Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Reviu POCO Pad X1 – Boleh Dipercayai, Praktikal dan Mampu Milik!

Razin Syafiq by Razin Syafiq
November 27, 2025
in Artikel, Berita, Review, Review Produk, Tablet, Teknologi
0 0
0
Reviu POCO Pad X1 – Boleh Dipercayai, Praktikal dan Mampu Milik!
Share on FacebookShare on Twitter

POCO Pad X1 merupakan ahli keluarga terbaharu dalam siri tablet POCO yang semakin berkembang, menyusuli model seperti POCO Pad M1. Berbeza dengan POCO Pad M1 yang memberi tumpuan kepada harga mampu milik dan prestasi asas, X1 pula direka untuk antara keperluan produktiviti, hiburan, dan gaming pada tahap sederhana.

Peranti ini tidak cuba mengagumkan anda dengan ciri-ciri canggih yang berlebihan atau mendakwa mampu berfungsi sebagai pengganti komputer riba. Sebaliknya, fokus utamanya adalah untuk menjadi sebuah tablet yang mudah digunakan, selesa, dan boleh diharap untuk tugasan harian.

Tambahan pula, spesifikasi yang ditawarkan memberi petunjuk jelas bahawa ia merupakan versi penjenamaan semula daripada Xiaomi Pad 7, satu perkara yang positif memandangkan reputasi kukuh peranti tersebut. Apa pun, mari kita mulakan ulasan ini.

Reka Bentuk & Kualiti Binaan

Konsep reka bentuk “Powerfully Slim” oleh POCO amat terserlah pada POCO Pad X1. Dengan ketebalan hanya 6.18mm dan berat sekitar 500 gram, tablet ini hadir dengan rekaan unibodi aluminium yang elegan, menampilkan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 85.4%.

Gaya minimalis yang diterapkan kelihatan disengajakan, dengan garisan kemas, kemasan yang kalis kesan cap jari, dan hampir tiada sebarang jenama selain logo POCO yang terletak di tengah-tengah bahagian belakang. Rekaannya ringkas, tampak profesional, dan mempunyai sentuhan yang sangat halus bagi sebuah peranti dalam julat harganya.

Kamera hadapan ditempatkan di sisi kanan apabila tablet dipegang secara menegak, menjadikannya berada di posisi atas yang ideal semasa penggunaan dalam mod landskap. Kedudukan ini jelas sekali dioptimumkan untuk panggilan video, mesyuarat dalam talian, dan penghasilan kandungan.

Butang kawalan pula berada di penjuru kanan atas dalam kedudukan menegak. Walaupun pada mulanya ia mungkin terasa sedikit sukar untuk dicapai, kedudukannya menjadi lebih natural apabila tablet digunakan secara melintang.

Kehadiran pin Pogo di bahagian belakang turut mengesahkan hasrat POCO untuk menjadikan peranti ini sebagai alat produktiviti apabila dipadankan dengan aksesori papan kekunci.

Unit berwarna kelabu yang kami ulas mempunyai tona arang yang pekat—hampir menyerupai warna hitam—yang memberikan sentuhan elegan yang tidak keterlaluan. Walaupun tidak menonjol, reka bentuknya tidak dapat disangkal lagi kelihatan moden.

Kualiti Paparan

POCO Pad X1 dilengkapi dengan skrin 3.2K bersaiz 11.2 inci yang mempunyai ketajaman 345 ppi dan menyokong kadar segar semula sehingga 144Hz.

Paparannya cerah, pergerakannya lancar, dan ia terus terasa selesa untuk digunakan hasil daripada kalibrasi warna yang semula jadi serta pensijilan TÜV Rheinland yang menjamin tahap cahaya biru rendah dan prestasi bebas kelipan.

Nisbah aspek 3:2 amat sesuai untuk tujuan produktiviti kerana ia menyediakan lebih banyak ruang menegak untuk paparan dokumen, pelayar web, atau aktiviti membaca.

Warna yang dihasilkan kelihatan hidup tetapi masih terkawal, mengelakkan paparan yang terlalu tepu seperti yang sering dilihat pada sesetengah peranti kelas pertengahan. Teks kelihatan jelas, ikon dipaparkan dengan sangat tajam, dan pengalaman navigasi secara keseluruhannya terasa lancar.

Ia merupakan sebuah skrin yang sesuai untuk pelbagai aktiviti seperti membaca e-buku, melayari media sosial, menonton video, menguruskan helaian data, atau bermain game ringan.

Tahap kecerahan juga menjadi salah satu kelebihannya; skrin masih boleh dilihat dengan jelas walaupun di bawah cahaya matahari terik. Satu-satunya kelemahan yang nyata berpunca daripada teknologi panel yang digunakan.

