Bandai Namco dan Supermassive Games mengesahkan bahawa Little Nightmares III bakal dilancarkan pada 10 Oktober 2025, dan akan hadir di pelbagai platform termasuk Nintendo Switch 2.
Game ini turut boleh dimainkan di PlayStation 5, Xbox Series X/S, PlayStation 4, Xbox One, Nintendo Switch, serta PC melalui Steam dan Microsoft Store, mengajak pemain kembali ke alam seram The Nowhere.
Tempahan awal secara digital kini dibuka untuk kebanyakan platform, manakala tempahan untuk Switch dan Switch 2 akan diumumkan kemudian. Peminat boleh memilih antara Edisi Standard dan Edisi Deluxe, yang masing-masing menawarkan kandungan tambahan.
Kedua-dua edisi termasuk Dark Six Costumes Set untuk watak utama, Low dan Alone, sebagai penghormatan kepada gadis misteri yang melarikan diri dari The Maw dalam game pertama.
Mereka yang membuat pra-tempahan juga akan mendapat akses segera kepada Little Nightmares Enhanced Edition untuk PS5, Xbox Series dan PC — versi naik taraf game pertama dengan visual 4K dan kelajuan 60 FPS.

Edisi Deluxe pula tampil dengan kandungan lebih banyak, termasuk Secrets of the Spiral Expansion Pass yang menyajikan dua bab tambahan bagi meneroka lebih dalam dunia gelap The Spiral.
Ia turut menyertakan set kostum eksklusif seperti Ferryman Costumes Set, diinspirasikan daripada watak misteri dari The Nowhere, serta The Residents Costumes Set yang membolehkan Low dan Alone menggayakan rupa menyeramkan watak-watak ikonik siri ini seperti The Janitor, The Twin-Chefs, The Lady, dan The Hunter.

Kisah Little Nightmares III mengikuti dua kanak-kanak, Low dan Alone, yang terperangkap dalam The Nowhere: sebuah dunia mimpi ngeri yang dipenuhi makhluk aneh.
Dengan busur panah dan sepana sebagai senjata, mereka perlu bekerjasama untuk melepasi pelbagai cabaran di lokasi-lokasi berbahaya seperti reruntuhan berpasir Necropolis, kilang gula-gula dipenuhi makhluk rakus Candy Weevils, serta taman tema terbengkalai yang basah kuyup dek hujan.
Sama ada bermain secara solo bersama A.I. atau secara co-op dengan rakan, kerjasama adalah kunci untuk menyelesaikan teka-teki, mengatasi halangan, dan mengelak daripada ancaman watak-watak menakutkan seperti Monster Baby.
Busur Low mampu memotong tali, mencapai sasaran jauh, atau menangkis serangan, manakala sepana Alone berguna untuk memecahkan halangan serta mengendalikan mesin besar. Untuk terus hidup, pemain perlu cepat berfikir — sama ada bersembunyi, melarikan diri, atau menghadapi ancaman yang sentiasa menanti di setiap sudut.
Mampukah mereka keluar dari dunia mimpi ngeri yang tiada penghujung ini? Semuanya akan terjawab apabila Little Nightmares III tiba Oktober ini. Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post