Komuniti Yu-Gi-Oh! kini meraikan juara baharu. Anak kelahiran Perancis yang kini menetap di Amerika Syarikat, Julien Kehon, telah secara rasminya merangkul gelaran 2025 Yu-Gi-Oh! TCG/OCG World Champion.
Berikutan kejayaan gemilangnya, kami berpeluang menemu bual Kehon untuk berkongsi tentang sistem sokongan di sebalik kejayaannya, pilihan strategi utama yang membentuk gameplay miliknya, serta rancangan masa depannya yang bercita-cita.

Tiada ‘duelist’ yang berjaya mencapai puncak kegemilangan secara bersendirian, dan Kehon pantas memberikan penghargaan kepada rakan-rakan seperjuangannya yang banyak membantu dirinya membuat persiapan untuk ke pentas dunia.
Dia menegaskan bahawa sumbangan mereka amat tidak ternilai, dari peringkat awal sesi latihan sehinggalah ke saat-saat akhir sebelum kejohanan. “Saya ingin berterima kasih kepada ramai rakan saya,” Kehon memulakan bicara, sambil memberi penghargaan khas kepada rakan latihannya sejak sekian lama.
“Saya mahu mulakan dengan rakan saya Jesse Simnegar — Jesse telah bersama saya sejak dari mula, membantu saya berlatih, dan dialah yang paling banyak bermain dengan saya berbanding orang lain.”

Dia turut menghargai peranan penting yang dimainkan oleh rakan-rakan lain dalam memurnikan strateginya, dengan menyebut nama Lucas Sacco atas bantuan berterusannya. Walau bagaimanapun, persiapan akhir banyak bergantung pada penyesuaian kritikal di saat-saat akhir.
Untuk itu, dia berterima kasih kepada Stephen Trif, yang disifatkan sebagai “bantuan yang sangat besar, membuat perubahan saat akhir bersama saya,” dan juga Milano, yang “turut membantu saya menyesuaikan banyak perkara pada saat-saat terakhir.”

Selain sokongan rakan-rakan, kemenangan Kehon turut disumbangkan oleh strategi ‘deck’ yang mantap dan konsisten. Apabila ditanya tentang kad-kad utama dalam ‘deck’nya, dia terus merujuk kepada sekeping ‘quick-play spell’ yang memberikannya kelebihan mutlak. “‘K9-X Forced Release… kad itu benar-benar hebat,’” jelasnya.
Kad tersebut sangat penting dalam membantunya mengawal permainan, terutamanya pada giliran pertama.
“Ia membantu saya setiap kali saya memulakan permainan dengan Mulcharmy. Kad itu membolehkan saya bermain dengan lebih selamat tanpa memberikan lawan banyak peluang untuk menarik kad, sambil mengekalkan gangguan yang sangat berkesan.”

Mengulas lanjut tentang falsafah pembinaan ‘deck’nya, Kehon mendedahkan keutamaannya kepada ‘engine’ dek yang padat berbanding bergantung pada ‘hand trap’ generik atau interaksi sekali guna.
Dia menekankan keputusannya untuk menggunakan tiga salinan bagi satu lagi kad teras bagi memastikan dia dapat melaksanakan rancangan permainannya secara konsisten. “‘Saya juga menggunakan 3 salinan Case of K9 — kad itu sangat kuat,’” katanya.
“‘Saya tidak perlu bermain dengan banyak interaksi tangan atau sebagainya. Saya hanya mahukan banyak ‘engine’ dalam ‘deck’ saya untuk mematahkan formasi lawan dan selepas itu, saya tidak akan tewas pada giliran pertama.’”
Kini dengan gelaran 2025 World Champion dalam genggamannya, ramai yang tertanya-tanya apakah langkah seterusnya bagi Raja baharu ini. Bagi Kehon, matlamatnya bukan sekadar berpuas hati dengan kejayaan ini, tetapi untuk membina sebuah legasi.
Jawapannya ringkas tetapi penuh keyakinan, dengan matanya sudahpun tertumpu pada hadiah utama seterusnya dalam arena kompetitif Yu-Gi-Oh!. Dengan fokus yang sudah beralih kepada cabaran seterusnya, dia mengisytiharkan bahawa langkah seterusnya adalah untuk menjadi “World Champion 2026, di Jepun.”
Baca segala liputan kami tentang WCS 2025 termasuk interviu eksklusif bersama pemenang di SINI.
![[Eksklusif] Berbual Bersama 2025 Yu-Gi-Oh! TCG/OCG World Champion, Julien Kehon](https://cdn.gamersantai.com/2025/09/Yu-Gi-Oh-TCG_INTERVIU_FI-1-750x375.jpg)



![[TableCon Quest 2025] Kembara Seorang Pemain Baharu Ke Dunia Dungeons & Dragons](https://cdn.gamersantai.com/2025/09/TableCon-Questr-2025_DND_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post