Sudah lima tahun berlalu sejak Hajime Isayama menamatkan manga Attack on Titan dengan pengakhiran yang agak berkontroversi, namun siri ini masih menjadi bualan hangat sehingga ke hari ini. Satu persoalan besar yang masih menjadi topik hangat selama bertahun-tahun: Siapakah lelaki yang berdiri di samping Mikasa Ackerman semasa mereka melawat kubur Eren Yeager?

Sekarang, kita akhirnya mendapat jawapan yang pasti. Satu pengumuman telah menamatkan segala spekulasi dan teori “JeanKasa”, sekali gus mengesahkan bahawa Mikasa sememangnya membina kehidupan bersama Jean Kirstein.
Pengesahan ini datang menerusi Attack on Titan: Final Season Blu-ray Audio Guide. Jika sebelum ini versi manga dan anime hanya menunjukkan pandangan belakang seorang lelaki yang menemani Mikasa melawat kubur Eren, tukang narator dalam panduan audio secara eksplisit mengenal pasti pasangan berkenaan.
Berdasarkan terjemahan audio Jepun yang sedang tular (dikongsikan oleh @lizhecateisis), narator menjelaskan babak kunjungan ke kubur begini; “Mikasa dan Jean melawat bersama anak-anak mereka.”

Berdasarkan maklumat terbaharu ini, hubungan mereka bukanlah sekadar teman sementara. Kandungan post-credit dan panduan audio tersebut mengesahkan bahawa mereka melalui kehidupan yang panjang bersama-sama.
Malah, pasangan itu akhirnya ditunjukkan sebagai pasangan warga emas yang terus setia melawat kubur Eren sambil ditemani oleh anak-anak dan cucu-cucu mereka.

Walaupun berkahwin dengan Jean, siri ini masih mengekalkan kesetiaan hubungan Mikasa terhadap Eren. Sehingga mati tua, Mikasa masih menghargai selendang merah pemberian Eren, di mana dia memakainya sehingga ke akhir hayat, dan akhirnya dikebumikan bersama selendang tersebut.

Selama bertahun-tahun, identiti suami Mikasa sering menjadi topik “perang” dalam kalangan peminat. Ada yang berpendapat ia hanyalah watak sampingan yang tidak dikenali, manakala yang lain yakin bahawa ciri fizikal dan gaya rambut lelaki tersebut merujuk kepada Jean.
Kini, dengan narator yang menyebut nama Jean secara jelas, segala tanda tanya telah terjawab.









Discussion about this post