Kemunculan GPU siri RTX 50 terbaharu daripada NVIDIA telah membuka era baharu dalam perkakasan gaming, dan MSI tidak ketinggalan untuk menyertai arena ini melalui pelancaran model terkininya, Vector 16 HX AI (A2XWHG-046MY).
Laptop gaming generasi baharu ini dicipta khusus untuk memberikan kuasa pemprosesan maksimum, dikuasakan oleh gabungan pemproses Intel Core Ultra 7 255HX dan GPU GeForce RTX 5070 Ti. Ditawarkan pada harga di bawah RM9,000, ia menonjol sebagai antara pilihan dengan nilai terbaik dalam kategorinya.
Reka Bentuk

Mengekalkan DNA reka bentuk siri Vector, Vector 16 HX AI mengetengahkan estetika minimalis namun tetap nampak bergaya.
Kerangka logamnya yang berwarna kelabu gelap diserlahkan dengan garisan-garisan yang garang dan berani, seolah-olah mendapat inspirasi daripada sebuah kereta sport, sekali gus menyatukan elemen keanggunan dan prestasi.
Walaupun seberat 2.7kg dan bukanlah yang paling ringan, kualiti binaannya yang terasa padu, termasuk engsel yang lancar dan material yang tahan lasak, memberikan keyakinan untuk membawanya sebagai peranti harian.

Keunikan reka bentuknya diteruskan di bahagian bawah, di mana terdapat pad anti-gelincir berwarna hitam dan biru serta hiasan berbentuk segi tiga di tengah memberikannya identiti tersendiri.
Dari segi keselamatan, webcam inframerah (IR) yang menyokong pengecaman wajah Windows Hello turut disertakan dengan penutup fizikal, memberikan lapisan privasi tambahan kepada pengguna.
Ujian Penanda Aras
Keupayaan sebenar Vector 16 HX AI terbukti melalui beberapa ujian penanda aras yang komprehensif, mengesahkannya sebagai sebuah mesin yang bukan sahaja hebat untuk gaming, tetapi juga untuk tugasan kerja profesional.

PCMark 10: Dengan skor keseluruhan 7788, laptop ini membuktikan kedudukannya dalam kelompok peranti berprestasi sederhana-tinggi. Ia mampu mengendalikan tugasan harian dan beban kerja kreatif dengan lancar, seperti yang ditunjukkan oleh pecahan skor berikut:
- Essentials: 9844 (App Start-up: 10724, Web Browsing: 10811, Video Conferencing: 8228)
- Productivity: 9220 (Spreadsheet Performance: 11442, Document Editing: 7430)
- Digital Content Creation: 14120 (Rendering & Visualization: 21244, Photo Editing: 16604, Video Editing: 7981)

Keputusan ini secara jelas mempamerkan kehebatannya dalam tugasan seperti rendering 3D, penyuntingan foto, dan grafik masa nyata, yang disokong pula oleh sistem pengurusan haba dan kuasa yang cekap.
3DMark Time Spy: Menerusi skor Time Spy sebanyak 15036, laptop ini sekali lagi mengesahkan prestasi GPU yang sangat baik ketika mengendalikan persekitaran DirectX 12.
- Skor Grafik: 15286
- Skor CPU: 13763
- Anggaran Battlefield V (1440p Ultra): 145+ FPS

Prestasi ini membuktikan bahawa mesin ini mampu menjalankan judul-judul AAA yang berat dengan mudah, di samping mengekalkan suhu dan kestabilan sistem yang baik sepanjang ujian dijalankan.
Cinebench R23: Prestasi pemproses Intel Core Ultra 7 255HX juga tidak kurang hebatnya, dengan skor CPU yang dicatatkan mampu menyaingi prestasi banyak pemproses kelas desktop.
- Multi-Core: 28574
- Single Core: 2117
- Nisbah (Multi / Single): 13.5x
Angka-angka ini menjadikannya platform yang sangat sesuai untuk tugasan berat seperti pemodelan 3D, kerja-kerja rendering, dan pengendalian pelbagai aplikasi serentak (multitasking).

Prestasi Gaming dalam Situasi Sebenar

Apabila diuji dalam senario gaming sebenar, MSI Vector 16 HX AI yang digerakkan oleh GeForce RTX 5070 Ti mampu memberikan pengalaman gaming yang sangat lancar dengan kualiti visual yang tinggi:
- Black Myth: Wukong: Menggunakan tetapan “Very High” tanpa DLSS dan ray tracing, game ini mencatatkan sekitar 50fps. Apabila DLSS 4.0 dan ray tracing diaktifkan, prestasinya melonjak secara mendadak kepada sekitar 140fps dan kekal pada 130fps semasa adegan pertempuran.

