Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Previu Towa and the Guardians of the Sacred Tree – Permata Tersembunyi Dalam Genre Roguelite?

Razin Syafiq by Razin Syafiq
August 18, 2025
in Action, Artikel, Berita, Nintendo Switch, PC, Preview, PS5, Roguelike, Steam, Xbox Series X|S
0 0
0
Previu Towa and the Guardians of the Sacred Tree – Permata Tersembunyi Dalam Genre Roguelite?
Share on FacebookShare on Twitter

Towa and the Guardians of the Sacred Tree merupakan satu kelainan yang tidak dijangka dalam genre aksi roguelite daripada Brownies Inc., pembangun yang terkenal dengan siri santai Doraemon Story of Seasons. Ini merupakan previu kedua kami untuk game akan datang daripada Bandai Namco ini, dan ia masih mengagumkan kami.

Walaupun sering dibandingkan dengan judul hebat seperti Hades kerana kualiti dan kebolehcapaiannya, game ini mengukir laluannya yang tersendiri dengan sistem combat berasaskan duo yang unik, naratif yang berkembang mengikut masa, serta barisan watak-watak unik yang dihidupkan oleh gaya seni seakan lukisan, yang menjadi identiti studio tersebut.

Melalui setiap sesi, Towa mugkin akan menjadi sebuah ‘sleeper hit’ yang berpotensi untuk menawan hati peminat dalam genre ini.

Penekanan pada Jalan Cerita

Berlatarkan dunia fantasi dengan suasana Jepun kuno, ceritanya mengikuti seorang gadis muda bernama Towa, yang dipilih oleh dewa Shinju untuk melindungi keamanan sebuah kampung yang dihuni oleh para pengikutnya.

Kampung itu terletak berhampiran sebatang pokok besar tempat dewa tersebut tinggal, namun keselamatannya tidak kekal selamanya. Kegelapan mula mengancam apabila dewa jahat bernama Magatsu cuba merosakkan aliran mana sambil melahirkan raksasa-raksasa menakutkan yang dikenali sebagai Magaori.

Kredit: Bandai Namco Entertainment

Lama-kelamaan, Magaori terus menghabiskan mana dan menyebarkan ‘miasma’ maut ke seluruh tanah. Walaupun begitu, kampung Shinju berjaya bertahan berkat usaha Towa dan lapan rakan seperjuangannya yang dikenali sebagai “Prayer Children.”

Perjuangan mereka bukanlah mudah, terutamanya apabila Magatsu berjaya memisahkan Towa daripada sekutunya dan mencampakkan mereka ke alam lain di mana masa mengalir dengan berbeza. Untuk kembali pulang dan menyelamatkan kampung mereka, mereka mesti mencari jalan untuk bersatu semula.

Tentu sekali ada plot yang lebih mendalam, tetapi untuk mengelakkan spoiler, gambaran ringkas ini sudah cukup untuk memberi anda idea.

Kredit: Bandai Namco Entertainment

Memandangkan reputasi genre ini yang lebih mengutamakan corak gameplay, saya terkejut apabila mendapati Towa and the Guardians of the Sacred Tree menawarkan jalan cerita yang padat dan benar-benar berisi.

Bermula dari pengenalan yang memaparkan karya seni yang indah dan naratif yang lembut, sehinggalah interaksi watak di kampung dan semasa ekspedisi, amat jarang sekali watak anda berdiam diri.

Malah, pada jam-jam awal permainan, anda mungkin akan merasakan dialognya lebih banyak daripada aksi, walaupun ia masih bergantung pada gaya dan rentak permainan anda.

Kredit: Bandai Namco Entertainment

Pengalaman keseluruhan terasa lebih seperti bermain JRPG atau novel visual berbanding game roguelite biasa. Bagi pemain yang menghargai naratif yang kuat tanpa mengira genre, pendekatan ini pasti lebih dihargai. Untuk menjadikan cerita lebih mudah diakses, game ini turut menyertakan pilihan kesukaran “Story Mode”.

Anda boleh menaikkannya kepada “Normal” pada bila-bila masa jika inginkan cabaran yang lebih mengasyikkan, walaupun secara peribadi saya dapati ia masih agak mudah mengikut standard genre roguelite.

Roguelite Dengan Kelainan Tersendiri

Walaupun fokus yang kuat pada penceritaan, ia tidak bermakna pembangun mengabaikan aspek gameplay kerana ia adalah ciri utama mana-mana judul roguelite. Mereka telah berjaya memperkenalkan beberapa kelainan tersendiri.

Yang paling ketara ialah sistem watak, yang membolehkan anda membentuk parti kecil yang terdiri daripada dua orang dengan peranan berbeza.

Peranan pertama ialah Tsurugi, pejuang utama yang anda kawal secara langsung, manakala yang kedua ialah Kagura, watak sokongan yang memberikan serangan jarak jauh tetapi juga boleh dikawal secara manual jika perlu.

