Malaysia bakal menjadi lokasi penuh aksi untuk Ultraman The Hero Premiere 2025, yang akan berlangsung dari 9 hingga 20 Julai 2025. Acara ini menampilkan kemunculan sulung Ultraman Omega, adiwira terbaharu dalam dunia Ultraman, yang pastinya menggembirakan para peminat.
Bertempat di Sunway Velocity Mall, GF Main Atrium dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, acara ini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan langsung, sesi bergambar bersama watak, barangan eksklusif, dan Ultraman Playland yang sesuai untuk seisi keluarga.
Ultraman Omega, yang merupakan wira Ultra ke-51, bakal membuat tayangan perdananya di seluruh dunia pada 5 Julai 2025 melalui YouTube. Selepas tayangan di kaca televisyen, para peminat berpeluang melihat sendiri reka bentuk kostum serta kehebatan kuasa Ultraman Omega secara langsung dalam persembahan di acara tersebut.
Siri baharu ini membawa premis unik iaitu Bumi yang belum pernah disentuh oleh Ultra atau Kaiju dan mengisahkan tentang Sorato Okida, makhluk asing yang hilang ingatan. Selepas menyedari dirinya mampu berubah menjadi Ultraman Omega, Sorato mula menentang ancaman Kaiju sambil cuba merungkai rahsia hubungannya dengan manusia.

Ultraman The Hero Premiere 2025 Malaysia juga akan menampilkan pertarungan epik secara langsung antara Ultraman Omega dan watak-watak ikonik lain menentang Kaiju, memberikan pengalaman interaktif kepada pengunjung.
Sesi meet-&-greet dan bergambar turut diadakan, membolehkan peminat lebih dekat dengan wira-wira kegemaran mereka. Setakat ini, kami tidak tahu siapakah yang akan datang untuk sesi meet-&-greet.

Jangan lepaskan peluang juga untuk mendapatkan barangan eksklusif Ultraman Omega di kedai pop-up khas, termasuk koleksi mainan, pakaian, dan pelbagai item edisi terhad yang pasti mencuri perhatian pengumpul.
Untuk si kecil, Ultraman Playland menyediakan ruang permainan kembung dan aktiviti menyeronokkan yang direka khas untuk kanak-kanak.

Jadi jomlah kita sertai ribuan peminat lain di Sunway Velocity Mall dan alami sendiri keajaiban dunia Ultraman sambil menyaksikan debut Ultraman Omega secara langsung!
@gamersantaimy
Discussion about this post