Sword of Justice, sebuah MMORPG open world yang berteraskan budaya wuxia dan seni bela diri Timur, telah memikat komuniti gamer melalui visual sinematik, dunia permainan yang sangat bebas untuk diterokai, serta penceritaan yang mengasyikkan.

Sempena pengembangannya ke peringkat antarabangsa, pihak pembangun iaitu ZhuRong Studio telah berkongsi pandangan mereka mengenai strategi untuk mengekalkan keaslian budaya dengan penerimaan global, serta peranan teknologi AI dalam membina sebuah dunia wuxia yang serba baharu.
Adaptasi Tempatan dan Jati Diri Budaya

Pihak ZhuRong Studio menjelaskan bahawa fokus utama mereka semasa membangunkan server global adalah untuk mencari titik keseimbangan antara adaptasi tempatan (penterjemahan) dengan pengekalan warisan budayanya.
Usaha ini bukan sekadar penterjemahan teks, UI, dan suara, tetapi turut merangkumi pengenalan acara, ganjaran, dan kerjasama khas mengikut rantau, yang melibatkan selebriti, pemuzik, serta IP popular tempatan.
Langkah ini bertujuan untuk memastikan dunia Sword of Justice lebih mudah diterima dan dirasai akrab oleh pemain dari pelbagai latar belakang pasaran.

Meskipun game ini banyak mengambil inspirasi daripada estetika tradisional Cina, pihak pembangun yakin bahawa daya tarikan dari sudut seni dan temanya bersifat universal, mampu diterima baik oleh pemain di serata Asia Timur dan Asia Tenggara.
Atas sebab ini, versi antarabangsanya akan tetap menggunakan jalan cerita dan sistem wuxia yang sama seperti versi asal. Hanya perubahan kecil sahaja yang akan dibuat, iaitu berdasarkan maklum balas yang diterima daripada komuniti pemain.
Penerimaan Positif di Asia Tenggara

Semenjak fasa ujian tertutup pertama pada bulan Mei lalu, Sword of Justice telah mendapat sambutan yang amat positif daripada kalangan pemain di rantau Asia Tenggara.
Menurut pasukan pembangun, penerimaan baik ini didorong oleh minat masyarakat di rantau ini terhadap genre seni bela diri, ditambah pula dengan kualiti sistem combat yang cantik serta mutu visual permainan yang tinggi.

Dalam usaha untuk menyediakan pengalaman terbaik buat pemain tempatan, ZhuRong Studio telah melakukan pengoptimuman prestasi pada pelbagai peranti serta memperkemas fungsi cross-platform. Ini adalah untuk menjamin sesi gameplay yang lancar tanpa mengira sama ada pemain menggunakan PC atau peranti mobile.
Fasa Closed Play Test (CPT) yang seterusnya pula dijangka akan digunakan untuk menambah baik lagi aspek keseimbangan dan kebolehancapai gameplay.
Dunia Wuxia Mengikut Cita Rasa Pemain

Antara inovasi paling ketara yang dibawakan oleh Sword of Justice adalah integrasi teknologi AI. Ia bukan sekadar menawarkan ciri “penciptaan watak berasaskan foto” yang sudah biasa dilihat, malah memperkenalkan satu fungsi unik yang membenarkan pemain mencipta wajah watak dengan hanya memasukkan deskripsi dalam bentuk teks.
Ciri ini direka khas untuk memberikan tahap kebebasan kreatif yang lebih tinggi kepada para pemain.

“Kami mahu pemain mencipta versi diri mereka yang benar-benar unik,” jelas para pembangun, sambil menyatakan bahawa sistem ini hanyalah permulaan. Kemas kini pada masa hadapan mungkin akan memperkenalkan lebih banyak pengalaman gameplay yang dipacu oleh AI, bergantung pada maklum balas pemain.

