Apabila Yakuza 3 pertama kali dilancarkan pada tahun 2009, ia menerima reaksi yang cukup bercampur baur daripada para pemain; ada yang sangat mengagumi cita-citanya, namun tidak kurang juga yang merasa kecewa.
Peminat menghargai keberanian pembangun membawa latar tempat ke Okinawa dan menampilkan sisi Kiryu yang lebih manusiawi melalui tanggungjawabnya menjaga anak-anak di rumah anak yatim Morning Glory.
Namun dalam masa yang sama, rentak gameplay yang perlahan, sistem combat yang memaksa musuh kerap menangkis serangan (sehingga digelar “Blockuza”), serta perubahan mood yang drastik antara kehidupan harian dan perang geng, membuatkan pengalaman bermain terasa kurang seimbang.
Bagi pemain veteran, mekanik yang kaku menyukarkan mereka menikmati naratif, manakala bagi pemain baharu, kontras antara elemen “slice-of-life” dan konspirasi jenayah sering kali mengelirukan fokus mereka.
Yakuza Kiwami 3 hadir bukan sekadar untuk mencantikkan grafik, malah ia memberikan konteks baharu kepada jalan ceritanya.
Dengan menggunakan Dragon Engine, Ryu Ga Gotoku Studio telah memodenkan persekitaran, mengemaskini sistem combat, dan menambah naratif bagi memastikan jiwa asal permainan ini kekal, namun setaraf dengan kualiti judul-judul terbaharu.
Tambahan pula, kehadiran expansion Yakuza Kiwami 3 Gaiden: Dark Ties mengembangkan lagi penceritaan dengan memberikan perspektif baharu terhadap Yoshitaka Mine serta menjelaskan peranannya dalam garis masa Tojo Clan.
Secara keseluruhan, kedua-dua judul ini berfungsi sebagai pengubat rindu buat peminat lama dan titik permulaan yang mesra buat pemain baharu. Berikut adalah ulasan kami.
Penambahbaikan Visual Dragon Engine

Peningkatan visual dalam Yakuza Kiwami 3 sememangnya mengagumkan. Dragon Engine berjaya menghidupkan Kamurocho dan Okinawa dalam cara yang tidak mampu dicapai oleh perkakasan PlayStation 3 dahulu.
Jalan raya kini nampak lebih padat, interaksi persekitaran terasa dinamik, dan sistem pencahayaan bertindak balas terhadap waktu siang dengan sangat halus.
Pantulan lampu neon pada jalan yang basah, sinaran matahari pada tingkap kedai, sehinggalah kepada tekstur pakaian Kiryu yang menunjukkan kesan lipatan yang realistik, semuanya menyumbang kepada suasana yang imersif. Okinawa kini benar-benar terasa seperti sebuah lokasi yang boleh kita lawati secara nyata.

Walau bagaimanapun, peningkatan ini mempunyai sedikit kekurangan. Animasi dalam cutscene kadangkala kelihatan agak kaku, terutamanya pada detik-detik penting dalam cerita. Watak yang sepatutnya mempamerkan emosi kini kadangkala kelihatan beku dengan ekspresi wajah yang statik.
Rikiya, misalnya, kelihatan kurang reaktif semasa bertarung dengan Kiryu, manakala Kiryu sendiri kadangkala nampak “kosong” secara pelik dalam adegan yang sepatutnya emosional.
Pencahayaan juga menunjukkan ketidakkonsistenan; kawasan luar yang terang kadangkala nampak pudar, manakala kawasan gelap pula boleh menjadi terlalu pekat sehingga susah dilihat. Walaupun begitu, apabila pencahayaannya berfungsi dengan baik, hasilnya cukup menakjubkan dan memberikan impak visual yang padu.

Bagi versi PC, Yakuza Kiwami 3 memberikan tanggapan awal yang sangat kuat. Bandar-bandar terasa hidup dengan model watak yang sangat terperinci. Namun, walaupun menggunakan komputer berprestasi tinggi, kami mendapati tetapan “Ultra” boleh menyebabkan kejatuhan frame rate di kawasan yang sesak.
Oleh itu, tetapan “Medium” didapati sebagai titik keseimbangan terbaik antara prestasi yang stabil dan kualiti visual yang cemerlang. Masa loading secara umumnya adalah pantas, walaupun ada sedikit kelewatan semasa beralih ke kawasan besar atau ketika misi yang berat.

