NetEase Games bersama pembangun Joker Studio telah mengesahkan ujian alpha untuk projek terbaru mereka, “Sea of Remnants.” Sesi ujian ini akan dibuka kepada pemain PC melalui Steam untuk tempoh terhad, iaitu dari 5 hingga 12 Februari.
Mereka yang berminat boleh mendaftar untuk menyertai Closed Alpha ini bermula hari ini sehingga 23 Januari. Untuk memohon, anda boleh mengikuti akaun rasmi “Sea of Remnants” di platform X dan memberi like, membuat repost, atau meninggalkan komen pada posting pengumuman.
Selain itu, borang pendaftaran khas turut disediakan di halaman rasmi Steam, Reddit, dan juga Discord.

Serentak dengan pengumuman ini, sebuah gameplay baharu turut dilancarkan. Video tersebut memaparkan elemen eksplorasi open-world, babak pertarungan melawan raksasa laut, serta pelbagai aktiviti dan minigame yang boleh didapati di kota Orbtopia.
Dalam “Sea of Remnants,” pemain akan mengawal watak seorang kelasi “puppetfolk” yang amnesia. Aspek utama tertumpu pada pengembaraan merentasi lautan berbahaya, menentang raksasa-raksasa unik, serta membina dan mengubah suai kapal milik sendiri.
Salah satu tarikan utama ialah peluang untuk membina hubungan dengan lebih 300 watak sampingan yang boleh direkrut sebagai ahli kru. Pihak pembangun turut menegaskan bahawa setiap pilihan yang dibuat oleh pemain akan memberi kesan kepada pembangunan dan evolusi kota Orbtopia.

Pemain bebas untuk mengemudi kapal ke segenap pelusuk lautan, mendarat di mana-mana pulau, dan kembali dengan harta karun. Dunia permainan dipenuhi dengan watak-watak termasuk watak yang boleh dipujuk untuk menyertai pengembaraan anda.
Dalam combat, pemain akan mengetuai kapal perang yang serba lengkap untuk berdepan dengan pelbagai makhluk buas, termasuk kelawar gergasi, gorila bersenjatakan meriam, dan juga ketam raksasa yang menjaga harta karun.
Aktiviti di darat juga tidak kurang menariknya, dari jalan-jalan sibuk di Orbtopia hinggalah ke penempatan terpencil di mana pemain boleh mencuba nasib dalam mahjong atau menyertai pertarungan mendebarkan.

Menurut rancangan, “Sea of Remnants” sasar untuk pelancaran penuh pada tahun 2026. Ia akan tersedia untuk platform PlayStation 5, PC (melalui Steam), iOS, dan Android. Projek ini dibangunkan oleh Joker Studio, studio sama yang sebelum ini telah meraih populariti melalui game asymmetrical multiplayer mereka, “Identity V.”









Discussion about this post