Animasi kanak-kanak terkenal, Bluey, kini membawa dunia penuh keceriaannya ke dalam Fruit Ninja Classic+ menerusi acara kolaborasi khas yang boleh dinikmati secara eksklusif di Apple Arcade.
Bermula 19 Jun hingga 13 Ogos 2025, kerjasama istimewa ini membawa elemen-elemen bertemakan Bluey ke dalam game memotong buah yang ikonik ini, lengkap dengan tongkat ajaib, kuasa istimewa, dojo unik, dan pelbagai easter egg menarik yang pasti menggembirakan peminat siri animasi tersebut.
Acara ini hadir dengan empat mini-game eksklusif—Featherwand, Sticky Gecko, Asparagus, dan Fruit Salad—yang penuh aksi dan penuh ganjaran istimewa.
Pemain boleh menggunakan Featherwand milik Bingo untuk memotong buah, membantu Bluey menangkap Sticky Gecko yang melekat di siling, atau menjelajah rumah keluarga Heeler sambil menemui pelbagai easter egg yang tersembunyi.
Sama ada anda kanak-kanak yang meminati Bluey atau ibu bapa yang membesar dengan Fruit Ninja, acara ini menjanjikan keseronokan untuk semua peringkat umur.

“Projek ini sangat istimewa,” kata Joe Brumm, pencipta Bluey. “Bluey dan Fruit Ninja kedua-duanya lahir di Brisbane, dan saya sudah lama berkawan dengan pasukan hebat dari Halfbrick. Bekerjasama dalam projek ini benar-benar menggembirakan.”

Sejak mula disiarkan pada 2018, Bluey mengisahkan kehidupan seekor anak anjing Blue Heeler berusia enam tahun, adiknya Bingo yang berusia empat tahun, serta ibu bapa mereka, Bandit dan Chilli. Siri ini telah mencuri perhatian penonton seluruh dunia dengan kisah keluarga yang penuh kasih sayang dan penceritaan kreatif.
Dalam masa yang sama, Fruit Ninja (yang mula diperkenalkan pada 2010) kekal sebagai antara game mobile paling klasik, di mana pemain perlu memotong buah sambil mengelak bom untuk mengumpul mata tertinggi.

Kolaborasi bersama Bluey ini eksklusif untuk Fruit Ninja Classic+, versi tanpa iklan yang tersedia di Apple Arcade dan turut menawarkan pelbagai kandungan tambahan berbanding versi percuma. Langganan Apple Arcade diperlukan untuk menyertai acara ini.
Jangan lepaskan peluang untuk menyertai keseronokan bersama Bluey dan keluarganya sebelum acara ini tamat pada 13 Ogos!
@gamersantaimy
Discussion about this post