Bagi pemain di Malaysia yang belum lagi menyertainya, inilah masanya! Game Mobile MOBA dari Todak Studios, Mastra, kini sedang dalam fasa Open Beta sejak 13 Ogos yang lalu.
Game ini sudah boleh dimuat turun oleh semua pemain melalui peranti Android dan iOS. Mastra menjanjikan pengalaman MOBA yang unik, dengan setiap elemennya diilhamkan oleh kekayaan warisan budaya Asia Tenggara.
Mastra tampil berbeza daripada game MOBA konvensional melalui gameplay yang lebih dinamik dan penuh aksi.
Reka bentuk peta yang lebih kompak serta mekanik yang lebih ringkas memastikan setiap perlawanan berlangsung dengan pantas, menjadikannya amat sesuai untuk sesi permainan kasual mahupun arena pertempuran yang kompetitif.

Salah satu kelainan utama yang diperkenalkan ialah sistem pembangunan watak yang lebih mudah difahami. Pemain tidak perlu lagi menguruskan item yang kompleks, kerana Mastra menggunakan pendekatan ‘Hanya Statistik, Tiada Item’. Pembangunan watak tertumpu kepada empat statistik teras: Damage, Vitality, Focus, dan Speed.
Selain itu, sistem Element Combo membolehkan gabungan kuasa antara watak untuk menghasilkan sinergi pasukan yang kuat, sekali gus menambah dimensi strategi yang lebih mendalam dalam setiap pertarungan 5 lawan 5.

Apa yang benar-benar membezakan Mastra adalah asas budayanya. Game ini menampilkan 12 ‘champion’ unik, masing-masing dengan abiliti dan gaya permainan yang diilhamkan oleh mitos, legenda, dan cerita rakyat serantau.
Daripada medan pertempuran hinggalah ke kuasa elemen, setiap aspek meraikan kreativiti Asia Tenggara, bagi merealisasikan misi Todak Studios untuk meletakkan kisah-kisah serantau di peta gaming global.

Fasa Open Beta ini juga merupakan platform kerjasama antara pembangun dan komuniti Mastra. Para pemain amat dialu-alukan untuk menyumbang dengan memberikan maklum balas mengenai keseimbangan gameplay, melaporkan sebarang isu atau pepijat (bug), dan berkongsi cadangan untuk penambahan champion, mod, atau ciri-ciri baharu.
Sebagai tanda penghargaan, pemain yang aktif akan berpeluang menyertai acara komuniti istimewa dan memenangi skin watak edisi terhad.
Cara untuk Menyertai
Anda boleh mula bermain Mastra hari ini dengan memuat turunnya secara percuma.
Untuk Android (Google Play Store):
- Buka Google Play Store dan cari “Mastra Battle Arena”.
- Tekan “Install” untuk memuat turun permainan.
- Mastra di Google Play
Untuk iOS (melalui TestFlight):
- Klik pautan rasmi TestFlight untuk Mastra: https://testflight.apple.com/join/7WkKapuN
- Ikut arahan yang dipaparkan dalam aplikasi TestFlight atau App Store untuk memasang versi beta.
- Tekan “Open” untuk mula bermain.
Bagi maklumat terkini, nota kemas kini, serta berinteraksi dengan komuniti, jangan lupa untuk mengikuti laman Facebook rasmi Mastra dan menyertai Discord rasminya di discord.gg/JAsWVmKDqD.









Discussion about this post