Perfect World Games dan Hotta Studio, pembangun di sebalik RPG open world bertemakan supernatural Neverness to Everness (NTE), bersedia membuka semula pintu ke dunia Hethereau apabila mereka mengumumkan Closed Beta Test terbaharu untuk pemain PC Windows. Ujian ini akan berlangsung dari 3 hingga 16 Julai.
Pengumuman tersebut dibuat ketika siaran langsung pada hari Ahad lepas, di mana pelbagai kemas kini dan ciri baharu turut diperlihatkan.
Siaran langsung itu turut memberikan gambaran lebih terperinci tentang dunia Hethereau yang dinamik dan dibina menggunakan Unreal Engine 5.
Pemain akan dapat meneroka sebuah bandar yang dipenuhi anomali supernatural serta pelbagai watak yang unik. Salah satu penambahan utama ialah sistem kenderaan dan sistem “wanted”, membolehkan pemain merampas kereta dan memandu bebas di jalan-jalan luas bandar.
Tetapi awas—tingkah laku melanggar undang-undang akan mengaktifkan sistem amaran berperingkat, yang akan bertindak balas bergantung pada tahap jenayah dilakukan. Ini menambahkan elemen aksi seperti yang biasa dilihat dalam Grand Theft Auto.
Bagi yang gemar persaingan, mod online street racing juga disediakan, di mana pemain boleh berlumba dengan rakan atau kumpulan lain untuk menguasai jalan raya Hethereau.

Memandangkan bandar Hethereau direka untuk hidup dan terasa nyata, pasukan pembangun turut memperkenalkan sistem cuaca dinamik yang telah dipertingkatkan.
Kesan salji kini menampilkan bahan salji PBR (physically based rendering) dengan kesan penyebaran bawah permukaan secara masa nyata, menjadikan setiap butir salji kelihatan lebih bersinar dan realistik.

Dari segi kandungan, NTE menggabungkan elemen cerita drama-komedi dalam bentuk episod bersama gameplay RPG tradisional. Pemain akan menyiasat misteri supernatural menerusi pelbagai watak unik yang mempunyai keperibadian dan abiliti tersendiri.
Selain jalan cerita utama, bandar ini turut menawarkan pelbagai aktiviti tambahan yang sentiasa berkembang: antaranya mengumpul dan mengubah suai kereta mewah, menghias apartmen bandar, atau malah membangunkan perniagaan sendiri.
Closed Beta Test ini memberi peluang kepada pemain untuk merasai sendiri semua penambahbaikan ini, dan merasai sedikit sebanyak visi besar NTE yang sedang dibangunkan untuk platform PC, konsol, serta peranti mobile.
Untuk maklumat lanjut atau jika ingin mengikuti perkembangan terkini, layari laman web rasmi NTE.
@gamersantaimy
Discussion about this post