Setelah sekian lama dinantikan oleh komuniti gaming, AMD akhirnya mengesahkan bahawa teknologi upscaling FSR 4.1 akan turut tersedia untuk kad grafik (GPU) generasi lama.
Langkah ini merupakan berita besar buat pemilik GPU siri Radeon RX 7000 dan RX 6000. Sebelum ini, ramai pengguna berasa “dipinggirkan” apabila teknologi FSR 4 dilancarkan secara eksklusif hanya untuk siri RX 9000 tahun lepas.
Walaupun kemas kini ini tidak mampu mengubah prestasi kad lama menjadi seperti kad baharu, data awal menunjukkan peningkatan kualiti imej yang sangat drastik.

Jack Huynh, Naib Presiden Kanan Gaming dan Grafik AMD, secara rasmi mengumumkan berita ini. Beliau mengesahkan bahawa siri Radeon RX 7000 akan mula menyokong versi FSR 4.1 yang telah ditambah baik seawal bulan Julai ini. Bagi pemilik siri RX 6000, sokongan tersebut dijadualkan tiba sedikit lewat, iaitu pada awal tahun 2027.

Selama ini, cabaran teknikal utama bagi kad grafik lama adalah cara ia mengendalikan kecerdasan buatan (AI). Siri RX 9000 menggunakan pemprosesan “FP8” yang efisien untuk machine learning, manakala bagi perkakasan lama, AMD telah mengoptimumkan teknologi ini untuk berjalan menggunakan pemprosesan “INT8”.
Walaupun kaedah “INT8” ini secara teknikalnya sedikit perlahan, perbezaan kualiti visualnya hampir tidak dapat dikesan oleh mata kasar dalam perbandingan sebelah-menyebelah.

Sebelum ini, teknologi FidelityFX Super Resolution (FSR) daripada AMD bergantung sepenuhnya kepada pengiraan matematik tradisional tanpa bantuan AI.
Walaupun kaedah tersebut membolehkan FSR digunakan pada hampir semua jenis perkakasan, ia sering kali menghasilkan kesan “berbayang” (shimmering) atau tepi imej yang kabur jika dibandingkan dengan teknologi DLSS milik Nvidia. FSR 4.1 mengubah segalanya dengan memanfaatkan sepenuhnya kuasa machine learning.









Discussion about this post