Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Reviu The Adventures of Elliot: The Millennium Tales – Bukti Genre RPG HD-2D Mampu Berevolusi

Razin Syafiq by Razin Syafiq
June 17, 2026
in Action, Artikel, Berita, Game Review, Microsoft, Nintendo Switch 2, PC, PS5, Review, RPG, Steam, Xbox Series X|S
0 0
0
Reviu The Adventures of Elliot: The Millennium Tales – Bukti Genre RPG HD-2D Mampu Berevolusi
Share on FacebookShare on Twitter

Sebut sahaja gaya visual HD-2D daripada Square Enix, pastinya sistem combat turn-based yang perlahan dan taktikal yang bermain di minda kita. Bagaimanapun, menerusi The Adventures of Elliot: The Millennium Tales, pihak pembangun tampil berani membawa kelainan dengan menambah elemen aksi real-time ke dalam gameplay.

Tanpa melengahkan masa, berikut adalah ulasan kami.

Pengembaraan Aksi HD-2D Baharu

Dibangunkan oleh Square Enix dengan kerjasama Claytechworks, The Adventures of Elliot merupakan percubaan pertama mereka untuk menghasilkan sebuah RPG aksi berlandaskan visual HD-2D yang sinonim dengan jenama tersebut.

Berbeza dengan judul HD-2D sebelum ini yang didominasi oleh sistem combat turn-based, game ini menggabungkan visual berkenaan dengan gameplay aksi real-time berinspirasikan pengembaraan klasik.

Pengembaraan ini membawa kita ke Philabieldia, sebuah benua makmur yang kini di ambang kemusnahan akibat kebangkitan puak raksasa ganas. Kingdom of Huther (antara kubu kuat terakhir manusia) terselamat hasil daripada sihir perlindungan milik Princess Heuria, lalu membawa keamanan yang dikenali sebagai Age of Safekeeping.

Namun, apabila keselamatan kerajaan tersebut terancam, Elliot perlu merentasi masa menggunakan Doorway of Time demi menghalang sejarah daripada diubah.

Mujurlah, Elliot tidak perlu menempuh misi ini sendirian. Dia ditemani oleh Faie, seekor pari-pari comel yang memainkan peranan penting dalam jalan cerita mahupun mekanik gameplay.

Keserasian mereka berdua menjadi nadi pengembaraan, membuatkan Faie terasa lebih daripada sekadar watak sampingan, malah bertindak sebagai pelengkap kepada abiliti Elliot sendiri.

Plot Klise Tetapi Persembahan Sinematik Sangat Teliti

Boleh dikatakan, aspek naratif merupakan kelemahan terbesar dalam The Adventures of Elliot. Jalan ceritanya masih bergantung kepada kiasan fantasi yang klise, dan jarang sekali mencapai tahap emosi mahupun tema seperti judul-judul HD-2D Square Enix yang lain.

Walaupun premis tentang pengembaraan masa dan usaha memelihara sejarah amat menarik, pelaksanaannya dirasakan agak ringkas dan ‘straightforward’.

Di sebalik kelemahan itu, cara cerita dipersembahkan menunjukkan ketelitian yang tinggi. Setiap adegan dihasilkan dengan gaya sinematik yang menyatu bersama persekitaran permainan, malah diperkuatkan lagi dengan lakaran watak yang ekspresif serta lakon suara penuh.

Nilai produksi sebegini memberikan impak yang besar walaupun pada babak cerita yang ringkas.

Satu butiran kecil yang amat mengagumkan adalah paparan ikon rakan sekutu di sudut kiri bawah skrin. Berbanding bergantung kepada animasi Live2D atau 3D biasa, potret watak menggunakan animasi lukisan tangan sepenuhnya yang memberikan lebih banyak personaliti.

Walaupun Faie menerima tumpuan utama kerana sentiasa berada di sisi Elliot, tahap butiran yang sama turut diberikan kepada Princess Heuria sewaktu dia menemani kita seketika. Usaha menghasilkan animasi se-ekspresif ini untuk bahagian yang terhad jelas membuktikan dedikasi tinggi daripada pasukan pembangun.

Keindahan Dunia HD-2D Tanpa Skrin Loading

Dari sudut visual, The Adventures of Elliot merupakan antara contoh terbaik bagi gaya seni HD-2D Square Enix, malah kualitinya sangat bersaing rapat dengan judul popular seperti Octopath Traveler II.

