Rockstar Games akhirnya melancarkan trailer kedua yang sangat dinantikan untuk Grand Theft Auto VI, memberi gambaran lebih mendalam tentang watak utama, barisan pelakon sampingan, serta negeri Leonida yang luas dan berwarna-warni.
Bersama trailer tersebut, Rockstar turut memuat naik maklumat tambahan serta imej di laman web rasmi mereka, memperincikan pelbagai watak dan lokasi yang bakal diterokai pemain.
Berlatar di Vice City, Amerika Syarikat, Grand Theft Auto VI mengikuti kisah Jason Duval dan Lucia Caminos, dua individu yang tersangkut dalam dunia jenayah selepas rompakan mereka gagal. Terperangkap dalam konspirasi jenayah berbahaya di seluruh Leonida, hubungan antara mereka menjadi kekuatan dan pada masa sama ancaman terhadap kelangsungan hidup mereka.
Jason Duval

Jason ialah bekas anggota tentera yang kini menjadi pengedar dadah, dibesarkan dalam suasana dipenuhi penipuan. Pernah menyertai tentera untuk melupakan masa silamnya, dia kini bekerja di Leonida Keys sambil mengimpikan kehidupan yang lebih tenang. Pertemuan dengan Lucia mungkin menjadi tiket ke arah kebebasan — atau membawa kehancuran.
Lucia Caminos

Baru sahaja dibebaskan dari Leonida Penitentiary, Lucia berazam membina kehidupan baharu. Membesar dalam suasana yang sukar, dia belajar bertarung sejak kecil dan tidak gentar menghadapi cabaran. Berpegang pada harapan ibunya yang dibentuk sejak zaman mereka di Liberty City, Lucia sanggup mengambil risiko besar demi mencapai impian, dengan Jason setia di sisinya.
Watak-Watak Sampingan
Trailer dan laman rasmi turut memperkenalkan pelbagai watak yang merancakkan dunia Grand Theft Auto VI:

- Cal Hampton: Sahabat paranoid Jason, menikmati kehidupan santai sambil memantau komunikasi Coast Guard dan minum bir.

- Boobie Ike: Legenda Vice City yang berjaya menukar kehidupan jalanan kepada empayar perniagaan, termasuk label rakaman Only Raw Records, dan gemar membimbing bakat baharu seperti Dre’Quan Priest.

- Dre’Quan Priest: Bekas penipu yang kini berjinak-jinak dalam industri muzik, bercita-cita untuk membina nama melalui kumpulan baharunya, Real Dimez.

- Real Dimez: Duo rap Bae-Luxe dan Roxy yang bijak menggunakan media sosial untuk melonjakkan kerjaya muzik mereka, sehingga menandatangani kontrak dengan Only Raw Records.

- Raul Bautista: Perompak bank berkarisma yang gemar mengambil risiko lebih besar dengan setiap misi.

- Brian Heder: Penyeludup dadah veteran yang mengendalikan operasi dari limbungan bot di Keys, menawarkan Jason tempat tinggal percuma sebagai balasan untuk bantuannya.
Meneroka Negeri Leonida
Grand Theft Auto VI membawa pemain menyusuri Vice City dan negeri Leonida yang lebih luas dengan butiran yang memukau. Dari lorong neon Vice City hingga ke rimba liar Grassrivers, setiap kawasan hadir dengan identiti tersendiri:

- Vice City: Versi moden bandar ikonik era 80-an, lengkap dengan hotel berkonsepkan seni deco, Little Cuba yang penuh warna, dan pelabuhan kapal persiaran VC Port.

- Leonida Keys: Gugusan pulau tropika yang mempesona tetapi penuh dengan ancaman tersembunyi.

- Grassrivers: Rimba paya liar yang menyembunyikan haiwan buas dan misteri aneh di balik pokok bakau.

- Port Gellhorn: Pekan pelancongan yang semakin suram, kini dipenuhi motel murah dan pusat hentian lori.

- Ambrosia: Sebuah kawasan perindustrian tradisional, dikuasai kilang gula Allied Crystal dan komuniti penunggang motosikal.

- Mount Kalaga: Kawasan lasak yang menjadi tumpuan aktiviti memburu, memancing, dan penempatan golongan radikal yang memilih hidup di luar norma masyarakat.
Grand Theft Auto VI akan dilancarkan pada 26 Mei untuk konsol PlayStation 5 dan Xbox Series. Untuk maklumat lanjut, anda boleh mengunjungi laman web rasmi Rockstar Games.
@gamersantaimy
Discussion about this post