Di Halo World Championship 2025, Xbox Game Studios dan pembangun Halo Studios telah mengumumkan Halo: Campaign Evolved, sebuah ‘remake’ penuh bagi kempen Halo: Combat Evolved.
Judul ini akan dilancarkan pada tahun 2026 dan bakal menandakan debut francais ini di platform PlayStation, dengan ketibaannya di PlayStation 5 serentak dengan Xbox Series X|S dan PC (melalui Steam dan Microsoft Store). Game ini juga akan tersedia pada hari pertama pelancaran melalui Game Pass.
Dicanang sebagai pengalaman yang setia kepada karya original tetapi dimodenkan, Halo: Campaign Evolved membina semula pengembaraan asal dari tahun 2001 itu dari asas.
Pemain akan kembali menyarung perisai Mjolnir milik Master Chief ketika beliau terhempas di sebuah dunia misteri, berjuang untuk terus hidup menentang angkatan tentera Covenant dan mendedahkan rahsia gelap Halo bersama teman AI, Cortana.

Pihak studio menekankan bahawa ia adalah lebih daripada sekadar ‘remaster’ biasa. Misi-misi kempen asal dibina semula dengan reka bentuk peringkat yang dipertingkat, sinematik yang dikemas kini, dan sistem pandu arah yang lebih baik untuk memastikan rentak gameplay kekal lancar tanpa menghilangkan daya tarikan karya asal.
Aspek persembahannya menerima baik pulih sepenuhnya, dengan pemandangan ikonik dan seni bina makhluk asing dihidupkan semula melalui visual serta animasi yang serba baharu.
Dari segi audio, pengalaman gameplayakan diubah dengan runut bunyi yang di-‘remaster’, reka bentuk bunyi yang dikemas kini untuk penghayatan lebih mendalam, dan rakaman suara baharu daripada barisan pelakon suara utama.
Aspek gameplay juga turut diperluas agar terasa akrab namun lebih tajam berbanding sebelumnya. Selain kawalan yang lebih halus, pemain buat pertama kalinya boleh menggunakan sembilan senjata ikonik tambahan dari seluruh siri Halo, termasuk Energy Sword dan Battle Rifle.
Combat menggunakan kenderaan juga dipertingkatkan, membolehkan pemain merampas jentera musuh dan memandu kenderaan Wraith.
Sebagai penambahan besar kepada cerita asal, game ini akan menyertakan tiga misi prekuel serba baharu yang menampilkan Master Chief dan Sgt. Johnson, yang berlatarkan peristiwa sejurus sebelum kempen utama.

Mod co-op Halo turut kembali, dengan sokongan untuk mod two-player split-screen (di konsol sahaja) atau online co-op sehingga empat pemain. Pengalaman dalam talian ini akan disepadukan sepenuhnya dengan sokongan ‘cross-play’ dan ‘cross-progression’ merentasi semua platform.
Untuk nilai main semula, satu ciri ‘remix’ kempen baharu akan membolehkan pemain kembali ke mana-mana misi dan mengubah suai pengalaman dengan jumlah “Skull” (gameplay modifier) yang paling banyak pernah ada dalam kempen Halo.
Pengubah suai ini menambah cabaran dan kelainan baharu dengan merawakkan senjata, musuh dan persekitaran.
Untuk maklumat lanjut, Xbox telah menerbitkan satu temu bual bersama barisan kepimpinan utama Halo Studios di Xbox Wire.









Discussion about this post