Selama bertahun-tahun, genre Isekai (iaitu cerita tentang watak yang dihantar ke dunia fantasi) menjadi “lubuk emas” buat industri media Jepun. Namun, menurut Kadokawa, lubuk emas ini nampaknya sudah mula kering.
Dalam laporan kewangan yang dibentangkan, syarikat itu mendedahkan kejatuhan keuntungan operasi yang sangat drastik, iaitu sebanyak 51.3% bagi tahun fiskal yang berakhir pada Mac 2026.
Kesan paling parah dirasai dalam bahagian penerbitan dan penciptaan IP (harta intelek), di mana keuntungannya merosot sehingga 51.6% berbanding tahun sebelum.
Kadokawa mengaku mereka terlalu bergantung kepada “formula ” lama… khususnya lambakan karya Isekai dan Narou-kei yang kini bukan sahaja memenuhi rak buku, malah membanjiri setiap platform penstriman.
Dalam pelan jangka panjang, Kadokawa mengakui strategi mengejar “genre selamat” ini akhirnya memakan diri. Tindakan syarikat yang hanya mementingkan jalan cerita yang boleh dijangka telah menyebabkan pasaran menjadi terlalu tepu.
Laporan tersebut turut menyifatkan barisan karya terbaharu mereka sebagai “kurang mendalam dan tidak pelbagai.” Akibat terlalu sibuk mengejar kejayaan genre Isekai, Kadokawa terlepas peluang untuk mengambil risiko dalam projek yang lebih inovatif atau meneroka genre baharu.
Walaupun cerita “fantasi” ini dahulunya dianggap jaminan untung, peminat kini mula berasa burnout (bosan melampau) dengan lambakan plot yang hampir serupa dan sukar dibezakan antara satu sama lain.









Discussion about this post