Premis merentas masa membolehkan pemain meneroka pelbagai era berbeza yang masing-masing membawakan suasana serta identiti persekitaran tersendiri. Biarpun berkongsi struktur asas peta yang hampir sama, setiap lokasi terasa unik hasil hala tuju seni, sistem pencahayaan, dan persekitaran yang mengagumkan.

Selain itu, dunianya menawarkan peralihan lancar yang sangat memuaskan. Sebagai contoh, apabila masuk ke dalam rumah NPC, kamera akan mengezum ke arah Elliot secara semula jadi tanpa diganggu skrin loading.

Melainkan semasa memasuki dungeon atau fasiliti besar yang lain, keseluruhan fasa pengembaraan di kawasan terbuka terasa sangat lancar.

Satu-satunya kekurangan yang agak menjengkelkan adalah kesan pencahayaan di beberapa kawasan yang kadangkala terlalu silau, lantas memaksa kita melaraskan tetapan kecerahan skrin demi keselesaan mata.

Nostalgia Klasik ala Zelda dan Kebebasan Meneroka Rahsia

Fasa eksplorasi merupakan antara tarikan utama game ini. Dunianya yang luas dipenuhi pelbagai rahsia, kawasan pilihan, dan ganjaran berbaloi yang membuatkan kita mahu meluangkan masa meneroka berbanding terburu-buru menamatkan kempen utama.

Bagaimanapun, beberapa jam terawal permainan boleh terasa agak menyekat. Kebanyakan laluan dihalang oleh rintangan seperti runtuhan dinding atau bongkahan batu besar yang memerlukan alatan tertentu untuk diatasi.

Sebagai contoh, bom untuk meletupkan halangan tertentu hanya boleh diperoleh selepas kita tiba di Age of Reconstruction. Reka bentuk sebegini membuatkan fasa permulaan terasa agak menjengkelkan kerana terlalu ‘dipandu arah’.

Nasib baik, sekatan ini akan berkurangan lama-kelamaan. Sebaik sahaja Elliot mengumpul lebih banyak abiliti dan peralatan, aktiviti meneroka menjadi jauh lebih berbaloi kerana kita boleh kembali ke lokasi lama untuk mengakses kawasan rahsia.

Tidak dapat dinafikan, game ini banyak menerapkan mekanik pengembaraan klasik yang membangkitkan nostalgia game klasik The Legend of Zelda dan Ys. Kebolehan melompat juga membolehkan Elliot menempuh cabaran platforming semasa meneroka dungeon.

Malah, mekanik kecil seperti menebas rumput tinggi untuk mencari barangan turut disertakan, biarpun rumput tersebut boleh melambatkan pergerakan pemain jika sekadar meredahnya. Unsur interaksi fizikal seperti membuatkan musuh merempuh dinding sehingga stun turut menambah dinamik kepada taktik combat.

Aktiviti santai seperti memecahkan tong kayu dan periuk, mencari harta karun, serta bersiar-siar di dalam dunianya pula mengekalkan tempo pengembaraan yang rancak dan menghiburkan.

Cabaran serta Ganjaran Misi yang Menghargai Pemain

Dunia The Adventures of Elliot padat dengan kandungan sampingan. Pemain boleh meneroka dungeon pilihan untuk mendapatkan ganjaran mata wang yang lumayan serta equipment yang kuat.

‘Shrine’ pula menyajikan antara cabaran paling menyeronokkan dalam game ini. Di sebalik menawarkan combat tradisional, lokasi ini berfungsi sebagai ‘laluan berhalangan’ yang menguji refleks serta kecekapan pemain menyelesaikan teka-teki.

Tahap kesukarannya juga bertambah seiring kemajuan permainan, lebih-lebih lagi apabila abiliti sihir Faie mula diperlukan untuk melepasi halangan yang lebih rumit.

Side quest juga dihasilkan dengan sangat baik. Walaupun bersifat pilihan, kebanyakannya menyajikan naratif yang menarik di luar plot utama serta menawarkan ganjaran yang berbaloi. Aksesori yang diperoleh daripada tugasan ini dapat meningkatkan kekuatan Elliot secara drastik, membuatkan usaha kita terasa dihargai.

Game ini turut menambah aktiviti mencari kucing-kucing yang tersembunyi di seluruh pelosok dunia. Walaupun aktiviti ini biasanya menjadi senarai tugasan yang membosankan, ganjaran yang ditawarkan sangat menggalakkan pemain untuk terus meneroka dan menghargai reka bentuk dunia permainan dengan lebih mendalam.