Sebagai sebuah panel LCD, ia sememangnya tidak mampu menandingi kehitaman pekat, tahap kontras, atau sudut pandangan skrin OLED, yang menyebabkan visual kelihatan sedikit pudar semasa menonton kandungan yang gelap.

Namun begitu, bagi kategorinya, paparan ini kekal sebagai salah satu aset terbesar POCO Pad X1 dan ia lebih daripada mencukupi untuk kegunaan harian.

Prestasi

Diperkasakan oleh cip Snapdragon 7+ Gen 3 yang dihasilkan melalui proses 4nm, POCO Pad X1 menawarkan prestasi yang konsisten dan boleh diharap untuk semua tugasan lazim.

Gabungan RAM LPDDR5X dan storan UFS 4.0 memastikan aplikasi dilancarkan dengan pantas, transisi UI terasa kemas, dan keupayaan multitasking kekal lancar walaupun ketika menggunakan beberapa floating windonw atau mod split-screen.

Proses bertukar antara aplikasi yang berat juga amat lancar—beralih daripada satu game ke Netflix, kemudian ke YouTube, dan kembali semula ke game lain tidak menunjukkan sebarang kelambatan yang ketara, namun aktiviti sebegini yang kerap akan menyebabkan bateri habis dengan lebih cepat.

Untuk penggunaan harian, tablet ini mampu mengendalikan sesi pembelajaran, membuat nota, aplikasi lakaran, melayari internet, dan menonton video tanpa sebarang masalah. Sistem pengurusan haba juga berfungsi dengan baik, memastikan peranti kekal selesa walaupun selepas penggunaan untuk tempoh yang lama.

Kami seterusnya menguji POCO Pad X1 dengan beberapa sesi gaming untuk menilai keupayaannya mengendalikan judul-judul kasual dan yang lebih mencabar.

  • Untuk PUBG Mobile, kami menetapkan grafik pada tahap HD dengan kadar bingkai Ultra dan kecerahan maksimum selama satu jam. Tablet ini berjaya mengekalkan prestasi yang stabil sepanjang sesi tanpa peningkatan suhu yang mendadak, walaupun penggunaan bateri agak tinggi, iaitu sekitar 30% penurunan.
  • Seterusnya, Wuthering Waves dapat dimainkan dengan lancar pada tetapan rendah dengan 30 FPS selama sejam. Peranti ini mengendalikannya dengan baik, tetapi apabila tetapan dinaikkan, ia mula menjadi panas dan penggunaan bateri meningkat kepada kira-kira 40%. Ini menunjukkan ia mampu mencapai prestasi lebih tinggi, tetapi tidak disarankan untuk sesi gaming yang panjang pada tetapan maksimum.
  • Satu lagi ujian yang berat, Zenless Zone Zero dimainkan pada tetapan tertinggi dan berjaya mengekalkan kadar 50 FPS yang stabil selama satu jam. Tablet mula terasa hangat selepas 30 minit, tetapi haba tersebut masih terkawal, dan bateri berkurangan sebanyak 32%. Dengan sedikit penyesuaian pada tetapan, pemain boleh mendapatkan pengalaman 60 FPS yang lancar tanpa membebankan perkakasan secara berlebihan.
  • Akhir sekali, Delta Force pada tetapan tinggi dan 60 FPS telah menguji had kemampuan tablet ini. Walaupun secara teknikal ia mampu menjalankan game pada 120 FPS, ia menyebabkan pengumpulan haba yang ketara dan mencatatkan penggunaan bateri paling tinggi dalam ujian kami, iaitu hampir 49% dalam masa sejam.

Secara keseluruhan, POCO Pad X1 membuktikan ia amat sesuai untuk aktiviti gaming kasual hingga sederhana. Ia berupaya mengendalikan judul-judul mobile popular dengan lancar, tetapi ia bukanlah sebuah peranti yang direka untuk sesi gamikng tahap tinggi yang berterusan atau pada kadar 120 FPS.

Tablet ini mengutamakan prestasi yang konsisten dan pengurusan haba yang baik berbanding kuasa pemprosesan semata-mata.

Kualiti Audio

Dengan sistem empat pembesar suara dan sokongan Dolby Atmos, POCO Pad X1 menyajikan pengalaman audio yang memuaskan. Medan bunyinya terasa luas dan berarah, menjadikan tontonan filem, panggilan suara, dan game lebih imersif berbanding jangkaan untuk sebuah peranti dalam lingkungan harganya.

Bunyi treble kedengaran jelas, manakala tahap kelantangan boleh ditingkatkan dengan banyak tanpa bunyi pecah atau isu. Namun begitu, dentuman bass agak sederhana—cukup baik untuk penggunaan media biasa tetapi mungkin tidak akan memuaskan hati para audiophile.

