Hideo Kojima, pencipta genius di sebalik francais Metal Gear Solid dan Death Stranding, telah meluahkan rasa kekecewaan terhadap keadaan semasa industri gaming berskala besar.
Beliau mengkritik studio-studio gergasi yang didakwanya sering menghasilkan game yang mahal, membazir, serta ketandusan kreativiti.
Baru-baru ini, pembangun itu menyuarakan rasa kesalnya terhadap trend pengulangan tanpa inspirasi yang diperhatikannya ketika menonton acara pameran gaming terkenal, Summer Games Fest. “Setiap yang ditunjukkan melibatkan pertarungan dengan raksasa makhluk asing atau raksasa zaman pertengahan,” kata Kojima.
Menurutnya, masalah ini bukan sekadar persamaan tema. “Malah visual dan sistemnya juga hampir sama,” katanya.
Walaupun beliau akur dengan potensi komersial formula sebegini, Kojima tetap menegaskan akan kepentingan inovasi dalam industri. “Ramai orang menyukainya, saya faham, tetapi adalah penting untuk menyuntik sesuatu yang benar-benar baharu ke dalam industri.”
Kebuntuan kreatif dalam arena AAA inilah yang menjadi sebab utama Kojima sendiri mengakui jarang bermain game pada masa kini.
Beliau berpendapat, sama seperti bidang kreatif yang lain, hasil kerja yang paling mengujakan sering kali datang daripada pembangun indie, manakala studio-studio besar pula lebih sibuk “mengeluarkan produk yang selamat dan sangat membosankan.”
Situasi ini jelas terbukti pada musim panas ini apabila industri dilihat terus bergantung pada harta intelek (IP) yang sedia ada.
Konami, bekas majikan Kojima, akan melancarkan projek ‘remake’ berprofil tinggi untuk game klasiknya, Metal Gear Solid 3: Snake Eater—sebuah projek yang dibangunkan tanpa sebarang penglibatan pencipta asalnya.
Apabila diajukan soalan sama ada beliau akan memainkannya, Kojima tertawa dan memberi jawapan muktamad: “Tidak, saya tidak akan main.”
Kojima juga berkongsi sebuah anekdot yang menyerlahkan lagi pandangannya mengenai kekurangan keaslian dalam pembangunan moden.
Beliau mengimbas kembali kunjungannya ke sebuah studio terkenal untuk memberi khidmat nasihat bagi sebuah permainan video ‘stealth’ baharu, namun beliau sama sekali tidak kagum dengan pendekatan yang diambil oleh pasukan tersebut.
“Orang yang membuat game military mungkin tidak tahu cara meleraikan atau menembak senjata api,” kata Kojima. “Jadi, ia sesuatu yang menyedihkan.”
Ketika ditanya adakah beliau mempunyai pengetahuan seperti itu, Kojima mengesahkan bahawa beliau sendiri telah membuat kajian secara praktikal. “Ya, kerana saya juga telah menjalani latihan ini,” katanya, sebelum menyambung, “dan saya juga telah belajar pelbagai cara untuk membunuh orang.”
Anda juga boleh baca interviu kami bersamanya di SINI.









Discussion about this post