Teknologi AI turut diguna pakai untuk menghidupkan NPC yang interaktif, di mana mereka kini mampu mengingati interaksi lalu dan mempamerkan reaksi emosi. Hubungan dengan NPC ini boleh berubah secara dinamik, sama ada menjadi sahabat karib atau musuh ketat.
Apabila tahap hubungan menjadi tinggi, NPC mungkin akan mula menghantar surat atau menawarkan diri untuk menyertai pengembaraan pemain. Sebaliknya, jika interaksi yang berlaku adalah negatif, mereka berpotensi untuk menjadi musuh atau mungkin cuba membunuh watak pemain.
“Ada juga NPC yang suka dikalahkan dalam pertarungan — ia akan meningkatkan rasa suka mereka terhadap anda,” tambah pasukan itu sambil ketawa.
Membina Komuniti Antarabangsa Melalui Daya Cipta

Sword of Justice bukan sahaja tertumpu pada aspek combat dan naratif, malah turut memberikan penekanan yang tinggi pada elemen interaksi sosial. Ciri terbaharu yang diperkenalkan ialah “Mod Studio”, yang berfungsi seakan-akan TikTok.
Melalui mod ini, pemain boleh merancang koreografi persembahan, merakam klip pendek, dan berkongsi hasil karya mereka dengan seluruh komuniti di dalam game.

Bagi meraikan kepelbagaian bahasa di rantau ini, versi global game ini akan menampilkan zon kandungan yang diasingkan mengikut bahasa. Para pemain diberi pilihan sama ada untuk melihat kandungan daripada komuniti bahasa mereka sahaja atau meneroka kreativiti pemain dari negara-negara lain.
“Walaupun kita bertutur dalam bahasa yang berbeza, ekspresi visual dan kreativiti adalah universal,” kata pasukan itu. “Sama ada tarian, pertunjukan kostum, atau cerita pendek, pemain di mana-mana sahaja berkongsi penghargaan terhadap keindahan dan imaginasi.”
Sebuah Dunia yang Bernyawa, Bukan Sekadar Arena Pertarungan

Walaupun combat merupakan elemen penting dalam Sword of Justice, ZhuRong Studio turut mengetengahkan konsep kebebasan memilih haluan dalam game ini. Pemain sebenarnya boleh menikmati kemajuan dalam game tanpa perlu terlibat dalam sebarang pertarungan.
Sebaliknya, mereka boleh memilih untuk menumpukan perhatian kepada aktiviti lain seperti pertukangan, perniagaan, atau membina hubungan sosial.

Contoh terbaik kebebasan ini dapat dilihat melalui Sistem Manor. Sistem ini memberi peluang kepada pemain untuk mereka cipta dan menghias kediaman idaman mereka, menjemput rakan-rakan untuk berkunjung, malah memiliki rumah secara bersama.
Pilihan perabot dan gaya seni bina yang ditawarkan adalah sangat pelbagai, merangkumi rekaan tradisional Cina, gaya minimalis moden, sehinggalah ke reka bentuk rumah di pulau tropika.
Pihak studio turut mengusik tentang kemungkinan kerjasama dengan mercu tanda dan jenama dari dunia sebenar, yang akan membolehkan pemain membina struktur seni bina terkenal di dalam kediaman maya mereka.
Menuju Masa Depan dengan Sokongan Pelbagai Bahasa

Pada masa ini, Sword of Justice menyokong lima bahasa iaitu Inggeris, Cina Ringkas, Cina Tradisional, Thai, dan Indonesia, dan perancangan untuk menambah lebih banyak pilihan bahasa sedang diusahakan (semoga ada Bahasa Melayu).
Sistem AI yang digunakannya juga direka untuk menyokong input serta dialog dalam pelbagai bahasa, bagi memastikan setiap pemain dapat menikmati pengalaman gameplay sepenuhnya dalam bahasa ibunda masing-masing.

Meskipun pihak studio masih belum menetapkan tarikh pelancaran rasmi, ZhuRong Studio memaklumkan bahawa mereka “tidak sabar untuk bertemu dengan para pemain secepat mungkin” dan menasihati para peminat agar terus mengikuti perkembangan terkini.
“Harapan kami,” simpul pasukan itu, “adalah agar pemain di seluruh Asia Tenggara — dan di seluruh dunia — dapat menemui secebis diri mereka dalam dunia Sword of Justice.”
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[Eksklusif] “NPC Boleh Jadi Sahabat & Pembunuh” – Ekslusif Bersama Pencipta Sword of Justice](https://cdn.gamersantai.com/2025/10/Sword-of-Justice_INTERVIU_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post