Peminat siri anime dan manga “Delicious in Dungeon” boleh bersorak gembira! Pameran rasmi yang meraikan karya popular ini akan tiba buat pertama kalinya di Malaysia, bertempat di INCUBASE Arena, Level 2, Fahrenheit 88.
Selepas mencuri perhatian di Jepun dan Hong Kong, acara interaktif ini bakal membawakan pengalaman yang sama menarik ke netizen Malaysia dengan menampilkan dunia uniknya yang menggabungkan dungeon dan seni kulinari kreativiti.
Walaupun tarikh rasmi masih belum disahkan, pameran ini dijangka berlangsung selepas acara pop-up Dan Da Dan tamat di lokasi yang sama.
Berdasarkan pengalaman di negara lain, pengunjung boleh menjangkakan pelbagai tarikan visual, termasuk replika adegan-adegan ikonik daripada anime ini (sesuai untuk sesi bergambar) serta sudut foto eksklusif khas untuk edisi Malaysia.

Antara tarikan utama ialah paparan istimewa yang disusun sendiri oleh pencipta manga, Ryoko Kui. Lebih 150 replika manuskrip, ilustrasi, klip temu bual, dan video akan dipamerkan, memberi peluang kepada peminat untuk menyelami proses kreatif di sebalik penghasilan siri ini.

Seperti mana-mana ekspedisi dungeon, ganjaran pasti dinantikan dan kedai pop-up “Delicious in Dungeon” pasti tidak mengecewakan. Menawarkan pelbagai barangan eksklusif yang diimport khas dari Jepun, peminat pasti rambang mata.
Malah, jika bernasib baik, mungkin akan ada kafe bertema yang menyajikan hidangan lazat berinspirasikan resipi raksasa dari dunia anime ini.

Ditulis dan dilukis oleh Ryoko Kui, “Delicious in Dungeon” diterbitkan dalam majalah Harta terbitan Enterbrain dari Februari 2014 hingga September 2023.
Kisahnya mengikuti sekumpulan pengembara yang terpaksa memasak dan memakan raksasa demi terus hidup selepas misi yang gagal, sambil berusaha menyelamatkan rakan mereka, Falin, yang ditelan naga.
Adaptasi animenya oleh Studio Trigger ditayangkan di Netflix dari Januari hingga Jun 2024, dengan 24 episod, dan musim kedua kini dalam perancangan.
Peminat digalakkan untuk terus mengikuti pengumuman rasmi bagi maklumat lanjut dan kejutan menarik!
@gamersantaimy
Discussion about this post