Konami Digital Entertainment telah mendedahkan eFootball Kick-Off!, sebuah game bola sepak baharu yang dibina khusus secara eksklusif untuk Nintendo Switch 2.
Diumumkan semasa Nintendo Direct Partner Showcase semalam, game ini dijadualkan keluar secara digital pada pertengahan tahun ini, menandakan kemunculan francais tersebut di konsol Nintendo sejak dijenamakan daripada Pro Evolution Soccer (PES).
Manakala siri utama eFootball menumpukan kepada mekanik live-service, Kick-Off! menekankan falsafah “pick-up-and-play”. Versi ini dilaporkan akan memberi kawalan yang sama responsif serta fokus kepada mod offline dan local multiplayer.
Game ini menampilkan barisan pasukan kebangsaan dan kelab dari seluruh dunia, membolehkan pemain bersaing secara solo, mencabar rakan melalui local wireless, atau menguji kemahiran mereka secara dalam talian (online).

Konami telah mendedahkan beberapa mod permainan yang membezakan Kick-Off! daripada versi konsol lain:
- World Tour: Mod ini membolehkan pemain menubuhkan kelab sendiri dan bersaing dalam kejohanan di seluruh dunia. Satu mekanik pengambilan pemain yang unik membolehkan anda mendapatkan pemain daripada pihak lawan yang tewas atau menggunakan mata wang yang diperolehi untuk mendapatkan legenda bola sepak seperti David Beckham.
- International Cup: Mod ini mensimulasikan kejohanan Piala Dunia. Pemain akan mengawal pasukan kebangsaan untuk merebut kejuaraan dunia. Konami mengesahkan bahawa mod ini akan dikeluarkan sebagai DLC, kemungkinan besar dikeluarkan serentak dengan kejohanan sebenar.
- Mod Mesra Pemula: Dalam usaha supaya lebih mudah diakses, game ini menyertakan mod 6-lawan-6. Format ini membuang peraturan yang rumit untuk fokus kepada aksi menjaringkan gol, menjadikannya sesuai untuk sesi pantas atau pemain baharu. Sistem “Rank” akan menilai prestasi, membolehkan pemain beralih secara semula jadi ke perlawanan penuh 11v11 apabila kemahiran mereka meningkat.

Tarikh pelancaran yang spesifik masih belum disahkan.









Discussion about this post