- Stellar Blade: Dengan tetapan “Very High” tanpa DLSS dan frame generation, ia mencapai lebih kurang 80fps. Setelah DLSS 4.0 dan frame generation dihidupkan, prestasinya melonjak ke tahap 240fps yang sangat menakjubkan.

- Wuthering Waves: Pada tetapan “Ultra High” dengan had 120fps, laptop ini berjaya mengekalkan prestasi pada julat 110–115fps secara konsisten, malah jarang sekali jatuh di bawah 100fps semasa pertempuran sengit.

Bagi menampung beban kerja yang tinggi ini, laptop ini didatangkan dengan sistem penyejukan Cooler Boost 5 yang terdiri daripada gabungan dua kipas dan enam paip haba. Kuasanya dibekalkan oleh penyesuai 330W bagi menjamin prestasi yang konsisten dan stabil.
Fungsi Pintar dan Perkakasan Premium

Nama ‘AI’ pada model ini merujuk kepada ciri MSI AI Engine yang terintegrasi dan boleh dikawal melalui perisian MSI Center.
Pengguna boleh memilih mod secara manual seperti ‘Extreme Performance’, ‘Balanced’, dan ‘Silent’, ataupun menyerahkannya kepada AI untuk melaraskan penggunaan CPU/GPU serta kelajuan kipas secara automatik mengikut aplikasi yang sedang digunakan.
Ini memastikan pengalaman pengguna sentiasa responsif dan senyap tanpa perlu sebarang konfigurasi manual.

Paparan visualnya pula diterajui oleh skrin LCD IPS bersaiz 16 inci yang menawarkan resolusi 2560 x 1600, kadar segar semula 240Hz, dan nisbah bidang 16:10.
Dengan liputan gamut warna 100% DCI-P3, panel ini mampu menghasilkan visual yang sangat terang dan realistik, menjadikannya amat sesuai untuk gaming kompetitif serta tugas penciptaan kandungan.

Untuk bahagian input, MSI melengkapkannya dengan papan kekunci dari SteelSeries yang mempunyai lampu latar RGB setiap kekunci (Per-Key), jarak pergerakan 1.7mm, dan 24 zon pencahayaan yang boleh diselaraskan melalui Mystic Light. Kekunci WASD direka lutsinar bagi memudahkan ia dilihat.
Pilihan port yang disediakan juga amat lengkap dan praktikal untuk para pencipta kandungan:
- 2x USB-A 3.2 Gen 2
- 2x USB-C dengan Thunderbolt 5 (DisplayPort + PD 3.1)
- 1x HDMI 2.1
- 1x port LAN 2.5Gbps
- 1x jek audio 3.5mm
- 1x pembaca kad SD saiz penuh


Turut disertakan dalam pembelian ialah sebuah tetikus gaming berwayar M99, yang menawarkan sokongan sehingga 6200dpi dan kadar undian 1000Hz. Ini menjadikannya satu pakej lengkap yang sedia untuk digunakan bagi tujuan gaming sejurus dikeluarkan dari kotak.
Pendapat

Secara keseluruhannya, MSI Vector 16 HX AI berjaya menawarkan pakej yang seimbang antara kuasa, reka bentuk, dan nilai.
Meskipun tidak dilengkapi GPU tertinggi seperti RTX 5080 atau 5090, gabungan RTX 5070 Ti dengan teknologi DLSS 4.0 serta ciri penalaan pintar AI ternyata mampu memberikan pengalaman yang amat berkuasa dan lancar, baik untuk judul AAA terkini mahupun beban kerja kreatif yang berat.
Apabila digabungkan dengan paparan 2K berkadar segar semula tinggi dan binaan yang mantap, laptop ini jelas merupakan satu pilihan yang sangat menarik bagi mereka yang inginkan prestasi premium tanpa perlu berbelanja hingga lebih RM10K.
Tidak kira anda seorang gamer kompetitif atau profesional kreatif, Vector 16 HX AI adalah sebuah mesin hebat yang wajar diletakkan dalam senarai pertimbangan anda.
Untuk maklumat lanjut, layari SINI.









Discussion about this post