Eksperimen Gaya Lawan dengan Magicite dan Gandingan Faie

Sistem combat dalam game ini nampak agak ‘simple’ pada permulaan, namun menawarkan tahap mekanik yang agak mengejutkan sebaik sahaja kita mula bereksperimen.

Kawalan asasnya sangat mesra pengguna: Elliot hanya dibekalkan dengan serangan biasa, charged attack, dan perisai pertahanan untuk bertarungan. Ketiadaan kombo yang rumit atau teknik yang sarat dengan visual gempak mungkin akan membuatkan peminat tegar aksi teknikal mendapati asas game ini terlalu bersahaja.

Bagaimanapun, variasi combat sebenar terletak pada sistem Magicite. Batu permata istimewa ini boleh dipasang pada senjata untuk memberikan pelbagai kesan pasif, bonus stat, serta corak gameplay yang unik.

Sebagai contoh, abiliti Guard Counter pada pedang membolehkan Elliot melancarkan serangan gelombang pedang yang kuat sejurus selepas berjaya menangkis serangan musuh. Walaupun memiliki tahap rarity satu bintang, abiliti ini sudah cukup untuk mengubah dinamik combat secara drastik.

Contoh lain adalah Weapon Shift – Airborne untuk Boomerang yang meningkatkan peluang critical hit semasa senjata tersebut melayang di udara.

Dengan menggabungkan pelbagai kesan Magicite ini, anda bebas mencipta gaya lawan tersendiri; membaling bumerang, menangkis serangan, melakukan serangan balas pantas, dan menghasilkan damage yang besar menerusi kombinasi yang dirancang teliti. Dan itu hanyalah satu contoh kecil daripada pelbagai kombinasi yang boleh dicuba.

Di samping itu, Faie memainkan peranan yang amat penting di medan lawan. Dia bukan sekadar watak sokongan pasif, sebaliknya bertindak sebagai cabang kepada abiliti Elliot. Elemen sihir miliknya membolehkan anda menggabungkan serangan fizikal dan sihir untuk merangka strategi yang lebih bervariasi.

Seiring dengan kemajuan permainan, Faie akan membuka lebih banyak abiliti berguna seperti meletupkan bom secara manual, mencipta replika Elliot, memerangkap musuh dalam pusaran sihir, sehinggalah membantu menyelesaikan teka-teki persekitaran.

Kerjasama dinamik antara Elliot dan Faie merupakan antara aspek terbaik sepanjang pengalaman lawan dalam game ini.

RPG Kasual Tanpa Level-Up Tradisional

Meskipun dipasarkan sebagai sebuah RPG, elemen RPG yang ditonjolkan sebenarnya agak kasual, khususnya dari segi sistem perkembangan watak.

Tiada sistem XP tradisional yang membolehkan kita meningkatkan level atau status Elliot selepas menewaskan musuh. Sebaliknya, kemajuan watak lebih bertumpu kepada pencarian senjata dan aksesori yang lebih kuat, membuka abiliti Magicite baharu, serta memanjangkan bar nyawa Elliot atau kapasiti sihir Faie melalui Shrine.

Pendekatan ini amat memuaskan bagi pemain yang mengutamakan penerokaan serta eksperimen gameplay, namun mungkin mengecewakan golongan yang lebih menggemari aspek RPG tradisional atau melakukan ‘grinding’ berjam-jam untuk menguatkan watak.

Disebabkan musuh biasa tidak menawarkan ganjaran XP yang signifikan, pemain kurang bermotivasi untuk bertarung dengan setiap makhluk yang ditemui di laluan. Kebanyakan pertempuran kecil hanya memberikan sedikit wang, serpihan Magicite, atau bahan mentah untuk aktiviti sampingan tertentu sahaja.

Bagaimanapun, pembangun cuba mengurangkan masalah ini dengan memperkenalkan mekanik “Drop Bonus”. Melalui fasa ini, kita akan menerima lebih banyak bahan mentah serta loot berharga, dengan syarat anda langsung tidak terkena sebarang serangan sepanjang combat berlangsung.

Mekanik ini memerlukan tumpuan yang tinggi kerana jika anda terkena serangan, bonus tersebut akan terbatal dan perlu diaktifkan semula. Biarpun proses ‘grinding’ ini agak leceh, ia sekurang-kurangnya memberikan insentif tambahan buat pemain.

Wang yang dikumpul masih berguna untuk membeli barangan serta menaik taraf kapasiti Magicite, manakala serpihan pula digunakan untuk menghasilkan kombinasi skil baharu.

Sungguhpun begitu, pertembungan dengan musuh biasa kadangkala masih terasa kurang berbaloi, berbeza dengan boss fight yang sentiasa menawarkan cabaran sengit serta ganjaran lumayan.

Pendapat

Secara keseluruhannya, The Adventures of Elliot mungkin tidak menampilkan naratif yang luar biasa atau sistem RPG tradisional yang kompleks, tetapi cemerlang dalam aspek yang paling utama… menyajikan sebuah pengembaraan yang memikat hati, persembahan visual yang cantik, eksplorasi yang memuaskan, serta sistem combat yang sangat fleksibel.

Kejayaan terbesarnya terletak pada keupayaan game ini dalam memberi ganjaran kepada sifat ingin tahu pemain. Sama ada ketika meneroka kawasan rahsia, menguji kombinasi Magicite, menyelesaikan misi sampingan, atau sekadar mengembara bersama Faie, game ini sentiasa memberikan sebab untuk anda terus bermain.

Mekanik RPG yang kasual serta asas combat yang ringkas mungkin mengehadkan daya tarikannya kepada sebahagian pemain.

Namun bagi mereka yang menyukai reka bentuk berfokuskan pengembaraan sebegini, anda akan menemui sebuah RPG aksi yang kemas, menyeronokkan, serta membuktikan evolusi cemerlang gaya HD-2D di luar zon selesa genre turn-based.

Game ini akan dikeluarkan di PlayStation 5, Xbox Series X|S, Nintendo Switch 2, dan PC (Steam, Microsoft Store) bermula 18 June 2026. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

The Review

The Adventures of Elliot: The Millennium Tales

8.5 Score

Biarpun memiliki plot yang klise dan fasa permulaan yang agak menyekat tanpa sistem XP tradisional, The Adventures of Elliot: The Millenium Tales menyajikan sebuah RPG aksi HD-2D yang hebat. Kekuatan utamanya terletak pada eksplorasi dunia yang sangat berbaloi, sistem combat Magicite yang fleksibel, serta gandingan mantap bersama watak sekutu, Faie.

PROS

  • Visual HD-2D yang sangat cantik, antara hasil kerja terbaik daripada Square Enix
  • Reka bentuk dunia yang cemerlang dengan pelbagai era serta fasa penerokaan yang memuaskan.
  • Faie bertindak sebagai rakan sekutu yang hebat dan memberikan sumbangan besar kepada naratif serta gameplay
  • Sistem Magicite memberikan tahap variasi eksperimen yang mengejutkan dalam combat
  • Persembahan yang sangat lancar dengan gangguan skrin loading yang amat minimum
  • Misi sampingan dan aktiviti pilihan terasa bermakna dan bukannya sekadar pengisi masa

CONS

  • Plot cerita yang agak mudah dijangka dan kurang memberikan impak emosi
  • Fasa awal penerokaan terasa terlalu menyekat dan terlalu dipandu arah
  • Mekanik combat asas serta perkembangan RPG yang kasual mungkin dirasakan kurang mendalam bagi sesetengah pemain
  • Kesan pencahayaan di kawasan tertentu kadangkala terlalu silau dan mengganggu keselesaan mata

Review Breakdown

  • Rating 0
Tags: reviuThe Adventures of Elliot: The Millennium Tales
ShareTweetSend
Previous Post

Reviu Civilization VII: Test of Time Update – Alexander the Great & Perubahan ‘Campaign’ Yang Memuaskan

Next Post

Zenless Zone Zero – Version 3.0 Rasmi Dilancarkan, Debut Steam & Agent S-Rank Percuma

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Creators Super Fest Singapore 2026 Kembali Julai 2026, Bawa Peluang Terbang Ke Jepun
Acara

Creators Super Fest Singapore 2026 Kembali Julai 2026, Bawa Peluang Terbang Ke Jepun

June 17, 2026
Persona 4 Revival – Atlus Dedah Barisan Pelakon Suara Inggeris Untuk Remake
Remake

Persona 4 Revival – Atlus Dedah Barisan Pelakon Suara Inggeris Untuk Remake

June 17, 2026
AMD Jangka Harga DDR5 Pulih Perlahan, Kembali Normal Pada 2028
Teknologi

AMD Jangka Harga DDR5 Pulih Perlahan, Kembali Normal Pada 2028

June 17, 2026
Next Post
Zenless Zone Zero – Version 3.0 Rasmi Dilancarkan, Debut Steam & Agent S-Rank Percuma

Zenless Zone Zero - Version 3.0 Rasmi Dilancarkan, Debut Steam & Agent S-Rank Percuma

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd