Menerusi satu kolaborasi unik, PlayStation dan platform pelancongan Klook, telah melancarkan Ghost of Yōtei Hokkaido Tour. Pengalaman khas ini mempelawa para gamer dan pelancong untuk meneroka keindahan landskap sebenar di Hokkaido yang menjadi inspirasi kepada dunia permainan video PS5 yang amat dinanti-nantikan, Ghost of Yōtei, hasil pembangunan Sucker Punch.
Pengumuman ini dibuat menjelang pelancaran eksklusif game tersebut di PS5 pada 2 Oktober 2025. Jelajah ini bertujuan untuk memberi peluang kepada peminat merasai kaitan yang lebih mendalam dengan game tersebut dengan membawa mereka terus ke lokasi-lokasi yang dilawati oleh pasukan pembangunan sebagai sumber inspirasi. Tempahan untuk jelajah ini akan dibuka pada 30 September 2025, menerusi aplikasi dan laman web Klook, dengan jelajah pertama akan bermula pada 3 November 2025.
Terokai Inspirasi Dunia Sebenar
Jelajah Hokkaido Ghost of Yōtei akan membawa para peserta menerok lokasi-lokasi ikonik yang mempengaruhi secara langsung aspek seni, suasana dan naratif game ini. Destinasi utama termasuk:
- Noboribetsu Date Jidai Mura: Sebuah perkampungan bersejarah yang membawa pengunjung kembali ke zaman Edo. Peserta jelajah boleh mendalami budaya samurai dengan mencuba memanah ala Jepun, melontar shuriken, dan meneroka replika kediaman samurai.

- Noboribetsu Jigokudani: Lembah gunung berapi yang dramatik ini, dengan lubang wap panas dan tebing-tebing curam, menjadi inspirasi utama untuk lokasi-lokasi yang lebih menggerunkan dalam game, termasuk kubu-kubu yang diselubungi kabus dan domain Oni mitos.

- Tasik Toya: Air tasik yang tenang serta budaya onsen (kolam air panas) di Tasik Toya telah mempengaruhi detik-detik refleksi dalam game. Kawasan ini menawarkan persekitaran yang damai untuk berehat dengan latar belakang pemandangan yang indah.

- Gunung Yōtei: Gunung megah yang menjadi nama game ini merupakan simbol utama Hokkaido. Dikenali sebagai “Gunung Wanita” oleh masyarakat Ainu, ia menyajikan pemandangan yang memukau di seluruh rantau ini dan juga landskap game.

Kempen Hadiah “Experience Ghost of Yōtei”
Bagi meraikan kerjasama ini, PlayStation dan Klook turut melancarkan Experience Ghost of Yōtei Campaign, yang memberi peluang kepada peminat untuk memenangi hadiah-hadiah eksklusif.
Peserta boleh mengambil bahagian melalui dua aktiviti utama:
- Kempen Peraduan Video: Dengan menonton video kempen promosi dan mengikuti arahan yang disertakan, peminat berpeluang memenangi Ghost of Yōtei Collector’s Edition, baucar pelancongan Klook bernilai USD $100, atau barangan eksklusif Ghost of Yōtei.
- Hadiah Photo Mode Dalam Game: Selepas pelancaran game pada 2 Oktober, pemain boleh menyertai dua peraduan Photo Mode. Dengan merakam dan berkongsi imej dalam game yang menjiwai tema “Keindahan dan Pemburuan” (Beauty and the Hunt), mereka berpeluang memenangi hadiah-hadiah utama, termasuk Collector’s Edition, set peranti edisi terhad Ghost of Yōtei untuk PS5, baucar Klook dan set barangan eksklusif.
Peminat digalakkan untuk mengikuti @PlayStationAsia di Facebook dan Instagram bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kempen hadiah ini.




![[TGS25] “Hanya Kegelapan dan Keganasan” Dalam Yakuza Kiwami 3, Interviu Bersama RGG Studio](https://cdn.gamersantai.com/2025/09/YAKUZA-KIWAMI-3_INTERVIU_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post