NetEase Games dan pembangun Naked Rain telah mengeluarkan trailer gameplay selama tujuh minit untuk RPG open world mereka yang akan datang, ANANTA, yang mempamerkan sebuah bandar dinamik dipenuhi dengan aksi, penerokaan dan kejutan.
Trailer baharu ini menawarkan pandangan paling mendalam setakat ini untuk game tersebut, yang premisnya menggabungkan pengembaraan berisiko tinggi dengan kehidupan harian sebuah metropolis moden. Dalam ANANTA, pemain akan memegang peranan pelbagai watak, daripada kapten pasukan petugas khas hinggalah kepada seorang penghantar barang, sambil meneroka landskap bandar luas di mana “bencana dan kehidupan biasa saling bercampur dengan bebas.”

Fokus utama gameplay baharu ANANTA adalah pada dunia permainan. Pihak pembangun menekankan reka bentuk “Memulihkan Realiti”, di mana bandar ini dipenuhi dengan hotspot interaktif. Pemain boleh terlibat dalam aktiviti seperti membelai kucing di taman atau terserempak dengan peristiwa dinamik seperti pertarungan antara geng. Menurut pembangun, NPC di bandar ini mempunyai ekosistem pintar yang direka untuk membuatkan mereka berkelakuan seperti hidup, sekali gus membuatkan pemain lebih tenggelam dalam gameplay. Kebebasan adalah prinsip besar, membolehkan pemain mengintip telefon orang yang lalu-lalang atau terlibat dalam perlumbaan jalanan, dengan setiap pilihan menjanjikan kesan yang akan mempengaruhi seluruh kehidupan bandar.

Sistem combat dalam ANANTA kelihatan dinamik dan bersifat improvisasi, yang banyak diinspirasikan oleh koreografi filem aksi. Trailer ini menonjolkan tahap interaktiviti persekitaran yang tinggi, di mana objek-objek harian seperti kayu golf dan tong sampah boleh dijadikan senjata. Pemain tidak terikat kepada satu gaya lawan sahaja; mereka boleh melucutkan senjata musuh dan menggunakannya, sekali gus menggalakkan fleksibiliti strategi. Sistem ini dilengkapkan dengan mekanik berasaskan ketepatan seperti dodge dan parry untuk mencipta combat yang pantas dan mendebarkan.

Eksplorasi dipersembahkan sebagai sesuatu yang tanpa sebarang halangan. Sistem “3C” (Character, Camera, Control) membolehkan pemain menggunakan teknik pergerakan khas, seperti berayun, untuk sampai ke mana-mana lokasi yang boleh dilihat. Untuk bergerak di sekitar bandar, ANANTA menawarkan pelbagai jenis kenderaan, termasuk pengangkutan awam seperti kereta api bawah tanah dan bas, serta kereta, teksi, dan juga helikopter untuk pemandangan dari udara.

Mungkin ciri paling unik yang didedahkan ialah penerimaan game ini terhadap unsur sureal. Pembangun menyatakan bahawa keanehan yang unik amat dialu-alukan di dunia ANANTA. Dalam satu contoh, mereka menyatakan bahawa pemain tidak perlu cemas jika melihat “sebuah tandas yang tumbuh kaki dan berlari di jalan raya.” Komitmen terhadap perkara yang tidak dijangka ini mencadangkan sebuah dunia unik di mana pemain boleh menemui pengalaman-pengalaman baharu setiap hari.

ANANTA kini sedang dalam pembangunan untuk PlayStation 5, PC, iOS, dan Android. Tarikh pelancaran masih belum diumumkan.









Discussion about this post