Apple secara rasmi telah mengumumkan senarai pemenang bagi Apple Design Awards 2025, menampilkan 12 aplikasi dan game terbaik yang menyerlah dari segi inovasi, daya cipta, dan kehebatan teknikal.
Dipilih daripada 36 finalis dari seluruh dunia, anugerah ini menghargai kecemerlangan dalam enam kategori utama: Delight and Fun, Innovation, Interaction, Inclusivity, Social Impact, serta Visuals and Graphics.
Pemenang bagi kategori game tahun ini benar-benar menyerlahkan kebolehan kreatif pembangun yang memanfaatkan sepenuhnya teknologi Apple untuk mencipta pengalaman yang luar biasa dan berkesan. Berikut adalah senarai game yang memenangi setiap kategori:
Delight and Fun: Balatro
- Pemaju: LocalThunk (Kanada)
Balatro menggabungkan elemen poker, solitaire dan deckbuilding dengan sentuhan roguelike, menghasilkan gameplay yang menarik dan cukup memuaskan. Pemain perlu membina dek kad sinergi dengan menggunakan kad joker unik sambil mengalahkan musuh yang licik untuk mendapatkan markah tertinggi. Gabungan reka bentuk yang bijak dan gameplay yang mengasyikkan menjadikan Balatro benar-benar menonjol.
Innovation: PBJ — The Musical
- Pemaju: Philipp Stollenmayer (Jerman)
PBJ — The Musical memberikan nafas baharu kepada kisah Romeo dan Juliet dengan pendekatan bertema makanan. Permainan ini menggabungkan naratif berasaskan rentak muzik dengan kesan haptik, sinematografi yang kreatif dan runut bunyi yang menghiburkan, menghasilkan pengalaman bercerita yang unik dan mempesona dari mula hingga akhir.
Interaction: DREDGE
- Pemaju: Black Salt Games (New Zealand)
DREDGE menyatukan elemen seram perlahan dengan eksplorasi maritim, meletakkan pemain sebagai pemandu bot nelayan yang perlu meredah perairan misteri dan pulau-pulau menyeramkan. Kawalan gameplay yang lancar serta penemuan rahsia tersembunyi mencipta pengalaman bermain yang mendalam merentasi iPhone, iPad dan Mac, menjadikan interaksinya mudah difahami namun penuh saspens.
Inclusivity: Art of Fauna
- Pemaju: Klemens Strasser (Austria)
Art of Fauna ialah game teka-teki yang direka dengan penuh kehalusan, menekankan kepelbagaian dan mesej pemeliharaan alam. Pemain boleh menyelesaikan cabaran melalui elemen visual atau teks, disokong dengan ciri VoiceOver sepenuhnya dan maklum balas haptik untuk memastikan akses yang mesra pengguna. Gaya seni yang diinspirasikan oleh ilustrasi hidupan liar vintaj memberi lapisan emosi yang kuat kepada pengalaman permainan.
Social Impact: Neva
- Pemaju: Devolver Digital (Amerika Syarikat)
Neva ialah game aksi-pengembaraan yang memukau dari segi visual, mengikuti kisah seorang gadis bersama serigala kesayangannya dalam dunia yang sedang musnah. Naratif menyentuh tema kasih sayang, kehilangan, dan hubungan dengan alam sekitar, disampaikan melalui landskap yang indah dan kisah yang penuh emosi.
Visuals and Graphics: Infinity Nikki
- Pemaju: Infold Games (Singapura)
Infinity Nikki mencuri tumpuan dengan visual open-world yang menakjubkan, dipenuhi pakaian magis dan makhluk-makhluk aneh. Pengembaraan santai ini menampilkan gabungan warna ceria dan perincian grafik yang luar biasa, menetapkan penanda aras baharu untuk standard grafik dalam game mobile.
Untuk melihat senarai penuh pemenang dan finalis Apple Design Awards 2025, kunjungi laman rasmi atau aplikasi Apple Developer.
@gamersantaimy
Discussion about this post