Selepas lebih tiga dekad menyepi dari layar perak, francais komedi slapstik ikonik, The Naked Gun, akhirnya membuat kemunculan semula. Filem terbaharu ini, yang menyusuli The Naked Gun 33⅓: The Final Insult (1994), boleh dianggap sebagai reboot dan juga sekuel. Sejujurnya, ia sebuah karya komedi merapu yang sangat berjaya.
Ini jenis filem yang memerlukan anda untuk tidak berfikir panjang, lupakan sahaja logik, dan nikmati sahaja gelagat di skrin. Jika anda mengharapkan filem komedi-aksi moden, anda mungkin akan hampa. Sebaliknya, ini adalah komedi tulen, yang dilakukan dengan cukup cemerlang.
Jalan Cerita Macam Sama, Tetapi Masih Baharu
Filem ini membawa kita mengikuti kisah Franklin “Frank” Drebin Jr. (Liam Neeson), anak kepada detektif legenda yang terkenal dengan sikap kelam-kabutnya, Leslie Nielsen.
Kisah bermula apabila Drebin Jr. ditugaskan menyiasat satu kes yang pada mulanya disangka kes bunuh diri biasa, namun siasatannya membongkar sebuah konspirasi yang lebih besar dan jauh lebih tidak masuk akal.

Bagi yang sudah biasa dengan siri The Naked Gun, anda pasti tahu bahawa jalan cerita bukanlah tarikan utamanya. Plotnya sengaja direka agar mudah dan klise—Frank Drebin perlu menggagalkan rancangan jenayah yang tidak masuk akal—dan inilah yang menjadi kekuatan utamanya.
Naratifnya hanyalah rangka untuk jenaka yang datang tidak henti-henti. Falsafah filem ini jelas: utamakan lawak, cerita nombor dua.

Komedi Merapu yang Menjadi
Kekuatan filem ini terletak pada lawaknya tanpa henti, yang saya gembira untuk katakan telah dilaksanakan dengan begitu baik.

- Gaya Komedi Selamba: Humor filem ini dipacu oleh Neeson, yang melontarkan dialog paling merapu dengan riak wajah yang selamba dan serius. Kontras antara sikap seriusnya dengan dialog yang gila-gila itu menghasilkan impak yang sangat melucukan.
- Lawak Visual & Aksi Slapstik: Di sinilah filem ini benar-benar menyinar. Ia penuh dengan aksi fizikal ala kartun dan lawak visual yang menjadi identiti siri ini. Saya syorkan anda beri perhatian penuh, kerana banyak lawak-lawak kecil yang tersembunyi di latar belakang, menjadikan jenaka utama lebih berkesan.
- Permainan Kata (Puns & Wordplay): Skripnya bijak bermain dengan kata-kata. Jenakanya datang silih berganti dengan pantas, sampaikan ada yang mungkin terlepas pandang, sekaligus membuatkan anda mahu menontonnya sekali lagi. Anda juga akan disajikan dengan parodi filem romantik klise, lengkap dengan babak gerak perlahan dan dialog cinta yang tidak kena pada tempatnya.

Hampir tiada ruang untuk menarik nafas antara satu jenaka dengan jenaka yang lain. Inilah gaya klasik The Naked Gun—pantas dan padat. Ada lawak yang agak kebudak-budakan, ada yang sekadar lucu, tetapi kuantitinya sangat banyak dan tidak pernah membosankan.
Namun, satu peringatan untuk penonton Malaysia: sesetengah rujukan sangat berkait rapat budaya dan peristiwa di Amerika. Jika anda tidak biasa, ia mungkin membuatkan anda kurang faham atau terpinga-pinga.

