PGL secara rasmi mengumumkan bahawa ia akan menganjurkan PGL Singapore Major 2026, iaitu kejohanan Major kedua bagi game Counter-Strike 2 pada tahun tersebut. Acara ini bakal dilangsungkan bermula dari 25 November sehingga 13 Disember 2026, dan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah USD 1,250,000.
Penganjuran kejohanan ini mencipta sejarah tersendiri sebagai Major Counter-Strike 2 yang pertama di rantau Asia Tenggara.
Sebanyak 32 pasukan Counter-Strike 2 dari seluruh pelusuk dunia akan berentap dalam tiga fasa pertandingan bagi merebut kejuaraan berprestij ini.
Peringkat akhir kejohanan, yang akan berlangsung selama empat hari, akan mengambil tempat di Singapore Indoor Stadium, sebuah arena yang sering menjadi lokasi penganjuran acara sukan dan hiburan antarabangsa berskala besar.
Penganjuran PGL Singapore Major 2026 menandakan satu pengembangan besar dalam arena kompetitif Counter-Strike, yang sebelum ini lebih banyak tertumpu di benua Eropah dan Amerika Utara.
Dengan membawa kejohanan bertaraf Major ini ke Asia Tenggara, PGL berharap dapat menyemarakkan lagi pertumbuhan komuniti gaming di sebuah rantau yang baharu.
Format kejohanan ini akan diakhiri dengan perlawanan akhir Grand Final yang menggunakan format “best-of-five” bagi menobatkan sang juara.
Pihak PGL turut memberi jaminan akan mengekalkan komitmen mereka terhadap integriti pertandingan, kualiti produksi penyiaran, serta penyediaan pengalaman yang tulen dan mengasyikkan untuk para pemain dan peminat.

Kejohanan di Singapura ini akan menjadi penganjuran Counter-Strike Major yang kelima bagi PGL, setelah kejayaan acara-acara serupa di Krakow, Stockholm, Antwerp, dan Copenhagen.
Organisasi ini sememangnya dikenali sebagai penganjur kepada beberapa acara yang mencatatkan jumlah tontonan tertinggi dalam sejarah game ini, antaranya PGL Major Stockholm 2021, PGL Major Antwerp 2022, dan PGL Major Copenhagen 2024.
Selain itu, Singapore Major ini juga merupakan acara e-sukan kelima anjuran PGL di negara tersebut, sekali gus meneruskan legasi penganjuran kejohanan-kejohanan besar termasuklah untuk Dota 2.
Penjualan tiket bagi menyaksikan PGL Major Singapura 2026 dijangka akan dibuka kepada orang ramai dalam tempoh beberapa bulan lagi. Maklumat terperinci mengenai penjualan tiket akan diumumkan kelak menerusi laman web rasmi PGL.




![[AFASG25] Eksklusif Bersama Shoji Kawamori: Pencipta Macross Mengupas Karya Terbaharunya “Labyrinth”](https://cdn.gamersantai.com/2025/12/Shoji-Kawamori_INTERVIU_Feature-Image-75x75.jpg)




Discussion about this post