NetEase Games secara rasmi telah mengumumkan Spirit Beast Adventure, sebuah mobile MMORPG yang sebelum ini dikenali sebagai Codename Spirit Beast Chapter. Apa yang menarik tentang game ini ialah ia menggabungkan elemen monster-taming, pertempuran strategi turn-based, serta ciri multiplayer, yang jelas mengambil inspirasi daripada Pokémon dan Digimon.
Berlatarbelakangkan dunia penuh dengan cerita rakyat tradisional China, pemain berpeluang menangkap dan melatih lebih daripada 100 makhluk roh mitos yang diinspirasikan daripada mitologi Cina.
Tidak seperti penggunaan Poké Ball dalam Pokémon, di sini pemain menggunakan bekas berbentuk labu untuk menangkap makhluk, dengan sistem tangkapan yang menyerupai mekanik dalam Palworld.

Makhluk-makhluk ini boleh digabungkan dan dinaik taraf, malah ada yang berevolusi menjadi bentuk humanoid seperti dalam Digimon.
Dengan pelbagai kemahiran dan lima puak berbeza, pemain boleh merancang strategi dengan memadankan makhluk bersama watak mereka, memanfaatkan sinergi antara puak untuk menguasai pertempuran taktikal berasaskan giliran.

Spirit Beast Adventure benar-benar tampil sebagai sebuah MMORPG sejati, dengan server yang mampu menampung sehingga 10,000 pemain untuk interaksi berskala besar.
Pemain boleh berdagang, menawan dungeon secara berkumpulan, dan membina pangkalan peribadi yang boleh disesuaikan, menawarkan gabungan gameplay koperatif dan kompetitif bersama elemen survival.
Untuk pemain kasual pula, game ini menyediakan mekanik “idle” yang membolehkan kemajuan berterusan walaupun ketika luar talian, selain UI yang ringkas dan dioptimumkan untuk permainan satu tangan di peranti mobile.

Buat masa ini, Spirit Beast Adventure masih dalam fasa ujian beta tertutup di China. Walaupun belum ada tarikh untuk beta terbuka atau pelancaran global, game ini sudah mula menarik perhatian peminat genre monster-taming dan MMORPG.
Nantikan perkembangan lanjut daripada NetEase Games tentang tajuk menarik ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post