Pelancaran fasa Early Access bagi game Subnautica 2 telah mencatatkan angka yang cukup luar biasa. Hanya dalam masa beberapa jam, sekuel terbitan Unknown Worlds Entertainment ini terus membuktikan dirinya sebagai antara game paling hangat untuk tahun 2026.
Setakat hari ini, game ini sudah pun mencecah rekod 467,582 pemain serentak (concurrent player) di platform Steam sahaja. Jika dibandingkan, jumlah ini jauh mengatasi pemegang rekod sebelum ini bagi tahun 2026, iaitu Resident Evil Requiem, yang mencatatkan 344,214 pemain ketika dilancarkan pada Februari lalu.
Apa yang lebih mengejutkan adalah statistik yang dikongsi terus oleh pihak pembangun: Subnautica 2 berjaya terjual lebih 1 juta unit dalam tempoh satu jam pertama pelancarannya. Pencapaian ini dianggap sangat hebat memandangkan game ini turut ditawarkan secara percuma kepada pelanggan Xbox Game Pass.
Ini bermakna, jumlah sebenar pemain di PC dan Xbox Series X/S mungkin jauh lebih tinggi daripada angka jualan tersebut.
Setakat ini, Subnautica 2 mendapat sambutan yang sangat positif dengan rating “Very Positive” di Steam. Sebanyak 92% daripada hampir 10,000 ulasan awal memuji kualiti visualnya serta kelancaran game tersebut walaupun baru sahaja dilancarkan.
Apa Yang Menarik Sangat?
Siri Subnautica sememangnya sudah lama menjadi kegemaran mereka yang sukakan elemen eksplorasi dasar laut dan survival horror. Dalam sekuel terbaru ini, pemain dibawa menerokai sebuah planet lautan asing yang serba baharu.
Berbeza dengan judul-judul sebelum ini, Subnautica 2 dibina sepenuhnya menggunakan Unreal Engine 5, untuk memberikan kualiti grafik yang jauh lebih realistik dan menyeramkan.
Namun, tarikan utamanya sudah tentulah ciri 4-player co-op yang sekian lama dinantikan peminat.
Walaupun anda masih boleh bermain secara solo, kebolehan untuk membina pangkalan bawah air yang gergasi dan melarikan diri daripada raksasa “leviathan” bersama rakan-rakan menjadi faktor utama kenapa ramai yang tidak sabar untuk mencubanya.
Walau bagaimanapun, pemain perlu ingat bahawa game ini masih dalam status “dalam pembangunan”. Unknown Worlds menjelaskan bahawa Subnautica 2 akan berada dalam fasa Early Access untuk tempoh kira-kira dua hingga tiga tahun.
Sepanjang tempoh tersebut, pihak pembangun akan terus menambah lebih banyak biom, memantapkan jalan cerita, dan membaiki sebarang bug berdasarkan maklum balas pemain sebelum versi penuh (1.0) dilancarkan nanti.
Bagi para gamer di Malaysia, anda boleh mendapatkan game ini sekarang di platform Steam, Epic Games, dan Xbox Store. Jika anda adalah pelanggan Game Pass, anda boleh terus mulakan pengembaraan bawah laut tanpa sebarang kos tambahan.









Discussion about this post