HoYo FEST 2025 bersedia untuk membawa pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh para peminat game popular HoYoverse seperti Genshin Impact, Honkai Impact 3, Honkai: Star Rail, dan Zenless Zone Zero.
Acara yang dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 27 Julai 2025 ini akan diadakan di Pavilion Exhibition Centre Bukit Jalil, Hall 1 dan 2. Sepanjang empat hari tersebut, para peminat di seluruh Malaysia dijemput untuk berkumpul dan merasai sendiri dunia gaming yang mereka gemari.

HoYo FEST 2025 menawarkan pelbagai aktiviti menarik di lokasi acara, termasuk reruai bertema yang diinspirasikan daripada tajuk-tajuk ikonik HoYoverse.
Para pengunjung boleh menantikan pelbagai barangan percuma eksklusif daripada Genshin Impact, Honkai Impact 3, Honkai: Star Rail, dan Zenless Zone Zero, di samping peluang membeli barangan eksklusif HoYo FEST.
Selain itu, peminat juga boleh menyertai cabutan bertuah dengan hadiah menarik serta menjelajahi hasil karya komuniti di Artist Alley yang bertemakan HoYoverse.

Selepas kejayaan Artist Alley di HoYo FEST 2024 Indonesia dan Vietnam, edisi Malaysia tahun ini bakal menampilkan Artist Alley buat julung kalinya.
Ruang khas ini, yang biasanya menjadi tumpuan di acara-acara ACG, memberi peluang kepada artis tempatan untuk mempamerkan dan menjual karya-karya ciptaan mereka yang diinspirasikan oleh alam HoYoverse.
Ini merupakan satu pencapaian yang cukup istimewa kerana HoYoverse menjadi syarikat gaming pertama di Asia Tenggara yang membenarkan penjualan karya peminat secara rasmi di acara mereka sendiri.

Sebagai satu lagi tambahan baharu untuk edisi 2025, HoYo FEST akan memperkenalkan Stage Segment, sebuah pentas khas di mana cosplayer, pemuzik, dan artis peminat berpeluang mempersembahkan bakat mereka yang berkaitan dengan tajuk HoYoverse.
Senarai penuh artis dan persembahan akan diumumkan pada penghujung Jun 2025.
Maklumat Tiket dan Harga
Tiket untuk HoYo FEST 2025 Malaysia akan mula dijual pada 24 Jun 2025, bermula jam 11:00 pagi, menerusi laman web rasmi HoYo FEST. Beberapa pilihan tiket ditawarkan, termasuk:
- Pas 1 Hari (RM22): Akses tanpa had untuk satu hari, dengan waktu kemasukan bermula jam 11:00 pagi.
- Pas 4 Hari (RM65): Akses penuh untuk keempat-empat hari acara, dengan waktu kemasukan bermula jam 11:00 pagi.
- Pas Pantas 1 Hari (RM80): Termasuk kemasukan awal pada jam 10:00 pagi, akses keutamaan ke HoYoverse Experience Zone, semua reruai permainan, dan HoYo FEST Photo Booth. Pembeli Pas Pantas juga akan menerima barangan percuma terjamin di semua reruai permainan, HoYo FEST 2025 Exclusive Commemorative Passport, lanyard eksklusif dengan DIY ID Holder, dan satu tiket cabutan bertuah.
- Kanak-kanak (6 tahun ke bawah): Kemasukan percuma apabila ditemani oleh ibu bapa atau penjaga dengan tiket sah. Kad pengenalan sah diperlukan.
- Orang Kurang Upaya (OKU): Diskaun 50% untuk sebarang jenis tiket, dengan Kad OKU sah diperlukan untuk pengesahan.










Discussion about this post