Walaupun begitu, untuk sebuah tablet kelas pertengahan, kualiti audionya boleh dianggap sangat baik.

Perisian & Pengalaman UI

POCO Pad X1 menggunakan HyperOS 3 yang berasaskan Android 16, menawarkan UI yang kemas, tersusun, dan bebas daripada aplikasi pra-pasang yang berlebihan. Navigasi berasaskan gerak isyarat terasa tepat, animasi bergerak dengan lancar, dan keseluruhan sistem kelihatan dioptimumkan dengan cemerlang untuk saiz paparan yang besar.

HyperOS terus memperkukuh kelebihan ekosistem Xiaomi melalui ciri-ciri seperti clipboard kongsi, penyelarasan panggilan, notifikasi antara peranti, penyelarasan rangkaian, sokongan untuk sambungan skrin (akan tersedia melalui kemas kini OTA), dan kebolehan untuk memindahkan aplikasi dengan mudah antara peranti yang terhubung.

Kehadiran alat HyperAI seperti sari kata AI, penterjemah AI, pembantu penulisan AI, fungsi pertuturan-ke-teks, dan Mi Canvas untuk kreativiti seni menambah nilai produktiviti, terutamanya bagi golongan pelajar dan profesional.

Dengan jaminan kemas kini sehingga tiga versi utama Android dan security patch selama lima tahun, sokongan perisian untuk jangka masa panjang adalah terjamin.

Hayat Bateri & Pengecasan

Ketahanan bateri merupakan antara kelebihan utama POCO Pad X1. Bateri berkapasiti 8850mAh ini secara konsisten menawarkan masa penggunaan yang panjang, membolehkan peranti ini bertahan selama 10 hingga 12 jam dengan corak penggunaan yang pelbagai.

Untuk tontonan video, ia mampu bertahan sekitar 8 hingga 9 jam, manakala untuk aktiviti melayari internet, ia boleh mencecah lebih daripada 11 jam.

Berdasarkan ujian sebenar, menonton video YouTube 4K dengan kecerahan penuh selama satu jam hanya menggunakan kira-kira 26% bateri—satu pencapaian yang hebat mengambil kira tahap kecerahan dan resolusi skrin.

Proses mengecas peranti dari 5% sehingga penuh mengambil masa lebih kurang 1.5 jam dengan menggunakan pengecas 45W yang disertakan. Seperti semua bateri jenis litium, adalah disyorkan untuk mengaktifkan mod Battery Protection bagi mengehadkan pengecasan kepada 80% demi menjaga kesihatan bateri untuk jangka masa panjang.

Sistem Kamera

POCO Pad X1 dilengkapi dengan kamera utama 13MP di bahagian belakang dan kamera hadapan 8MP. Seperti yang dijangkakan, prestasi kameranya lebih kepada fungsi praktikal dan bukannya mengagumkan.

Kamera ini lebih sesuai digunakan untuk panggilan video, kelas dalam talian, mengimbas dokumen, atau mengambil gambar secara santai.

Pilihan rakaman video yang tersedia ialah 720p pada 30FPS, 1080p pada 60FPS, dan 4K pada 30FPS; namun, ketiadaan pilihan asas 720p pada 60FPS merupakan satu kekurangan kecil yang agak aneh. Secara amnya, sistem kamera ini disertakan atas dasar keperluan dan bukan sebagai ciri jualan utama.

Sambungan

Aspek kesambungan pada peranti ini adalah mantap, dengan sokongan untuk Wi-Fi 6E dan Bluetooth 5.4. Prestasi Wi-Fi amat memberangsangkan, di mana ia mampu mengekalkan sambungan yang stabil walaupun berada di dalam bilik yang jauh dari router.

Aktiviti seperti bermain game dalam talian dan penstriman video berjalan tanpa sebarang gangguan. Begitu juga dengan Bluetooth, ia menunjukkan peningkatan dari segi julat sambungan dan kestabilan peranti, menjadikannya pilihan yang boleh dipercayai untuk peranti audio tanpa wayar atau aksesori lain.

Perbandingan dan Kedudukan di Pasaran

POCO Pad X1 tidak berhasrat untuk menyaingi model premium seperti iPad atau Samsung Galaxy Tab S, dan ia sememangnya tidak perlu berbuat demikian.

Sebaliknya, ia memposisikan dirinya sebagai peranti seimbang untuk produktiviti dan hiburan yang direka untuk menjadi teman yang boleh diharap, serba boleh, dan selesa untuk tugasan harian. Para pelajar pastinya akan menghargai prestasinya yang lancar dan hayat bateri yang panjang semasa kelas dalam talian atau sesi ulangkaji.

Ia juga sesuai sebagai pusat hiburan untuk seisi keluarga, manakala golongan profesional boleh memanfaatkannya sebagai skrin kedua yang ringan dan mudah dibawa.

