Saber Interactive telah mengeluarkan sebuah video di sebalik tabir baharu untuk game single-player action-adventure akan datang, Jurassic Park: Survival. Ia merupakan kemas kini penting yang pertama sejak pengumuman game tersebut di The Game Awards 2023.
Video terbaharu ini menjawab persoalan selepas tempoh senyap yang menyebabkan para peminat tertunggu-tunggu maklumat lanjut, sambil memberikan butiran baharu mengenai jalan cerita, gameplay, dan dunianya.
Video ini menjelaskan kerjasama antara Saber Interactive dan NBCUniversal untuk mencipta sesuatu yang telah diimpikan oleh ramai peminat sejak berdekad lamanya: peluang untuk meneroka Isla Nublar yang direalisasikan sepenuhnya.
Berlatarkan hanya sehari selepas peristiwa dalam filem ikonik Jurassic Park (1993), game ini akan membawakan sebuah cerita serba baharu dari perspektif yang unik.

Pemain akan mengambil peranan sebagai Dr. Maya Joshi, seorang saintis InGen yang tidak sempat berpindah dan terkandas di pulau itu. Watak yang dilakonkan oleh pelakon Payal Mistry ini mesti mengharungi taman yang kini huru-hara dan berdepan dengan penghuninya yang berbahaya.
Gameplay digambarkan sebagai sengit aksi dan first-person stealth, yang mencabar pemain untuk terus hidup apabila bertemu dengan dinosaur di pulau itu.

Menurut pembangunnya, pasukan mereka telah bekerja dengan teliti untuk mencipta semula keajaiban dan bahaya di Isla Nublar dengan tahap butiran yang tinggi. Para pemain boleh melawat lokasi-lokasi ikonik dari filem tersebut, seperti pintu gerbang taman dan Visitor Center, di samping menemui mercu tanda dan kejutan baharu.

Pulau itu sendiri sedang dibangunkan sebagai sebuah dunia reaktif yang dipenuhi hidupan liar dan ancaman lain. Saber Interactive menekankan perhatian khusus mereka untuk meniru rupa, pergerakan, dan tingkah laku dinosaur yang asli seperti di dalam filem, sambil menjanjikan pertemuan yang sengit dan tidak dapat dilupakan.

Untuk terus hidup, pemain perlu menggunakan kebijaksanaan mereka dan semua sumber yang ada. Mekanik utama gameplay akan melibatkan usaha untuk memperdaya, melarikan diri, dan berinteraksi dengan pemangsa di taman itu melalui gangguan dan kaedah menyelinap.
Pemain akan dicabar untuk mencari penyelesaian bijak bagi mengharungi pelbagai ancaman di persekitaran Isla Nublar.

Jurassic Park: Survival akan dilancarkan di PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam. Tarikh pelancarannya masih belum diumumkan.









Discussion about this post