Walaupun ada gangguan teknikal ini, prestasinya tidak merosakkan pengalaman bermain. Frame rate kekal stabil semasa pertarungan dan cutscene, dan dunia permainan terasa reaktif. Isu seperti tekstur lambat muncul atau stuttering kecil di kawasan ramai orang hanyalah gangguan kecil berbanding kualiti visual keseluruhan.
Pendek kata, versi PC ini berjaya menyampaikan dunia moden tanpa mengorbankan prestasi… tetapi tetapan “Medium” adalah pilihan paling selamat untuk kebanyakan pemain.
Kisah Kiryu dan Kehidupan di Rumah Anak Yatim

Yakuza Kiwami 3 bersambung terus selepas peristiwa Yakuza Kiwami 2, di mana Kiryu meninggalkan Kamurocho dan Tojo Clan demi mencari kehidupan yang lebih tenang dan bermakna.
Dragon of Dojima, yang telah menghabiskan berdekad-dekad terperangkap dalam dunia bawah tanah Tokyo, berharap untuk mencari sedikit kedamaian dengan mengabdikan dirinya kepada anak-anak di rumah anak yatim Morning Glory di Okinawa.
Premis ini serta-merta menetapkan nada yang berbeza daripada entri sebelumnya: bukannya pergaduhan di lorong gelap dan politik berisiko, kita diperkenalkan kepada kehidupan yang penuh dengan tanggungjawab. Tetapi, seperti biasa dalam dunia Kiryu, kedamaian itu rapuh.

Rumah anak yatim Morning Glory bukan sekadar latar belakang; ia adalah usaha Kiryu untuk membina semula kehidupan. Cerita ini menekankan peranannya sebagai penjaga di sini. Setiap kanak-kanak mempunyai personaliti, perjuangan, dan kerenah masing-masing, dan Kiryu ditugaskan untuk membimbing, melindungi, dan mendidik mereka.
Sama ada anda membantu dengan kerja rumah, menyelesaikan pergaduhan, mengajar pengajaran hidup, atau sekadar memujuk mereka, detik-detik ini menunjukkan sisi Kiryu yang jarang dilihat… sabar, empati, dan sangat manusiawi. Interaksi ini bukan sekadar kandungan sampingan; ia membawa beban emosi sebenar.
Kita akan melihat seorang lelaki yang berusaha sedaya upaya untuk mewujudkan rumah yang selamat dan penuh kasih sayang bagi mereka yang bergantung kepadanya, sambil memikul parut masa silamnya.

Sudah tentu, kedamaian itu tidak bertahan lama. Masa silam Kiryu akhirnya mengejarnya, menariknya kita ke dalam konflik yang menguji fizikal, emosi, dan moralnya. Kontras ini menjadikan Kiryu lebih “manusia”.
Walaupun dia masih Dragon of Dojima yang tidak dapat dikalahkan dan mampu melakukan aksi luar biasa, naratifnya sentiasa mengingatkan pemain tentang risiko peribadi di sebalik tindakannya. Setiap pertarungan dan keputusan berpijak pada keinginannya untuk melindungi keluarganya dan menegakkan keadilan.

Plot ini meneroka tema siri yang biasa tetapi dalam Yakuza Kiwami 3, anda melihatnya melalui perspektif Kiryu yang lebih ‘reflective’. Kita akan menyaksikan betapa banyak yang telah hilang daripadanya selama ini, namun dia terus bertindak dengan integriti. Cerita ini bijak membezakan tugas harian biasanya dengan ancaman luar.
Peranannya sebagai bapa angkat bukanlah hal remeh; ia mengubah cara pemain melihat tindakannya dalam naratif lebih luas, menambah warna kepada konflik (jika tidak, mungkin hanya terasa seperti pergaduhan geng biasa).