Kredit: Bandai Namco Entertainment

Semua “Prayer Children” boleh dimainkan, dengan gaya pertarungan mereka disesuaikan separa untuk peranan Tsurugi atau Kagura. Namun, anda bebas untuk mencampur aduk formasi parti sesuka hati tanpa mengira cadangan yang diberikan.

Seperti yang dinyatakan, Tsurugi berfungsi sebagai watak tempur utama anda, dengan fokus pada penggunaan dua pedang, Honzashi dan Wakizashi, yang perlu ditukar berulang-kali.

Anda tidak boleh bergantung pada satu senjata sahaja, kerana kedua-duanya mempunyai daya tahan yang lemah dan hanya pulih melalui tempoh cooldown apabila ditukar menggunakan aksi yang dipanggil Quick Draw.

Kredit: Bandai Namco Entertainment

Sistem ini memaksa anda untuk menggunakan set abiliti penuh watak anda. Ia adalah idea bijak yang membuatkan anda sentiasa terlibat dan mengelakkan gameplay menjadi berulang, walaupun kadang-kadang ia boleh melambatkan combat lebih daripada yang diingini.

Contohnya, abiliti Wakizashi sesetengah watak lebih perlahan dan memerlukan masa untuk dicas, bermakna anda perlu menjaga jarak untuk menggunakannya dengan selamat, terutamanya semasa pertarungan bos.

Sebaik sahaja daya tahan Honzashi anda pulih, anda boleh kembali kepada gaya yang lebih agresif berkat abilitinya yang lebih pantas. Selain itu, Tsurugi juga mempunyai akses kepada Fatal Blow, sejenis ‘ultimate’ yang menggunakan mana dan memberikan kekebalan sementara, menjadikannya penyelamat dalam situasi genting.

Kredit: Bandai Namco Entertainment

Jadi, bagaimana pula dengan Kagura? Seperti yang dijelaskan tadi, peranan utama mereka adalah sokongan jarak jauh, dan dalam kebanyakan kes anda tidak perlu mengawal mereka secara langsung kecuali ketika menggunakan sihir.

Namun, pilihan itu tetap ada, dan walaupun ia mungkin terasa janggal pada mulanya, ia masuk akal sebaik sahaja anda beralih dari mouse-and-keyboard kepada controller.

Kredit: Bandai Namco Entertainment

Dengan mouse-and-keyboard, mengawal Kagura terasa kurang intuitif kerana pergerakan mereka ditetapkan pada keyboard, memaksa anda menguruskan dua watak dengan sebelah tangan manakala sebelah lagi kekal pada mouse.

Jika anda biarkan mereka dalam mod auto, Kagura akan sentiasa berada dekat dengan Tsurugi, yang berisiko apabila berhadapan dengan sekumpulan musuh besar atau bos berbahaya, jadi memisahkan mereka selalunya adalah strategi yang lebih selamat.

Beralih kepada controller menjadikan keseluruhan sistem lebih lancar, dengan setiap watak ditugaskan pada kayu analog masing-masing. Ia masih memerlukan latihan kerana anda menguruskan dua watak serentak, tetapi ia terasa jauh lebih selesa berbanding kawalan PC.

Kredit: Bandai Namco Entertainment

Satu lagi batasan gameplay menggunakan mouse-and-keyboard ialah serangan terikat pada arah hadapan watak, jadi anda tidak boleh menyasar secara bebas dengan mouse kecuali semasa pelaksanaan gerakan tertentu. Pergerakan juga terasa kaku dan terhad, yang sedikit sebanyak menjejaskan keseronokan saya.

Atas sebab-sebab ini, saya amat mengesyorkan agar anda bermain game ini dengan controller; perbezaannya terasa bagai malam dan siang.

Kredit: Bandai Namco Entertainment

Bagi elemen roguelite, ia agak standard. Anda akan melalui peringkat-peringkat bercabang yang dipenuhi gelombang musuh, mendapatkan ganjaran berdasarkan prestasi, dan menguatkan watak anda dengan buff atau artifak istimewa yang dikenali sebagai Grace.

Setiap Grace mempunyai tahap rarity dan kesan yang impak; malah yang biasa pun terasa agak berguna, menjadikan sistem ini mudah difahami walaupun untuk pemain baharu dalam genre ini. Sepanjang perjalanan, anda juga akan mengumpul pelbagai bahan untuk meningkatkan statistik dan membuka naik taraf tambahan.

Memandangkan ia boleh menjadi agak memeningkan, saya akan simpan huraian yang lebih mendalam tentang sistem kemajuan dan kandungan sampingan untuk ulasan penuh nanti.

Seni yang Menawan & Barisan Watak yang Pasti Diingati

Sebelum mengakhiri previu ini, saya juga ingin memberikan pujian istimewa kepada hala tuju seni yang memukau. Datang daripada Brownies, pembangun yang sama di sebalik Doraemon Story of Seasons, pasukan ini telah berjaya mengekalkan gaya “lukisan hidup” mereka sambil membawanya ke satu tahap kualiti yang baharu.

