dan PC bermula 9 Julai 2026. Bagi pemain Nintendo Switch dan Switch 2 pula, kesemua ciri baharu ini sudah sedia ada dalam Digimon Story Time Stranger apabila ia dilancarkan pada hari yang sama.









Discussion about this post