Konami telah membuat pengumuman rasmi bahawa mod online battle “Fox Hunt” untuk Metal Gear Solid Δ: Snake Eater tidak akan tersedia pada hari pertama pelancarannya.
Sebaliknya, komponen multiplayer ini telah dijadualkan untuk pelancaran pada Musim Luruh 2025, iaitu selepas game utamanya menemui peminat pada 28 Ogos.
Mod “Fox Hunt”, yang telah diperkenalkan sebelum ini, menawarkan sebuah pengalaman kompetitif berkonsepkan sorok-sorok dalam Metal Gear Solid Δ. Ia direka khas untuk membawa pemain mendalami tema utama siri ini, iaitu “stealth, camouflage, dan survival.”
Walaupun maklumat terperinci mengenai mekanik gameplay masih lagi dirahsiakan, mod ini dijangka akan mengguna pakai dinamik asymmetrical multiplayer seperti yang pernah ditampilkan dalam Metal Gear Online, untuk melagakan pemain dalam satu perlawanan ‘hide-and-seek’ yang berdebar.

Strategi pelancaran secara berfasa ini memberi peluang kepada para pemain untuk menghayati sepenuhnya penceritaan single-player bersama Naked Snake terlebih dahulu, sebelum komponen kompetitif ini dilancarkan. Tempoh Musim Luruh 2025 menandakan mod ini akan tiba dalam lingkungan bulan September hingga November.
Buat masa ini, Konami masih belum menjelaskan cara ia akan diedarkan, namun ia dijangka hadir sama ada sebagai satu kemas kini percuma atau kandungan boleh dimuat turun (DLC) yang berasingan.

Metal Gear Solid Δ: Snake Eater, iaitu sebuah remake yang setia kepada permainan video asal keluaran tahun 2004, Metal Gear Solid 3: Snake Eater, yang ramai menganggap sebagai karya agung.
Versi remake ini bermatlamat untuk mengekalkan penceritaan dan corak gameplay ikonik dari versi asal—yang mengikuti misi ejen Naked Snake di hutan belantara Soviet pada tahun 1960-an—sambil membawakan nafas baharu melalui visual moden dan mekanik yang ditambah baik.
Metal Gear Solid Δ: Snake Eater akan dilancarkan pada 28 Ogos 2025 untuk PlayStation 5, Xbox Series X/S, dan PC melalui platform Steam.

Konami telah berjanji bahawa butiran yang lebih spesifik mengenai gameplay dan tarikh pelancaran tepat mod ini akan dikongsikan tidak lama lagi.









Discussion about this post