Glohow Holdings Pte. Ltd. telah mengumumkan bahawa RPG aksi sci-fi mereka, Black Beacon, akan menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember 2025, mengakhiri perjalanannya selepas kurang daripada sembilan bulan beroperasi.
Asalnya dilancarkan pada 10 April 2025, game ini meletakkan pemain dalam peranan “Seer.” Watak ini merupakan Pengarah baharu bagi Library of Babel, sebuah dimensi tanpa penghujung yang menyimpan segala takdir—baik masa lalu, sekarang, mahupun akan datang.
Kisah bermula apabila pemain mendapat bayangan malapetaka di masa hadapan, lantas memulakan misi pengembaraan merentas zaman untuk mengubah takdir tersebut.
Para pemain ditugaskan untuk membentuk sebuah pasukan wira, yang kemudian digunakan dalam sistem combat masa nyata yang dinamik. Gameplay membolehkan pemain menukar antara tiga watak secara aktif semasa bertarung untuk menghasilkan kombo serangan yang lebih berkesan.
Penceritaan pula dipersembahkan melalui bab-bab dengan lakonan suara penuh, membawa pemain menjelajahi pelbagai era demi membongkar rahsia di sebalik tragedi yang mendatang.
Menurut penjelasan penerbit, keputusan ini terpaksa dibuat selepas pihak pembangun memaklumkan bahawa mereka menghadapi “kesukaran operasi berkaitan perkhidmatan global.” Masalah ini menyebabkan mereka tidak lagi mampu untuk meneruskan sokongan teknikal dan kemas kini kandungan selepas versi 1.3.
Glohow menyifatkan situasi ini sebagai sesuatu yang “tidak dapat dijangka dan mustahil dielakkan,” serta berada di luar bidang kuasa mereka sebagai penerbit. Oleh itu, server global untuk Black Beacon akan ditutup secara kekal bermula jam 00:00 (UTC+0) pada 31 Disember 2025.
Berikut adalah garis masa terperinci yang telah ditetapkan bagi proses penutupan perkhidmatan:
- 17 November 2025, 04:00 (UTC+0): Pilihan untuk memuat turun game dari semua platform akan dinyahaktifkan. Segala urus niaga pembelian dalam aplikasi dan melalui kedai web juga akan dihentikan.
- 31 Disember 2025, 04:00 (UTC+0): Perkhidmatan game akan ditamatkan secara rasmi.
- 2 Januari 2026, 04:00 (UTC+0): Kesemua media sosial rasmi dan laman web Black Beacon akan ditutup.
Bagi pemain yang masih mempunyai baki “Rune Stones” (mata wang premium berbayar) yang belum digunakan, pihak syarikat akan menawarkan proses bayaran balik selaras dengan polisi sedia ada. Maklumat lanjut mengenai cara untuk membuat permohonan bayaran balik ini akan diumumkan dalam satu notis yang berasingan.
Sebagai tanda terima kasih dan penghargaan atas sokongan para pemain, beberapa ganjaran istimewa akan diberikan sepanjang tempoh terakhir permainan. Sehingga 30 November, para pemain akan menerima pelbagai barangan sokongan yang dihantar ke peti mel mereka setiap hari.
Bermula dari 1 Disember hingga 31 Disember pula, satu pakej mingguan akan diberikan pada setiap hari Isnin, yang mengandungi 1000 Rune Shards dan dua Spherical Fruits – Large.








Discussion about this post