Selepas bertahun-tahun tersangkut dalam fasa perancangan, adaptasi filem Metal Gear Solid akhirnya mula menunjukkan perkembangan positif. Menurut laporan daripada The Hollywood Reporter, Sony Pictures telah melantik Zach Lipovsky dan Adam B. Stein untuk mengarahkan filem live-action ini.

Pasangan pengarah ini terkenal dengan Final Destination: Bloodlines, jadi penglibatan mereka ke dalam francais Metal Gear menandakan satu tambahan besar buat projek ini.
Walaupun perancangan filem ini sudah dibincangkan di Hollywood selama lebih sedekad, berita ini memberi isyarat bahawa Sony kini bersedia untuk memulakan produksi secara aktif.
What a difference a Hollywood year can make. https://t.co/Ly63sVPPsw
— The Hollywood Reporter (@THR) April 10, 2026
Produser veteran Avi Arad dan Ari Arad, yang telah menguruskan projek ini selama bertahun-tahun, kekal sebagai produser di bawah syarikat mereka, Arad Productions.
Antara persoalan besar yang masih belum terjawab adalah sama ada cadangan pelakon utama masih dikekalkan. Pada tahun 2020, Deadline melaporkan bahawa Oscar Isaac telah dipilih untuk memegang watak Solid Snake. Namun sehingga hari ini, masih tiada pengesahan rasmi sama ada Isaac masih terlibat.

Bagi mereka yang tidak membesar dengan game ini, Metal Gear Solid merupakan antara francais paling berpengaruh dalam sejarah gaming. Dicipta oleh Hideo Kojima, siri ini mula diperkenalkan di PlayStation pada tahun 1998 dan memberi definisi baharu kepada genre “stealth-action.”
Jalan ceritanya mengisahkan Solid Snake, seorang ejen pasukan khas yang dipanggil semula daripada persaraan untuk satu misi berisiko tinggi. Berbekalkan kebijaksanaan dan peralatan terhad, Snake perlu menyelamatkan tebusan serta menghalang kumpulan pengganas daripada melancarkan senjata nuklear.









Discussion about this post