Bagi pengembara, reka bentuknya yang nipis dan ketahanan baterinya amat menarik, manakala pengguna biasa dapat menikmati pengalaman yang lancar tanpa perlu berbelanja besar untuk perkakasan bertaraf tinggi.

Walau bagaimanapun, POCO Pad X1 mempunyai beberapa kekurangannya. Cip pemprosesannya, walaupun berkemampuan, masih tergolong dalam kelas pertengahan dan kurang sesuai untuk beban kerja profesional, permainan AAA, atau sesi permainan berpanjangan pada kadar segar semula yang tinggi.

Bagi mereka yang inginkan peranti dengan penampilan premium, reka bentuknya mungkin kelihatan terlalu ringkas. Skrin LCDnya, walaupun tajam dan cerah, tidak dapat menandingi kekayaan warna yang ditawarkan oleh panel OLED. Pembesar suaranya, walaupun baik, tidak setanding dengan tablet perdana.

Kualiti kamera pula berada pada tahap sederhana, dan ia tidak dilengkapi dengan pengimbas cap jari, NFC, bicu fon kepala, atau slot kad microSD.

Namun, tablet ini masih cemerlang dalam memenuhi matlamatnya. Ia berfungsi sebagai peranti serba boleh yang tidak bergantung pada ciri-ciri gah, sebaliknya pada konsistensi dan keseimbangan.

Kekuatannya adalah pada kemampuannya memberikan pengalaman yang boleh dipercayai sejak kali pertama ia dihidupkan—sebuah tablet yang tidak berpura-pura menjadi sesuatu yang lebih hebat, tetapi pada masa yang sama tidak pernah terasa kekurangan.

Pendapat

Kesimpulannya, POCO Pad X1 adalah sebuah tablet kelas pertengahan yang lengkap kerana ia mengutamakan keselesaan, keseimbangan, dan kebolehpercayaan.

Dengan paparan 3.2K yang tajam, hayat bateri yang mantap, prestasi yang stabil, dan perisian yang mesra produktiviti, ia menonjol sebagai salah satu tablet paling praktikal dalam segmennya.

Daripada bersaing dengan model-model premium, ia sebaliknya bermatlamat untuk menjadi tablet yang “sentiasa berfungsi”—sebuah peranti yang menyokong tugasan harian anda tanpa sebarang gangguan atau kesulitan.

Bagi golongan pelajar, keluarga, profesional, dan mereka yang sering berulang-alik, POCO Pad X1 menawarkan nilai yang sangat berbaloi. POCO telah menghasilkan sebuah peranti yang lebih menekankan kehalusan berbanding gimik, dan hasilnya adalah sebuah tablet yang terasa matang, efisien, dan benar-benar bermanfaat.

Jika anda memerlukan sebuah peranti pendamping yang boleh diharap untuk menemani anda sepanjang hari sama ada untuk bekerja, belajar, atau berhibur, POCO Pad X1 sememangnya lebih daripada bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.

POCO Pad X1 dengan varian 8GB+512GB, yang tersedia dalam pilihan warna Kelabu dan Biru, kini ditawarkan pada harga RM 1,299 berbanding harga biasa RM 1,499. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

Tags: POCO Pad X1reviu
ShareTweetSend
Previous Post

Fakta Menarik Setiap Arc BoBoiBoy Galaxy 2 Diceritakan Sendiri Oleh Pencipta Nizam Abdul Razak

Next Post

Reviu Xiaomi 15T – Peranti Mid-Range Cukup Berkuasa Dengan Ciri-Ciri Hebat

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Di Sebalik Tabir ACE COMBAT 8 – Pesawat Lebih Realistik, Awan Penentu Strategi & Fizik Letupan Baharu!
Temuramah

Di Sebalik Tabir ACE COMBAT 8 – Pesawat Lebih Realistik, Awan Penentu Strategi & Fizik Letupan Baharu!

June 4, 2026
Previu ACE COMBAT 8: WINGS OF THEVE – Perang Udara yang Jauh Lebih Realistik!
Preview

Previu ACE COMBAT 8: WINGS OF THEVE – Perang Udara yang Jauh Lebih Realistik!

June 4, 2026
The Lost Wild – Game Dinosaur Survival Yang Mengutamakan Stealh & Saspens!
Berita

The Lost Wild – Game Dinosaur Survival Yang Mengutamakan Stealh & Saspens!

June 4, 2026
Next Post
Reviu Xiaomi 15T – Peranti Mid-Range Cukup Berkuasa Dengan Ciri-Ciri Hebat

Reviu Xiaomi 15T - Peranti Mid-Range Cukup Berkuasa Dengan Ciri-Ciri Hebat

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd