Sudah diumumkan secara rasmi—Ghost of Yōtei, sekuel yang lama dinanti-nantikan kepada Ghost of Tsushima, bakal dilancarkan secara eksklusif di PS5 pada 2 Oktober ini.
Dibangunkan oleh Sony Interactive Entertainment dan Sucker Punch Productions, game ini boleh mula dipra-tempah bermula 2 Mei, dengan pelbagai edisi menarik ditawarkan: Edisi Standard, Digital Deluxe, dan Collector’s Edition yang penuh dengan kandungan eksklusif.
Berlatar enam belas tahun lalu di Ezo (kini dikenali sebagai Hokkaido), Ghost of Yōtei mengisahkan protagonis baharu bernama Atsu, seorang wanita muda yang terselamat daripada tragedi ngeri, tetapi ingin menuntut keadilan atas kehilangan keluarganya.
Dahulu hampir maut setelah digantung pada pokok ginkgo yang terbakar oleh kumpulan penjahat Yōtei Six, Atsu kini bangkit semula, membawa katana yang sama—bukan sekadar senjata, tetapi simbol dendam dan kekuatannya.

Misinya jelas: memburu setiap anggota Yōtei Six—The Snake, The Oni, The Kitsune, The Spider, The Dragon, dan Lord Saito. Namun, perjalanan yang bermula dengan amarah ini berubah menjadi kisah yang lebih mendalam apabila Atsu berdepan pelbagai pertemuan mengejutkan dan menjalin hubungan yang membuka jalan kepada makna baharu dalam hidupnya, sambil merentas alam semula jadi Ezo yang indah tetapi tidak kurang berbahaya.

Game ini meneruskan tradisi Ghost of Tsushima dengan elemen open-world yang lebih luas dan bebas. Pemain diberi kuasa untuk menentukan susunan buruan mereka, menjejaki sasaran berprofil tinggi, memperoleh ganjaran, atau berlatih dengan pelbagai sensei untuk membuka teknik baharu.
Dunia Ezo bukan sekadar cantik untuk dilihat, tetapi penuh dengan kejutan dan ancaman—diimbangi dengan aktiviti santai seperti yang pernah dikenali peminat, termasuk ciri baru seperti mendirikan unggun api di mana-mana lokasi untuk berehat dan mengatur strategi.

Maklumat Pra-Tempah dan Edisi Ditawarkan
Pra-tempahan untuk Ghost of Yōtei di PS5 akan dibuka mulai 2 Mei, dan menariknya, semua edisi yang ditempah awal akan hadir dengan topeng eksklusif dalam game serta tujuh avatar PlayStation Network yang memaparkan seni konsep Atsu dan kesemua ahli Yōtei Six.
Bagi yang membuat pra-tempahan melalui PlayStation Store, avatar tersebut akan dapat diakses serta-merta.

Edisi Digital Deluxe

Bagi pemain yang inginkan lebih nilai dalam bentuk digital, Edisi Digital Deluxe menawarkan game penuh bersama pelbagai bonus dalam game: set armor The Snake, pewarna alternatif untuk starting armor, warna eksklusif untuk kuda dan pelana, Charm khas, set Sword Kit berwarna emas, serta akses awal kepada Traveler’s Maps untuk membantu mencari patung yang meningkatkan skil.
Collector’s Edition

Untuk pengumpul dan peminat tegar, Collector’s Edition menyertakan semua kandungan Digital Deluxe dan bonus pra-tempahan, berserta salinan digital permainan. Pakej ini juga hadir dengan pelbagai barangan fizikal yang memikat:
- Replika berskala penuh topeng Ghost milik Atsu (6.8 x 5 x 5.9 inci), diperbuat daripada resin dan lengkap dengan tapak paparan. Ia direka agar serasi dipamerkan bersama topeng dari Ghost of Tsushima Collector’s Edition.
- Replika sash Atsu sepanjang 71 inci dengan nama semua anggota Yōtei Six, sesuai untuk cosplay atau sebagai hiasan unik.
- Replika Tsuba dari katana Atsu, dihiasi dua serigala kembar, berukuran 3 x 3 inci dan turut disertakan dengan tapak paparan.
- Kantung syiling eksklusif berserta arahan Zeni Hajiki, permainan yang turut ditampilkan dalam Ghost of Yōtei.
- Origami pokok ginkgo dengan ukiran serigala di pangkalnya, sebagai simbolik kepada kisah Atsu.
- Empat keping kad seni bersaiz 5 x 7 inci, menampilkan sash, serigala, topeng Atsu, dan ilustrasi utama game ini.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post