Secara ringkas, Yakuza Kiwami 3 adalah kisah tentang soerang legenda jalanan dan lelaki yang cuba menjadi seorang bapa. Walaupun bahaya menceroboh kehidupannya yang tenang, percubaan Kiryu untuk membesarkan dan melindungi anak-anak memberikan beberapa adegan paling emosional dalam siri ini.
Dalam aspek inilah cerita ini membuatkan perjalanan Kiryu terasa heroik dan sangat manusiawi.
Kisah Silam Yoshitaka Mine dalam Dark Ties

Yakuza Kiwami 3 Gaiden: Dark Ties menawarkan perspektif yang menarik dan serba baharu mengenai peristiwa yang sebahagian besarnya dilihat dari sisi Kiryu daripada game utama.
Dengan meletakkan kita terus sebagai Yoshitaka Mine, spin-off ini meneroka cita-cita dan hubungan peribadi untuk seorang watak yang sebelum ini hanya difahami dari luaran.
Mine bukanlah penjahat tipikal, tetapi seorang tokoh rumit yang kenaikannya dalam Keluarga Nishikiyama didorong oleh strategi, kesetiaan, dan pemahaman tajam tentang kuasa. Interaksinya dengan patriarch ketiga Tsuyoshi Kanda membentuk cerita ini dengan menunjukkan dinamik antara mentor-anak didik yang tegang, dan kadangkala lucu.

Cerita ini cemerlang dalam mendedahkan personaliti Mine. Sementara Kiryu didorong oleh belas kasihan dan tanggungjawab, Mine dibentuk oleh cita-cita, risiko, dan memanipulasi orang.
Anda melihat sendiri bagaimana dia mendapatkan kepercayaan, mengendalikan situasi berbahaya, dan membuat pilihan untuk memastikan kedudukannya dalam dunia bawah tanah.
Adegan ini bukan sekadar kandungan tambahan tetapi menambah naratif kepada kempen utama, lalu memberi pemahaman baharu kepada konfrontasi utama dan menunjukkan ‘sebab-dan-akibat’ yang kita terlepas sebelum ini.
Pemain mendapat gambaran mengapa Mine bertindak sedemikian dalam Yakuza Kiwami 3, memberikan konteks kepada pilihan antagonisnya dan menjadikannya watak yang lengkap, bukan sekadar musuh kepada Kiryu.

Para veteran akan mendapati mod ini berbaloi untuk meneroka plot yang hanya diacah sebelum ini, manakala pendatang baharu boleh menikmati cerita tersendiri yang memperkenalkan dunia Mine dengan jelas. Spin-off ini bukan sekadar menceritakan semula peristiwa; ia memperkayakannya.
Menyaksikan kerja dalaman Keluarga Nishikiyama dan cabaran untuk mendapatkan pengaruh menjadikan naratif ini terasa segar dan serba baharu.

Secara keseluruhan, Dark Ties adalah satu karya hebat daripada cerita peralihan perspektif. Dengan meneroka Yoshitaka Mine, ia mengubah watak sokongan menjadi protagonis dalam konteksnya yang tersendiri.
Malah bagi peminat yang sudah arif tentang Yakuza 3, Dark Ties menawarkan pembangunan watak yang baharu, menjadikannya tambahan wajib main di samping kisah Kiryu.
Sistem Combat Diperbaharui

Sistem combat dalam Yakuza 3 original sangat terkenal dengan musuh yang asyik block, sehingga game itu mendapat gelaran “Blockuza.” Yakuza Kiwami 3 menangani masalah ini secara langsung, dengan mewujudkan sistem yang terasa moden dan responsif sambil kekal setia kepada identiti Kiryu.
Gaya Dragon of Dojima adalah gaya brawling klasik: tumbukan pantas, tendangan berat, grabs, dan serangan menggunakan persekitaran. Menetapkan masa dodge yang sempurna memberi ganjaran counter yang kuat, dan Heat Actions memberikan penyudah sinematik yang bergaya lagi kejam.
Heat Action Nanas pun masih ada di sini, dan ia masih masuk akal serta sangat kelakar seperti biasa.

Gaya Ryukyu memperluaskan senjata Kiryu dengan nunchaku, tonfa, dan gabungan perisai-lembing yang dipanggil “tinbe and rochin.” Gaya ini membolehkan pemain bereksperimen dengan combo, tetapi ia mempunyai beberapa masalah.
Sesetengah senjata mengunci Kiryu dalam animasi yang panjang, membuatkannya terdedah kepada serangan, dan combat roll (yang bertujuan menggantikan dodge gaya Dragon) terasa lembab. Highligh utamanya adalah perisai tinbe, yang membolehkan Perfecr Parry yang memberi ganjaran dengan counter sinematik yang kuat.
Pertarungan Boss kini lebih seimbang, dengan corak serangan yang boleh dijangka tetapi menarik serta gaya visual yang menjadikan setiap pertarungan terasa dinmaik.

