Computer Entertainment Supplier’s Association (CESA) telah mengumumkan barisan pertama penaja utama bagi projek “SELECTED INDIE 80” yang bakal diadakan di Tokyo Game Show 2026 (TGS 2026).
Inisiatif ini menawarkan peluang kepada 80 pembangun indie dari seluruh dunia untuk mempamerkan hasil kerja mereka di salah satu pentas industri terbesar secara percuma.

SELECTED INDIE 80 terbuka kepada mana-mana pembangun indie tanpa mengira kewarganegaraan, umur, atau status profesional. CESA akan menyaring ratusan permohonan untuk memilih 80 peserta terbaik, yang kemudian akan diberikan booth percuma di kawasan Indie Game Area.
Bagi kebanyakan pembangun, inilah peluang pertama mereka untuk mempasarkan game mereka ke orang ramai dan mendapatkan maklum balas terus daripada pemain.
Kembali ke topik utama; menerajui barisan Penaja Platinum ialah Nintendo, dan Kodansha. Antara rakan lain yang turut menyertai usaha ini termasuk:
- Penaja Gold: PLAYISM
- Penaja Silver: iGi indie Game incubator
- Penaja Bronze: CRI Middleware dan Bandar Amakusa
- Sokongan Peralatan: ASK, auryn, dan Wit One

SI80 Excellence Awards

Sebagai pembaharuan untuk tahun 2026, CESA memperkenalkan “SI80 Excellence Awards.”
Selama bertahun-tahun, tumpuan utama program indie adalah “Sense of Wonder Night” (SOWN), sebuah acara yang terkenal kerana meraikan idea-idea unik dan gameplay eksperimental. Anugerah baharu ini pula akan berfungsi sebagai pengiktirafan kualiti yang lebih tradisional.
Kira-kira 10 tajuk akan dipilih berdasarkan aspek kekemasan, pelaksanaan kreatif, dan nilai pengalaman bermain secara keseluruhan.
“Walaupun SOWN menekankan faktor ‘wow’ daripada idea baharu, Excellence Awards pula bertujuan mengiktiraf game yang dihasilkan dengan sangat baik dan sedia untuk pasaran global,” jelas pihak penganjur.
Pemenang akan diumumkan pada bulan Ogos sebelum acara bermula, membolehkan mereka mempamerkan logo rasmi anugerah di booth masing-masing. “Lencana penghormatan” ini direka untuk membantu media, penerbit, serta 300,000 pelawat untuk mengenal pasti game yang wajib dicuba.
Butiran Acara
Tokyo Game Show 2026 akan kembali ke lokasi tradisinya di Makuhari Messe dari 17 September hingga 21 September.
- Hari Perniagaan: 17–18 Sept (Fokus kepada rangkaian industri dan pihak media)
- Hari Awam: 19–21 Sept (Terbuka kepada orang ramai)
Dengan 3,500 booth yang dirancang serta jadual lima hari (termasuk cuti umum pada hari Isnin di Jepun), TGS 2026 dijangka menjadi salah satu edisi terbesar dalam sejarah penganjurannya. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi TGS.









Discussion about this post