Salah satu pembaharuan paling ketara adalah pada babak-babak aksinya. Berbanding aksi dalam filem-filem lama, versi 2025 ini menampilkan koreografi lawan yang lebih kemas, sesuai dengan selera penonton moden. Walaupun begitu, intipati The Naked Gun tetap tidak hilang.
Aksi yang mantap ini sentiasa diselangi dengan unsur slapstik dan sifat kelam-kabut watak-wataknya dengan cara yang kelakar, memastikan filem ini tidak pernah menjadi filem aksi serius. Saya tidak akan mendedahkannya, tetapi anda akan faham apabila menontonnya nanti.
Barisan Pelakon yang Mengejutkan Agak Sesuai

Saya akui, apabila Liam Neeson diumumkan sebagai pelakon utama, ia satu pilihan yang agak mengejutkan. Kita lebih mengenalinya dalam filem-filem aksi hebat, jadi melihatnya dalam sebuah komedi terasa janggal pada mulanya.
Tetapi jika difikirkan semula, Frank Drebin yang asal, Leslie Nielsen, juga bermula sebagai pelakon watak serius sebelum beralih ke genre komedi. Perkara sama berlaku pada Neeson; kontras dengan imej seriusnya itulah yang membuatkan beliau sangat sesuai untuk watak ini.

Barisan pelakon sampingan juga tidak kurang hebatnya. Pamela Anderson sebagai heroin, Danny Huston sebagai antagonis tipikal The Naked Gun, dan Paul Walter Hauser sebagai pembantu Drebin semuanya memberikan persembahan yang mantap.
Huston, khususnya, berjaya meniru aura penjahat dalam trilogi asal, manakala lakonan Hauser mengingatkan kita kepada watak Ed Hocken lakonan George Kennedy. Secara keseluruhannya, tiada seorang pun pelakon yang terasa janggal; semua berjaya menjiwai watak dengan komedi yang tepat.
Pendapat
Kesimpulannya, The Naked Gun (2025) menepati janjinya… sebuah komedi ‘bodoh-bodoh ’ yang tidak segan silu dengan identitinya dan berpegang teguh pada formulanya. Ia tidak cuba mengubah atau mengatasi filem asal, sebaliknya memberi penghormatan yang sewajarnya.
Kekuatannya kekal pada lawak slapstik klasik, dialog merapu, dan gelagat huru-hara… dan entah bagaimana, ia berjaya menjadikan semua itu terasa baharu.

Jika anda mencari penceritaan yang kompleks atau aksi ala Marvel, ini bukan filem untuk anda. Tetapi jika anda bersedia untuk ketawa terbahak-bahak melihat lawak selamba yang dipersembahkan dengan sepenuh jiwa, The Naked Gun telah kembali dan ia masih berbisa seperti dahulu.
Nasihat terakhir: saya amat sarankan anda menonton sekurang-kurangnya filem pertama dari trilogi asal sebelum menonton filem ini. Ia akan membantu anda lebih menghargai dinamik watak dan rujukan-rujukan bijak kepada naskhah klasiknya.

The Naked Gun kini ditayangkan di pawagam sejak 31 Julai 2025.
The Review
The Naked Gun
Secara ringkas, The Naked Gun (2025) menepati janjinya sebagai komedi merapu yang memberi penghormatan kepada siri asal. Ia tidak cuba menjadi filem aksi moden, sebaliknya kekal dengan kekuatan lawak slapstik dan dialog selamba yang terasa segar. Jika anda bersedia untuk ketawa tanpa henti, filem ini untuk anda. Sebagai tip, tonton filem pertama dari trilogi asal untuk pengalaman maksimum.
PROS
- Komedi tanpa henti yang dilaksanakan dengan cantik
- Persembahan Liam Neeson yang mengejutkan tapi berkesan
- Semua pelakon menjayakan peranan dan komedi mereka
- Mengekalkan tenaga yang tinggi dan membuatkan penonton terus ketawa
- Satu kesinambungan yang sejati dan layak untuk francais ini
CONS
- Jalan cerita yang ringkas dan mudah dijangka
- Sesetengah rujukan budaya mungkin tidak difahami
- Mungkin tidak sesuai dengan selera semua orang









Discussion about this post