Capcom memperkenalkan trailer terbaru untuk Onimusha: Way of the Sword semasa acara Summer Game Fest, menonjolkan aksi combat pedang penuh intensiti dalam dunia fantasi gelap, dan barisan musuh baharu yang mencabar.
Akan dilancarkan pada tahun 2026 di PlayStation 5, Xbox Series dan PC melalui Steam, game ini mengikuti perjalanan samurai legenda Miyamoto Musashi yang menggunakan Oni Gauntlet mistik untuk melawan kuasa jahat dari alam underworld.
Trailer ini turut memperkenalkan watak antagonis penting, Sasaki Ganryu — seorang pendekar handal dan tokoh sejarah sebenar yang merupakan seteru takdir Musashi.
Dengan senjata Oni Gauntlet miliknya sendiri, Ganryu bertembung dengan Musashi dalam satu pertarungan epik berlatarbelakangkan kuil ikonik Kiyomizu-dera di Kyoto.

Perjalanan Musashi akan mempertemukannya dengan pelbagai makhluk Genma yang mengerikan, termasuk si pencuri roh Kubi Akari, dan Daidara — raksasa gergasi yang lapar tak berkesudahan, melahap segala yang ada di laluannya.
Trailer menunjukkan pertarungan sengit antara Musashi dan Daidara, di satu lokasi misteri yang baru didedahkan.
Lokasi baharu ini digambarkan sebagai alam luar biasa dengan runtuhan terapung dan bongkah batu menggantung di langit.
Musashi meneroka dunia aneh ini dengan mencipta laluan yang muncul dari udara, memperkenalkan mekanik eksplorasi unik yang menambah elemen mystical dalam game.

Aksi combat Onimusha: Way of the Sword juga dipertontonkan, termasuk teknik maut “Issen” yang membenarkan serangan critical tepat sebelum serangan musuh mengenai sasaran.
Senjata baharu yang kelihatan seperti tukul berkembar turut dipamerkan, menghasilkan hentakan bertenaga yang seolah-olah memecahkan udara, menambahkan variasi dan impak dalam gaya pertarungan game ini.

Di akhir trailer, kelihatan seorang wanita misteri yang muncul dari cahaya Oni Gauntlet milik Musashi — identitinya masih menjadi tanda tanya, dan pasti akan menimbulkan rasa ingin tahu para pemain mengenai peranannya dalam kisah ini.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post