Selepas bertahun-tahun terperangkap dalam ketidakpastian, adaptasi filem daripada permainan video “Sleeping Dogs” kembali dengan kemas kini baharu. Bintang “Shang–Chi” Simu Liu telah mengesahkan bahawa pengarah aksi terkenal dari Indonesia, Timo Tjahjanto, akan menerajui projek ini.
Berita gembira ini dikongsikan oleh Liu, yang bukan sahaja akan membawa watak utama Wei Shen tetapi juga memegang peranan sebagai produser, menerusi satu retweet.
Kolaborasi antara mereka ini disambut baik dan dilihat sebagai gabungan ideal oleh para gamer serta filem aksi. Reputasi Tjahjanto datang daripada hasil karyanya yang menampilkan aksi ganas dan realistik, seperti yang dapat disaksikan dalam filem sekuel Nobody 2 lakonan Bob Odenkirk dan filem thriller Netflix, The Night Comes For Us.
Malah, The Night Comes For Us sering dianggap mempunyai semangat yang sama dengan ‘Sleeping Dogs’ berikutan persamaannya dari segi seni bela diri yang hebat, koreografi yang kemas, dan persekitaran yang suram.
Usaha untuk merealisasikan filem ‘Sleeping Dogs’ bukanlah satu proses yang mudah dan telah melalui pelbagai cabaran. Sebelum ini, pada tahun 2017, sebuah versi adaptasi telah diumumkan dengan bintang ikon seni bela diri, Donnie Yen, sebagai pelakon utamanya.
Namun, selepas beberapa tahun tanpa sebarang perkembangan, Yen sendiri telah memaklumkan pada awal tahun 2025 bahawa projek yang melibatkannya itu telah dibatalkan.

Berikutan berita tersebut, Simu Liu mengumumkan bahawa beliau telah mengambil alih usaha menghidupkan semula projek adaptasi ini, dengan beliau sendiri akan bertindak sebagai pelakon utama di samping memikul tanggungjawab sebagai produser.

Permainan video ‘Sleeping Dogs’ yang menjadi sumber adaptasi ini asalnya dilancarkan pada tahun 2012, hasil pembangunan United Front Games dan diterbitkan oleh Square Enix. Ia merupakan sebuah game genre open-world action-adventure yang membawa pemain ke bandar raya Hong Kong.
Plot utamanya berkisar tentang Wei Shen, seorang anggota polis berdarah Hong Kong-Amerika, yang menerima tugasan berisiko tinggi untuk menjadi ejen penyamar dan menyelinap ke dalam kumpulan kongsi gelap terkenal, Triad Sun On Yee.
Kekuatan utama game ini terletak pada penceritaannya, di mana pemain terpaksa berdepan dilema moral antara tanggungjawabnya sebagai penegak undang-undang dan ikatan persahabatan dalam dunia jenayah.
Gameplay pula menggabungkan elemen-elemen unik seperti seni bela diri yang brutal, aksi tembak-menembak, serta parkour yang tangkas, kesemuanya diilhamkan oleh filem-filem aksi klasik dari Hong Kong.









Discussion about this post