Beberapa hari lepas, Google Play telah mendedahkan senarai “Best Games of 2025” untuk Malaysia yang telah memikat hati para mobile gamer. Dipilih oleh majlis editorial Google Play, para pemenang tahun ini merangkumi pelbagai genre dan diiktiraf atas inovasi, penglibatan komuniti, dan pengalaman berbilang peranti merentasi telefon pintar, tablet dan PC.
Merangkul gelaran Best Game ialah “Magic Chess: Go Go” oleh Vizta Games. Sebuah auto-battler berlatarkan dunia Mobile Legends yang popular, game ini dipuji kerana kebolehannya untuk mengalu-alukan pemain baharu ke dalam genre yang kompleks dengan tutorial intuitif dan mekanik menarik.
Komitmen pembangunnya terhadap arena e-sukan dan komuniti pemain turut diketengahkan sebagai faktor utama kejayaannya.
Anugerah untuk Best Multi-device Game diberikan kepada “Disney Speedstorm” daripada Gameloft SE. Game lumba ini menyajikan pengalaman yang mendebarkan di semua platform seperti PC, tablet dan telefon.
Para pemain boleh berlumba melalui lokasi-lokasi ikonik Disney dan Pixar seperti Candy Kingdom dari Wreck-It-Ralph dan Arendelle dari Frozen dengan kawalan yang responsif dan prestasi yang dioptimumkan. Ciri-ciri seperti cross-play dan cross-progression mengukuhkan lagi kemenangannya.
Untuk meraikan pengalaman yang dikongsi bersama, “Garena Delta Force” oleh Garena Mobile Private Limited dinamakan sebagai Best Multiplayer. Game ini dipuji kerana memberikan keseronokan luar biasa, sama ada dimainkan bersama rakan-rakan atau secara solo.
Bagi pemain yang mencari keseronokan segera, “Ragnarok Crush: Match & Merge” oleh Gravity Game Hub PTE. LTD. memenangi kategori Best Pick Up and Play. Judul ini menawarkan hiburan yang mudah diakses, sesuai untuk sesi gaming yang singkat mahupun yang lebih lama, dengan gameplay match-3 dan merge.
Semangat pembangunan indie diraikan dengan anugerah Best Indie yang diberikan kepada “Cat Legends: Idle RPG Games” daripada Dreams Games. RPG idle ini diiktiraf kerana nilai seni dan tahap gameplay, serta berjaya menarik perhatian pemain dengan pendekatannya yang unik terhadap genre tersebut.
“SD Gundam G Generation ETERNAL” daripada Bandai Namco Entertainment Inc. membawa pulang hadiah untuk Best Story. Game simulasi Gundam ini dipuji kerana naratifnya yang menarik yang menjadi pendorong kepada pengalaman pemain. Game ini telah diiktiraf untuk penceritaannya di pelbagai rantau di Asia.
Mengiktiraf populariti dan penambahbaikan yang berterusan, “Free Fire” oleh GARENA INTERNATIONAL dinamakan sebagai Best Ongoing. Melalui kemas kini yang kerap dan baik pulih yang signifikan, game ini berjaya mengekalkan pengalaman yang segar dan menarik untuk komuniti pemainnya yang besar sepanjang tahun 2025.
Anugerah Best on Play Pass diberikan kepada “DREDGE” oleh Black Salt Games, sebuah judul yang menawarkan pengalaman terbaik perkhidmatan langganan tersebut tanpa iklan atau pembelian dalam aplikasi. Merupakan game pengembaraan memancing solo dengan unsur misteri, ia dipuji kerana konsepnya yang unik.
Akhir sekali, “Whiteout Survival” daripada Century Games PTE. LTD. telah diberi penghormatan sebagai Best for Google Play Games on PC. Peralihan game ini ke platform PC, yang menampilkan kemajuan permainan yang lancar serta sokongan papan kekunci dan tetikus penuh, merupakan faktor utama kemenangannya.









Discussion about this post