Computer Entertainment Supplier’s Association (CESA) telah membuka undian awam bagi Japan Game Awards 2026 untuk kategori “Games of the Year Division“.
Kategori ini memberikan pengiktirafan kepada game-game luar biasa yang paling menyerlah dan mewakili industri permainan video sepanjang tahun lalu. Bagi melayakkan diri, game tersebut mestilah telah dilancarkan di Jepun antara 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026. Pertandingan ini terbuka kepada semua judul di pelbagai platform utama (termasuk konsol rumah, peranti handheld, PC, dan telefon pintar) serta merangkumi versi penyetempatan bahasa Jepun bagi keluaran antarabangsa.
Tempoh kelayakan ini merangkumi beberapa game utama yang mendapat perhatian meluas sepanjang 12 bulan yang lalu. Antara judul utama yang layak termasuk game bercorak ‘historical action-adventure’ terbitan Sucker Punch Productions, Ghost of Yōtei, yang dilancarkan di PlayStation 5 pada 2 Oktober 2025, serta game sci-fi adventure yang sekian lama dinantikan daripada Nintendo, Metroid Prime 4: Beyond, yang mula menemui peminat pada 4 Disember 2025.
Cara Mengundi
Tempoh undian awam telah bermula hari ini, dan akan berlangsung sehingga 17 Julai 2026.
Penyertaan terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira had umur, kewarganegaraan, lokasi, mahupun pengalaman bermain. CESA menetapkan had satu undian sahaja untuk setiap individu. Sesiapa yang berminat untuk mengundi boleh berbuat demikian dengan mengisi borang di laman web rasmi Japan Game Awards di https://awards.cesa.or.jp/en/.
Arah Menuju ke “Grand Award”
Selepas fasa undian awam ditutup, Jawatankuasa Pemilihan Japan Game Awards 2026 akan menilai semula semua pencalonan. Jawatankuasa ini akan menilai setiap penyertaan berdasarkan aspek reka bentuk, pengaturcaraan, grafik, bunyi, dan maklum balas pengguna bagi menentukan pemenang untuk “Grand Award”, “Awards for Excellence”, serta anugerah-anugerah khas yang lain.
Para pemenang, bersama penerima anugerah khas “Minister of Economy, Trade and Industry Award”, akan diumumkan semasa majlis penyampaian anugerah rasmi. Acara ini akan berlangsung pada 15 September 2026.









Discussion about this post