Jalan-jalan di Shibuya telah berubah ke Kamurocho pada bulan ini, sempena pameran “Like a Dragon – The Four Ceremonies of Life” yang kini melangkah ke hujung minggu terakhirnya.

Acara ini berlangsung di BEAM Gallery dan diadakan khusus bagi meraikan ulang tahun ke-20 francais yang dahulunya dikenali sebagai Yakuza. Sejak dibuka pada 28 November lalu, ribuan peminat telah membanjiri lokasi.
Memandangkan pameran di Tokyo bakal melabuhkan tirainya pada 22 Disember ini, pasukan kami sempat berkunjung untuk merasai sendiri pengalaman unik ini sebelum ia dibawa ke Osaka.

Pameran anjuran Ryu Ga Gotoku Studio ini bukanlah sekadar muzium biasa. Ia merupakan sebuah acara berskala besar yang direka untuk membawa peminat menyelami tema francais. Pengalamannya disusun berteraskan konsep budaya Jepun “Kankonsosai”—iaitu empat upacara utama dalam kitaran hidup manusia.

Pameran ini terbahagi kepada empat zon bertema iaitu:
- Kan (Kedewasaan): Meraikan proses pembesaran, kematangan, dan fasa peralihan watak-watak kesayangan ramai.
- Kon (Perkahwinan): Menumpukan kepada tema cinta dan penyatuan, zon yang kini sedang hangat diperkatakan di internet.
- So (Pengebumian): Ruang penghormatan buat watak-watak yang telah “pergi” sepanjang sejarah francais ini.
- Sai (Perayaan): Mengangkat semangat pesta yang meriah serta warisan game ini.
Garis Masa dan Pameran Watak

Kunjungan kami bermula dengan tayangan montaj yang memaparkan detik-detik penting dari keseluruhan siri Like a Dragon. Ia disusuli dengan ucapan aluan khas menerusi video oleh Takaya Kuroda, pemilik suara watak Kazuma Kiryu, yang menyambut ketibaan pengunjung.

Di bahagian dalam, kami meneroka ruang yang menghidupkan kembali babak-babak sinematik utama. Sebuah garis masa gergasi terpampang di dinding, menjelaskan sejarah dan perkembangan watak selama dua dekad.
Apa yang paling mencuri tumpuan adalah skala pameran wataknya; ada lebih 1,500 watak dipaparkan, merangkumi ketua klan utama sehinggalah watak-watak kecil daripada substory.
Kami juga tidak melepaskan peluang berinteraksi dengan set foto yang disediakan untuk pengunjung umum, termasuk bergambar bersama standee saiz sebenar Kazuma Kiryu dan peluang menjadi ketua sindiket jenayah di set bilik mesyuarat.
Zon Perkahwinan

Walaupun pameran sejarahnya menarik, zon “Kon” (Perkahwinan) ternyata menjadi bualan paling hangat. Sejak awal Disember, zon ini tular di platform X (Twitter) dan Reddit apabila foto peminat memakai gaun pengantin sebenar untuk “berkahwin” dengan kadbod watak kegemaran mereka tersebar luas.
Rupa-rupanya, pameran ini menawarkan pakej “Pengalaman Perkahwinan” premium buat peminat tegar. Dengan bayaran sekitar ¥150,000, pemenang cabutan bertuah boleh menyertai majlis perkahwinan olok-olok.
Pakej ini termasuk khidmat solekan dan dandanan rambut profesional, sewaan tuksedo atau gaun, serta upacara bersama jurunikah untuk “mengahwini” panel watak bersaiz sebenar seperti Kiryu, Goro Majima, atau Ichiban Kasuga. Lebih mencuit hati, peserta turut diberikan sijil nikah dan cerai yang “tidak sah di sisi undang-undang.”
Zon Memorial

Kontra dengan suasana gembira di zon perkahwinan, zon “So” (Pengebumian) tampil dengan suasana yang suram. Ruang ini didedikasikan untuk memperingati watak-watak yang telah mati, tidak kira sama ada penjahat mahupun sekutu. Potret-potret watak disusun seperti altar pengebumian tradisional Jepun.

Barangan Eksklusif Ulang Tahun

Sebelum melangkah pulang, kami singgah di kedai cenderamata yang menjual barangan eksklusif ulang tahun ke-20. Selain barangan biasa seperti kemeja-T, cawan, dan lencana, ada juga barangan unik seperti cawan sake yang dicop dengan “lambang klan”, stand akrilik watak dalam persalinan rasmi, dan pelbagai koleksi lain.
Bagi anda yang terlepas peluang ke acara di Tokyo yang berakhir Isnin ini, pameran ini akan diteruskan di Galeri Osaka Nanko ATC bermula 6 hingga 24 Februari 2026.
Maklumat Tiket
- Lokasi Tokyo: BEAM Gallery, Shibuya (Tamat 22 Dis, 2025)
- Lokasi Osaka: Osaka Nanko ATC Gallery (6 – 24 Feb, 2026)
- Tiket: Boleh didapati melalui Lawson Ticket (L-code: 33121). Tiket awal berharga 2,600 JPY.
Untuk maklumat lanjut tentang acara Like a Dragon – The Four Ceremonies of Life, layari laman web rasmi.























![[CF 2025] Komik Hong Kong Kembali Meriahkan Comic Fiesta 2025, Mempamerkan Karya-Karya Yang Memenangi Anugerah!](https://cdn.gamersantai.com/2025/12/KOMIK-HONG-KONG_CF2025_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post