Dalam Dark Ties, combat sangat berbeza. Tidak seperti Kiryu yang bertarung seperti kereta kebal, Mine bertarung seperti MMA, dengan menggunakan serangan dan counter ala shootboxing. Serangannya dan pergerakannya lancar, membolehkan Mine mengelak lawan dengan gerakan kaki sahaja.
Daripada bergantung pada grabs seperti Kiryu, Mine mempunyai serangan udara khas di mana dia melompat dari musuh untuk menyerang pelbagai sasaran. Ia nampak hebat dan bagus untuk kumpulan musuh, tetapi boleh menjadi masalah dalam pertarungan satu lawan satu kerana ia menjarakkan kita dengan musuh.

Heat Actions masih menjadi ciri utama combat, tetapi kesannya berbeza untuk Mine. Gerakan standardnya tepat dan kemas, tetapi dia juga mempunyai akses kepada “Dark Awakening,” iaitu mod berisiko tinggi yang dikuasakan oleh tolok “Shackled Hearts” miliknya.
Mengaktifkan mod ini mengubah gayanya: serangannya menjadi lebih berat dan lebih bersifat binatang, dengan combo yang menakutkan. Dalam keadaan ini, Mine membangkitkan kekejaman dalam dirinya yang sangat kontras dengan Kiryu.
Kontras antara dua gaya lawan ini memperkayakan pakej keseluruhan, memberikan identiti unik kepada setiap kempen sambil mengekalkan keseronokan visual siri ini.
Aktiviti Sampingan dan Mini-Game

Kandungan sampingan dalam Yakuza Kiwami 3 sangat luas dan menarik, di mana rumah anak yatim Morning Glory menonjol sebagai simulasi pengurusan dan bukan sekadar senarai tugas remeh.
Anda boleh pergi memancing menggunakan lembing , yang memerlukan tusukan yang tepat dan menjangka pergerakan ikan, dan kemudian menjadikan hasil tangkapan anda sebagai hidangan. Berkebun memerlukan kesabaran (tanaman perlu ditanam dan dijaga pada masa yang sesuai) dan ternakan memerlukan penjagaan harian.
Sumber-sumber ini digunakan dalam mini-game memasak di mana masa dan pilihan bahan mempengaruhi kualiti hidangan, yang memberi kesan kepada kegembiraan dan kemajuan anak-anak.

Selain kerja rumah, kanak-kanak tersebut memperkenalkan Kiryu kepada pelbagai mini-game interaktif. Kuiz merangkumi Matematik, Bahasa Inggeris, dan Sains, mencabar pemain untuk berfikir sambil meluangkan masa dengan anak-anak.
Cabaran menjahit merangkumi permainan lumba di mana anda perlu mengikut garisan pada kain, serta memerlukan ketepatan. Menangkap serangga menguji refleks kita, manakala Reversi menawarkan pengalaman teka-teki strategi.
Setiap aktiviti dimasukkan dengan teliti, dan melihat Kiryu mencurahkan begitu banyak tenaga kepada anak-anak menambah lapisan menyentuh hati kepada cerita. Kandungan “slice-of-life” ini umpama rehat daripada konflik yakuza.

Mod “Bad Boy Dragon” mengubah dunia menjadi perang geng motosikal. Kiryu merekrut ahli, membantu mereka naik pangkat, dan mengubah suai motosikal serta pakaian mereka. Misi memerlukan strategi: memilih ahli yang betul, meletakkan kedudukan mereka, dan menggunakan kebolehan pasukan.
Pergaduhan adalah pantas, sinematik, dan huru-hara, berakhir dengan gaya pose yang menambah lawak. AI kadangkala tidak konsisten, dan pergaduhan kadang-kadang berlaku di kawasan yang terputus, tetapi ia adalah hiburan yang memberi ganjaran kepada kreativiti.

Game ini juga mempunyai bahan nostalgia seperti SEGA Game Gear yang boleh dimainkan dengan tajuk klasik.