Segala-galanya, daripada karya seni watak, reka bentuk peta, sehinggalah elemen UI, direka dengan sentuhan seakan lukisan sebenar.

Kredit: Bandai Namco Entertainment

Saya amat kagum dengan reka bentuk watak, terutamanya Towa dan “Prayer Children”. Tiada seorang pun daripada mereka terasa generik, dan masing-masing dilengkapi dengan personaliti unik yang membuatkan mereka terasa hidup.

Berkat sistem parti yang membolehkan anda memilih dua watak secara bebas, anda juga dapat melihat pelbagai interaksi peribadi antara mereka, yang menambah satu lapisan replayability yang kuat pada game ini.

Kredit: Bandai Namco Entertainment

Sebagai contoh, dalam ekspedisi pertama saya, saya menggandingkan ‘ikemen’ yang menawan, Akazu, dengan ‘waifu’ yang lebih matang, Origami. Sehingga ke tahap itu dalam cerita, kedua-duanya tidak pernah berinteraksi, tetapi semasa ekspedisi mereka bekerjasama seperti rakan sejati.

Pada satu ketika, mereka berdua turut berkongsi perbualan santai di unggun api yang bukan sahaja diserikan dengan jenaka ringan tetapi juga mendedahkan aspek personaliti mereka yang lebih mendalam.

Contohnya, saya mendapat tahu bahawa Akazu sebenarnya seorang yang agak lemah dan cenderung untuk jatuh sakit walaupun selepas melakukan tugas ringan, manakala Origami pula seumur hidupnya hampir tidak pernah sakit.

Kredit: Bandai Namco Entertainment

Detik-detik seperti inilah yang membuatkan Towa and the Guardians of the Sacred Tree terasa lebih istimewa.

Pendapat Setakat Ini

Sukar untuk bercakap tentang Towa and the Guardians of the Sacred Tree tanpa menyentuh semua perkara di atas, kerana beberapa jam pertama gameplay menyerlahkan daya tarikan terkuatnya dan juga beberapa aspek yang lebih lemah.

Berdasarkan previu awal ini, banyak elemen yang agak berbeza daripada jangkaan saya, terutamanya jalan ceritanya, yang jauh lebih padat berbanding apa yang biasa ditemui dalam genre roguelite.

Pada masa yang sama, gameplay menunjukkan perancangan yang teliti yang menawarkan sistem parti dua watak unik yang menggalakkan pemain untuk bereksperimentasi dan memerlukan kawalan yang terkoordinasi, tetapi malangnya game ini jelas tidak dioptimumkan untuk mouse-and-keyboard.

Kredit: Bandai Namco Entertainment

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah tahap kesukarannya, yang setakat ini terasa agak mudah. Saya tidak tewas walau sekali pun sehingga ekspedisi ketiga, jadi mereka yang mengharapkan game roguelite dengan gameplay yang sukar dan sengit mungkin akan berasa kecewa.

Namun, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan, kerana saya mungkin akan ditewaskan dengan mudah dalam ekspedisi yang akan datang. Buat masa ini, bolehlah dikatakan bahawa jam-jam pembukaan game ini lebih cenderung kepada accessibility berbanding cabaran.

Kredit: Bandai Namco Entertainment

Towa and the Guardians of the Sacred Tree akan dilancarkan di PlayStation 5, Xbox Series X|S, Nintendo Switch, dan PC melalui Steam pada 19 September 2025. Untuk maklumat lanjut, pemain boleh melayari laman web rasmi.

Tags: previuTowa and the Guardians of the Sacred Tree
ShareTweetSend
Previous Post

Pokémon World Championships Akan Beralih Kepada Game Baru ‘Pokémon Champions’ Pada 2026

Next Post

Previu Sega Football Club Champions (CBT): Football Manager Dengan Sentuhan Gacha Jepun

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

Teenage Mutant Ninja Turtles: The Last Ronin – PlatinumGames Ambil Alih Produksi
Berita

Teenage Mutant Ninja Turtles: The Last Ronin – PlatinumGames Ambil Alih Produksi

June 6, 2026
Star Wars Zero Company – Akan Keluar Ogos 2026, Gabungkan Gameplay XCOM Dengan Saga Clone Wars
Berita

Star Wars Zero Company – Akan Keluar Ogos 2026, Gabungkan Gameplay XCOM Dengan Saga Clone Wars

June 6, 2026
Mafia: The Old Country – DLC ‘Man of Honor’ Dedahkan Kepulangan Don Salieri
DLC

Mafia: The Old Country – DLC ‘Man of Honor’ Dedahkan Kepulangan Don Salieri

June 6, 2026
Next Post
Previu Sega Football Club Champions (CBT): Football Manager Dengan Sentuhan Gacha Jepun

Previu Sega Football Club Champions (CBT): Football Manager Dengan Sentuhan Gacha Jepun

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd