Walaupun beberapa bulan sudah berlalu sejak Ejen Ali: The Movie 2 ditayangkan di seluruh Malaysia, ada satu aspek yang tidak henti-henti menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan peminat: iaitu penampilan SATRIA (dinamakan sebagai S.A.T.R.I.A.), sebuah sut tempur canggih yang menjadi memainkan peranan penting dalam pengembaraan terbaharu Ali.

Bagi peminat yang masih menganalisis babak-babak penting filem ini, kami akan cuba menjelaskan sebaik mungkin tentang sut SATRIA, termasuk kebolehannya serta bagaimana ia memberi impak besar kepada penceritaan filem tersebut.
Apakah itu S.A.T.R.I.A.?
SATRIA ialah nama singkatan bagi System Advance Tactical Raid Intelligence Armor (Sistem Perisai Pintar Taktikal Serbuan Maju). Ia merupakan sebuah sut pintar berteknologi tinggi hasil pembangunan sulit agensi M.A.T.A.
Sut ini dicipta khas hanya untuk ejen terpilih yang mempunyai kriteria istimewa seperti kepintaran, ketabahan, kekuatan fizikal, dan kemahiran penyamaran yang jauh melangkaui tahap biasa.

Keistimewaan utama SATRIA terletak pada kemampuannya untuk menggabungkan dan menggunakan kekuatan dari kesemua empat teras M.A.T.A. secara serentak, iaitu TEKNO, NEURO, KOMBAT, dan INVISO. Kelebihan ini membolehkan si pemakai menjadi ejen yang versatil, serta berupaya menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan misi.
Sut ini bertindak seolah-olah sebahagian daripada tubuh pengguna, dengan meningkatkan setiap pergerakan, tindak balas, dan refleks ke tahap luar biasa.

Sut SATRIA bukan sekadar perisai; ia adalah sistem dipertingkatkan A.I. yang berfungsi sebagai pengganti I.R.I.S. sambil diintegrasikan ke dalam sut fizikal. Fungsi utamanya termasuk:
- Perisai Termaju dan Penyembuhan: Mencegah trauma hentaman yang teruk dan boleh menyembuhkan kecederaan ringan yang dialami pengguna dengan pantas.
- Integrasi Penuh Semua Teras: Membolehkan pengguna mengakses dan menggunakan kemahiran serta persenjataan keempat-empat teras M.A.T.A. (TEKNO, NEURO, KOMBAT, INVISO) serentak.
- Peningkatan Keupayaan Fizikal: Memberikan pemakainya kekuatan, ketahanan, dan kebolehan menyamar yang luar biasa.
- Pembantu A.I. Peka: A.I. sut ini membantu dalam peninjauan, analisis data masa nyata, dan strategi misi.
- Sistem Penyamaran: Mempunyai sistem penyamaran yang membolehkan ejen menjadi halimunan atau sebati dengan persekitaran.
- Integrasi Sistem: Boleh berhubung dan mengawal peranti serta sistem lain dalam rangkaian M.A.T.A.
- Penguat Tenaga Senjata dan Gajet: Menguatkan kuasa mana-mana gajet dan senjata yang disambungkan ke tahap maksimum.
Sejarah Pembangunan Sut

Meskipun sut SATRIA hanya diperkenalkan secara rasmi dalam filem terbaharu, kewujudannya sebenarnya telah diberi petunjuk lebih awal lagi. Imbas kembali babak pertengahan kredit dalam Ejen Ali: The Movie yang pertama; Dayang dan Ganz dilihat sedang membincangkan kesan daripada kegagalan projek IRIS Neo.
Kerana kagum dengan semangat juang dan kejujuran Ali ketika menumpaskan Niki, Dayang mengusulkan agar Ali diberikan sebuah gajet baharu yang jauh lebih berkuasa.

Pada mulanya, Ganz agak keberatan, namun Dayang yakin dengan kesungguhan Ali. Dia kemudian menunjukkan hologram prototaip awal SATRIA.
Rahsia ini akhirnya terbongkar apabila Ali dimaklumkan mengenainya dan dilantik secara rasmi sebagai pengguna pertama sejurus selepas peristiwa dalam MISI: CHAMPION, iaitu episod penamat musim ketiga siri animasi Ejen Ali.
Amaran Spoiler: Mengandungi butiran plot penting dari Ejen Ali: The Movie 2
Dalam Ejen Ali: The Movie 2
Dalam filem itu, sut SATRIA telah diuji ke tahap maksimum apabila musuh baharu, Neonimus, muncul dan mengugut untuk membocorkan maklumat sulit M.A.T.A. Semasa Ali memulakan misi untuk menghalangnya, Neonimus membiarkan dirinya ditangkap dan dipenjarakan di Ibu Pejabat M.A.T.A.
Namun, ini adalah sebahagian daripada rancangan yang lebih besar. Sebaik sahaja berada di dalam, Neonimus melepaskan virus yang menjangkiti sistem M.A.T.A., membolehkan A.I. jahat, Cero, mengambil alih seluruh fasiliti.

Virus itu juga menyasarkan sut SATRIA. Walaupun diberi amaran berulang kali oleh Alicia tentang potensi pengambilalihan sistem, Ali tetap mengaktifkan perisai tersebut. Virus Cero serta-merta menggodamnya, merosakkan persepsi Ali dan menyebabkannya melihat sekutu M.A.T.A. yang lain, termasuk Alicia, sebagai musuh.
Kecewa dengan tindakannya, Ali menjadi lemah, membolehkan sut itu terlerai dari tubuhnya dan mengambil alih badan Alicia secara paksa.

Pertarungan seterusnya berlaku di alam dimensi digital—ruang yang dicipta oleh sistem IRIS danSATRIA—di mana Ali bertarung dengan Cero untuk merebut kembali kawalan.
Bersama dengan dengan bantuan rakann di alam sebenar dan Alicia, mereka menewaskan Cero, tetapi dengan harga yang mahal. Untuk memastikan Ali kembali ke dunia nyata dengan selamat, Alicia mengorbankan dirinya, sekaligus membersihkan pengaruh Cero daripada sut SATRIA.
Masa Depan Projek S.A.T.R.I.A.

Berikutan insiden filem itu, Dayang dan Ganz cuba untuk mengarkibkan projek SATRIA secara kekal. Walau bagaimanapun, mereka mendapati akses mereka telah disekat. Kawalan ke atas projek itu telah diambil alih oleh Ketua Dato’ Othman dan orang bawahannya, yang kini memegang nasib perisai berkuasa itu di tangan mereka.
Plot akhir ini membuka laluan untuk konflik masa hadapan, yang mungkin diterokai dalam Ejen Ali Movie 3 atau Musim 4.









Discussion about this post