Nintendo memperkenalkan polisi harga baharu untuk game eksklusif Switch 2, dengan mewujudkan perbezaan harga antara versi digital dan versi fizikal. Perubahan ini akan berkuat kuasa pada bulan Mei, seiring dengan pelancaran Yoshi and the Mysterious Book.

Melalui pendekatan baharu ini, edisi digital Yoshi and the Mysterious Book akan dijual pada harga RM250.00 di Nintendo eShop untuk pasaran Malaysia. Di Amerika Syarikat pula, versi digital berharga $59.99, manakala versi fizikal berkotak pula mempunyai harga cadangan sebanyak $69.99.
Polisi ini hanya terpakai untuk game terbitan Nintendo yang eksklusif kepada Switch 2.
Bagi pemain di Malaysia, harga RM250.00 untuk versi digital merupakan satu perkara yang patut diberi perhatian. Walaupun harga tempatan untuk edisi fizikal masih belum disahkan oleh pengedar Malaysia, harga digital melalui eShop sekurang-kurangnya memberi gambaran awal kepada mereka yang merancang untuk membeli game ini.

Namun begitu, tidak salah juga untuk memerhatikan tawaran dari kedai game tempatan dan platform dalam talian seperti Shopee dan Lazada.
Nintendo Jelaskan Sebab Di Sebalik Perbezaan Harga

Dalam satu kenyataan, Nintendo menjelaskan bahawa perbezaan harga ini berkait rapat dengan kos sebenar dalam menghasilkan dan mengedarkan game dalam dua format yang berbeza.
“Game Nintendo menawarkan pengalaman yang sama, sama ada dalam format fizikal mahupun digital. Perubahan ini hanya mencerminkan perbezaan kos yang terlibat dalam penghasilan dan pengedaran setiap format, serta memberi pemain lebih banyak pilihan dalam cara mereka membeli dan bermain game Nintendo,” kata syarikat.
Game fizikal melibatkan proses pembuatan cartridge, pencetakan pembungkusan, penghantaran ke kedai-kedai, dan urusan dengan rangkaian pengedaran runcit. Semua kos ini tidak wujud langsung untuk muat turun digital.
Nintendo Tegaskan Harga Game Fizikal Tidak Naik

Selepas timbul kekeliruan di media sosial sama ada langkah ini bermakna game fizikal akan menjadi lebih mahal, seorang wakil Nintendo menghubungi IGN untuk memberi penjelasan lanjut.
“Harga game fizikal tidak dinaikkan,” kata wakil tersebut. “Ini bermakna, apabila Nintendo menjual versi digital game terbitan Nintendo yang eksklusif untuk Nintendo Switch 2 kepada pengguna di A.S., harga tersebut akan mempunyai MSRP yang lebih rendah berbanding versi fizikal.”

Wakil itu turut menegaskan bahawa rakan runcit bebas menetapkan harga mereka sendiri untuk game fizikal mahupun digital, jadi harga mungkin berbeza bergantung pada tempat anda membeli.
Dengan kata lain, Nintendo tidak menaikkan harga game berkotak. Sebaliknya, syarikat itu menurunkan harga versi digital sebagai langkah untuk menjadikan pembelian digital sebagai pilihan yang lebih mesra poket untuk para pemain.









Discussion about this post