Bandai Namco telah mengumumkan Tales of Arise: Beyond the Dawn Edition, yang akan hadir ke konsol Nintendo Switch 2. Versi definitif bagi game action RPG tersebut akan membuat pelancaran pada 21 Mei.
Edisi baharu ini menggabungkan game asal (yang pernah memenangi anugerah RPG of the Year di The Game Awards 2021) bersama expansion besar “Beyond the Dawn.” Tales of Arise pada asalnya dilancarkan pada September 2021 untuk PlayStation dan Xbox serta PC.

Kisahnya mengikuti dua protagonis yang dilahirkan di dunia yang bertentangan: Alphen, seorang lelaki dari planet Dahna yang telah hilang ingatan serta deria rasa sakit; dan Shionne, seorang wanita dari planet pemerintah, Rena, yang sentuhannya menyebabkan kesakitan kepada sesiapa sahaja.
Bersama-sama, mereka memulakan perjalanan untuk menamatkan 300 tahun kezaliman Rena ke atas Dahna.

Expansion “Beyond the Dawn” pula, yang mula diperkenalkan pada 2023, berlatarkan masa setahun selepas penamat jalan cerita utama. Ia menyediakan epilog dengan lebih 20 jam gameplay baharu.
Dalam bab tambahan ini, pemain akan menyaksikan kesan selepas penyatuan dua dunia serta isu yang masih berterusan antara kaum Renan dan Dahnan. Naratifnya berpusat pada watak baharu bernama Nazamil, anak perempuan kepada seorang Renan Lord dan seorang Dahnan.
Identiti Nazamil yang berbelah bahagi memaksa Alphen dan rakan-rakannya berhadapan dengan prejudis yang masih menebal dalam masyarakat mereka.

Selain daripada kempen utama dan jalan cerita expansion tersebut, Beyond the Dawn Edition turut merangkumi pelbagai kandungan bonus seperti dungeon baharu, sub-quest, dan pelbagai kostum watak yang sebelum ini hanya dikeluarkan sebagai DLC.
Port ini menandakan kali pertama Tales of Arise boleh dimainkan di platform Nintendo.









Discussion about this post