Kadokawa Gempak Starz bersama Respected Citizen Production baru-baru ini mengumumkan satu projek kolaborasi baharu yang menarik: Under 18 x KLEPET, sebuah komik istimewa yang menggabungkan dua dunia berbeza.
Pada mulanya, kami menyangka ia mungkin adaptasi aksi langsung daripada komik lain karya Zint, seperti Speeder, namun ternyata kami silap.
Diumumkan menerusi media sosial pada 9 Mei 2025, projek ini menggabungkan dunia siri komik Under 18 Elite karya artis popular, Zint, dengan filem tempatan KLEPET, arahan Indra Putra Jamin. Walaupun tarikh pelancaran belum didedahkan, komik ini dijangka akan memasuki pasaran dalam masa terdekat.

Lagi khusus lagi, Under 18 x KLEPET menggabungkan penceritaan Under 18 Elite—siri novel grafik terkenal yang mengikuti pengembaraan seorang remaja bernama Fox bersama rakannya—dengan penampilan istimewa tiga protagonis utama dari filem KLEPET.
Untuk makluman, Under 18 Elite adalah kesinambungan kepada dua karya terdahulu Zint, iaitu Under 18 dan Under 18 No Fear.

Filem KLEPET pula mengisahkan Paly (Aedy Ashraf), Jany (Nadhir Nasar), dan Wadi (Meerqeen), tiga sahabat yang sedang bercuti menggunakan motorhome sebelum bertemu Lola, seorang gadis Ukraine yang melarikan diri daripada penculik, Yak dan Jud.
Situasi menjadi lebih rumit apabila mereka secara tidak sengaja melanggar seorang pembunuh upahan, Hitman, yang membawa beg berisi wang tunai. Paly mengambil wang tersebut dan menyembunyikannya di dalam motorhome, mengakibatkan mereka diburu Hitman.
Ketika Lola pulih, dia mencuri motorhome itu, menyebabkan semua pihak, terpaksa mengejarnya, masing-masing dengan agenda tersendiri. Adakah mereka berjaya mendapatkan semula motorhome tersebut?

Setakat hari ini, Kadokawa Gempak Starz masih belum mengumumkan tarikh rasmi pelancaran, format komik (sama ada satu jilid, siri berterusan, atau versi digital/fizikal), mahupun saluran pengedaran. Namun, teaser yang dikeluarkan mengisyaratkan bahawa maklumat lanjut akan dikongsi tidak lama lagi.
Peminat boleh mengikuti perkembangan terbaru melalui akaun rasmi media sosial Kadokawa Gempak Starz.
@gamersantaimy
Discussion about this post