Walaupun sudah beberapa bulan berlalu sejak ia pertama kali diumumkan, sebuah JRPG berunsur turn-based tactical military bernama “AXERAS” hasil pembangunan studio indie dari Malaysia kini menjadi bualan hangat.
Bagi sesiapa yang mungkin belum mengetahui tentangnya, game ini merupakan sebuah projek yang menyatukan visual anime berunsur gelap dengan gameplay strategi yang kompleks.
Dicipta oleh Inverse Atelier, studio pembangunan permainan video indie tempatan ini beroperasi di Kuala Lumpur dan diasaskan pada tahun 2022 oleh Zachary “Xenika” Lim. Game ini juga dilihat sebagai satu lagi tajuk yang patut diberi perhatian dalam industri pembangunan permainan video tempatan yang semakin berkembang maju.

Di dalam AXERAS, pemain akan diterjunkan ke tengah-tengah Evestrian Civil War yang kejam. Pemain akan mengambil watak sebagai seorang kapten muda bernama Yohannes Trofyeld, yang berkhidmat untuk Evestrian Armed Forces.
Sebagai ketua unit elit Acorns Company, pemain perlu berdepan dengan pilihan-pilihan yang sukar, di mana setiap keputusan akan memberi kesan kepada keadaan di medan perang serta nasib askar-askar di bawah arahan mereka.
Naratif game ini dipersembahkan menerusi babak-babak animasi yang dilukis sepenuhnya dengan tangan, diiringi oleh lakonan suara profesional dari Jepun, bagi memberikan pengalaman seakan-akan menonton sebuah anime.

Mengambil ilham daripada judul-judul JRPG dan game strategi klasik berasaskan giliran, AXERAS berhasrat untuk memberi nafas baharu ke dalam genre ini dengan memberikan penekanan kepada combat yang melibatkan pelbagai jenis senjata, dilema moral, serta jalan cerita yang dibentuk oleh pilihan pemain.
Dalam game ini, kemenangan tidak hanya bergantung pada keupayaan untuk menewaskan semua musuh, tetapi ia juga berkait rapat dengan penguasaan ke atas “Zon-zon Strategi” yang menjadi kunci di seluruh peta permainan.

- Mengendalikan angkatan tentera yang terdiri daripada pelbagai unit: Para pemain boleh menyusun atur pelbagai jenis kelengkapan ketenteraan bersama pasukan-pasukan infantri.
- Memanfaatkan bantuan sokongan: Pemain berupaya memanggil serangan udara berskala besar serta menggunakan dron untuk mendapatkan kelebihan taktikal ke atas musuh.
- Menguasai keistimewaan setiap kelas: Gabungan peranan khas daripada kelas-kelas unit yang berbeza akan membuka ruang untuk strategi yang tiada hadnya.
- Berdepan dengan dilema moral: Satu mekanik unik “tangkap atau bunuh” disediakan, yang membenarkan pemain memilih sama ada untuk menghapuskan ancaman musuh secara terus atau menangkap mereka untuk direkrut ke dalam pasukan sendiri.
- Menghayati tanggungjawab sebagai seorang komander: Unit tentera akan memperoleh pengalaman dan kemahiran baharu apabila dinaikkan pangkat, namun perlu diingat bahawa setiap kematian yang berlaku di medan perang adalah bersifat kekal.

Elemen utama dalam AXERAS terletak pada penekanannya terhadap keputusan-keputusan berunsur moral yang akan meninggalkan impak serta-merta dan jangka panjang terhadap jalan cerita. Setiap pilihan yang dibuat oleh pemain boleh mendatangkan akibat serta-merta ataupun hanya akan terserlah seiring dengan kemajuan penceritaan.
Tanpa adanya jawapan yang betul atau salah, pemain harus menentukan haluan mereka dalam peperangan ini berdasarkan pertimbangan moral peribadi.
Jalan cerita yang dibentuk oleh pemain ini seterusnya membuka peluang kepada pelbagai senario dan pengakhiran yang berbeza, bergantung kepada keputusan yang diambil sepanjang permainan.

Satu demo prolog percuma untuk AXERAS bakal dikeluarkan di platform Steam pada bulan April 2026, yang akan memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai pengalaman awal dalam dunianya yang dilanda perang.
Kepada sesiapa yang berminat dengan game ciptaan tempatan ini, anda digalakkan untuk menambah AXERAS ke dalam wishlist di Steam agar tidak terlepas sebarang maklumat terkini mengenainya.









Discussion about this post