Dark Ties pula menampilkan “Kanda Damage Control” dan “Hell’s Arena.” Mod Kanda menggabungkan simulasi sosial dengan combat, menugaskan kita u ntuk membina reputasinya dengan membantu penduduk bandar dan menyelesaikan pertikaian.
“Hell’s Arena” pula adalah dungeon crawler jenis rogue-lite di mana Mine bertarung melalui tahap janaan rawak, mengumpul barang dan menaik taraf kebolehan.
Kualiti Audio dan Lakonan Suara

Audio masih menonjol seperti biasa. Lakonan suara amat solid, dengan pelakon asal dan dialog baharu menambah bahan kandungan. Walaupun animasi muka agak kaku, lakonan suara membawa personaliti dan emosi kepada babak-babak tersebut. Beberapa watak telah dilakonkan semula, tetapi ia tidak menjejaskan kualiti.
Muzik termasuk remix klasik hingga lagu baharu, kadangkala menggunakan nada ceria atau ironik untuk kontras dengan detik gelap. Anda juga boleh menyesuaikan senarai muzik, dengan membiarkan Kiryu berjalan melalui bandar sambil mendengar lagu kegemaran seperti “Baka Mitai,” klasik SEGA, atau malah tema Angry Birds.

Dark Ties lebih cenderung kepada muzik yang berat dengan piano yang sesuai dengan nada seriusnya. Muzik ini seolah memberi rasa saspens dan drama. Secara keseluruhan, landskap bunyi menarik kita lebih jauh ke dalam emosi kedua-dua cerita.
Pendapat

Yakuza Kiwami 3 & Dark Ties berjaya sebagai remake dan expansionyang bijak. Ia memodenkan entri yang kontroversi tanpa menghilangkan identitinya, menyusun combat yang dikemas kini, pembinaan dunia, dan penerokaan watak.
Kandungan sampingan diberikan perhatian yang sama seperti misi utama, memastikan tiada apa terasa menjengkelkan. Dark Ties memperkayakan cerita, memberikan konteks yang diperlukan kepada Mine dan Kanda sambil menawarkan pengalaman gameplay yang unik.
Walaupun ada sedikit kekakuan animasi dan masalah pencahayaan, cita-cita dan pelaksanaan remake ini melenyapkan kekurangan tersebut. Bagi pendatang baharu, ia adalah titik permulaan yang mudah diakses, dan bagi veteran, ia adalah peluang untuk mengalami Yakuza 3 dalam bentuk yang lebih kaya.
Walaupun ada beberapa kekurangan, ia secara keseluruhan adalah remake yang menyeronokkan dan berbaloi untuk dialami.

Game ini dilancarkan pada 12 Februari 2026, untuk PlayStation 5, PlayStation 4, Nintendo Switch 2, Xbox Series X|S, dan PC (Steam). Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
The Review
Yakuza Kiwami 3 & Dark Ties
Yakuza Kiwami 3 & Dark Ties berjaya memberi nafas baharu kepada siri ini dengan visual Dragon Engine dan sistem combat yang telah diperbaiki daripada masalah lalu. Game ini mengimbangi kisah emosi Kiryu di rumah anak yatim dengan dunia jenayah yang saspens, manakala expansion Dark Ties menambah naratif yang penting kepada watak Yoshitaka Mine. Walaupun ada sedikit kekakuan pada animasi dan isu teknikal kecil, jalan cerita yang solid serta kandungan sampingan yang banyak menjadikannya sebuah remake yang cemerlang dan wajib dimainkan.
PROS
- Masa Kiryu di Morning Glory menyerlahkan kemanusiaannya, manakala Dark Ties memberikan Mine latar belakang dan personaliti yang lengkap
- Mengurus Morning Glory, Bad Boy Dragon, SEGA Game Gear, Kanda Damage Control, dan Hell’s Arena menyediakan tempoh gameplay yang pelbagai dan menarik
- Game ini berfungsi sebagai titik permulaan bagi mereka yang baru kepada Yakuza, sambil memuaskan hati veteran siri in
- Ia menambah naratif dan gameplay sebenar; bukan sekadar fan service untk melengkapkan cerita
CONS
- Sesetengah watak, termasuk Kiryu, menunjukkan ekspresi muka dan pergerakan yang terhad, yang mengurangkan kesan emosi
- Walaupun menyeronokkan dalam tempoh singkat, animasi panjang, roll yang kaku, dan pergerakan senjata yang terdedah kadangkala boleh mengganggu kelancaran combat









Discussion about this post