Sony Interactive Entertainment telah mendedahkan tarikh pelancaran, ciri-ciri, serta harga tempatan di Malaysia bagi barisan peranti gaming terbaharu mereka. Tumpuan utama pengumuman adalah FlexStrike Wireless Fight Stick, yang akan dilancarkan di Malaysia pada 6 Ogos 2026. Tempahan akan dibuka bermula 12 Jun 2026 di kedai terpilih pada harga RM999.
FlexStrike Wireless Fight Stick
FlexStrike Wireless Fight Stick merupakan fighting game controller jenis first-party pertama daripada Sony yang direka khas untuk PlayStation 5 dan PC. Dibangunkan dengan maklum balas daripada komuniti fighting game, controller ini menawarkan pilihan sambungan berwayar dan tanpa wayar untuk disesuaikan dengan pelbagai gaya permainan.
Apabila digunakan secara tanpa wayar, ia menggunakan teknologi PlayStation Link untuk mencapai kadar latency yang sangat rendah, dengan masa tindak balas sepantas 4 milisaat melalui adapter USB yang disediakan.

Direka untuk game santai mahupun kejohanan kompetitif, FlexStrike Wireless Fight Stick dilengkapi dengan butang suis mekanikal yang responsif, digital stick tersuai, serta restrictor gate yang boleh ditukar dengan mudah tanpa menggunakan alatan tambahan.
Rekaan ergonomik controller ini juga dioptimumkan untuk penggunaan di atas meja mahupun di atas riba, lengkap dengan bahagian bawah antigelincir bagi mengelakkannya daripada bergerak sambil mengekalkan suhu peranti agar kekal sejuk sepanjang sesi gaming yang lama.

Selain itu, ia turut dilengkapi bateri cas semula terbina dalam dan beg sandang khas, menjadikannya mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Sony turut memaklumkan bahawa sokongan untuk PC sedang dirancang dan akan diperkenalkan secara berperingkat selepas pelancaran rasmi.

Bagi memeriahkan lagi pelancarannya, FlexStrike Wireless Fight Stick akan dikeluarkan pada hari yang sama dengan MARVEL Tōkon: Fighting Souls pada 6 Ogos 2026.
Dibangunkan oleh Arc System Works, fighting game berdimensi 2.5D ini memperkenalkan sistem tag-team 4v4, menampilkan watak-watak ikonik Marvel seperti Spider-Man, Captain America, Shuri, Hulk, dan ahli kumpulan X-Men.
Pulse Elevate Wireless Speaker

Sony turut berkongsi butiran baharu mengenai Pulse Elevate Wireless Speaker, iaitu pembesar suara tanpa wayar pertama mereka yang direka khas untuk setup gaming desktop. Bakal dilancarkan pada akhir tahun ini dalam warna White dan Midnight Black, pembesar suara ini direka agar serasi dengan PS5, PC, dan Mac.
Peranti ini juga boleh digunakan di luar rumah bersama peranti mobile atau PlayStation Portal melalui sambungan Bluetooth. Maklumat mengenai harga tempatan dan tarikh tempahan awal untuk pembesar suara ini akan diumumkan kemudian.

Pulse Elevate Wireless Speaker menggunakan planar magnetic driver yang diinspirasikan daripada studio profesional untuk menghasilkan audio yang terperinci dan realistik untuk keseluruhan julat frekuensi. Apabila dipadankan dengan PS5, ia menyokong Tempest 3D AudioTech untuk mencipta ruang bunyi tiga dimensi.
Sama seperti FlexStrike Wireless Fight Stick, pembesar suara ini bergantung pada PlayStation Link untuk menghantar audio lossless dan latency sangat rendah.

Pembesar suara ini juga dilengkapi dengan mikrofon yang dikuasakan oleh pembatalan hingar berasaskan AI. Ini membolehkan pemain bersembang dengan rakan-rakan tanpa perlu memakai headset yang berat. Pemain juga boleh melaras tetapan audio (termasuk EQ, sidetone, dan mic muting) secara terus melalui menu sistem PS5 dan PC.









Discussion about this post