Sebagai game pertama dalam francais dengan Goro Majima sebagai protagonis, Like a Dragon: Pirate Yakuza In Hawaii bakal menjadi pengembaraan epik dan tidak terduga yang membawa sekali tenaga liar Majima ke tahap baru.
Dengan dunia terbuka untuk diterokai, pertempuran laut yang sengit, dan kemampuan untuk beralih antara gaya bertarung, game ini menawarkan perspektif baru dalam siri Like a Dragon. Kebetulan kami mendapat cuba demo game ini di Tokyo Game Show, jadi berikut adalah info yang dikumpulkan!

Setelah pertempuran besar bersama Kiryu di Millenium Tower, pengembaraan Goro Majima mengambil arah yang tidak dijangka dalam Like a Dragon: Pirate Yakuza In Hawaii. Enam bulan kemudian, Majima ditemukan terdampar di pantai sebuah pulau terpencil di Hawaii, tanpa ingatan dan bahkan tidak mengetahui namanya sendiri.
Diselamatkan oleh seorang penduduk muda bernama Noah, Majima memulakan pencarian untuk mendapatkan kembali masa lalunya yang dilupakan dan menakluk lautan terbuka seperti seorang yakuza sebenar.
Pelayaran Penuh Huru Hara
Dalam Pirate Yakuza In Hawaii, pemain dapat mengalami sisi liar Majima dalam cara yang benar-benar baru. Game ini memperkenalkan dunia terbuka yang luas di mana anda boleh meneroka perairan sekitar Hawaii, menyusun kru dan meningkatkan kapal untuk menjadi lanun yang paling ditakuti di Pasifik.
Dalam perjalanan, anda akan membina persahabatan, menemukan pulau tersembunyi, dan memperoleh kekayaan yang tidak dapat dibayangkan, sambil berusaha untuk mengumpulkan ingatan Majima yang hilang.

Tetapi tidak semuanya berjalan lancar—kapal lanun musuh sentiasa mengintai, sedia untuk bertarung dengan anda dalam pertempuran meriam yang sengit. Pertarungan ini memaksa anda berfikir dengan cepat, mengelak tembakan musuh sambil memposisikan diri untuk serangan balas.
Setelah kapal musuh dilemahkan, anda boleh menaikinya, yang membawa kepada pergaduhan antara kru dan pertarungan habis-habisan dengan kapten musuh.

Walaiupun bertarung dengan lanun dan memburu harta karun adalah tarikan utama, Pirate Yakuza In Hawaii menawarkan banyak aktiviti lain untuk diterokai. Salah satu mini-game yang saya cuba adalah Dragon Kart—menyerupai game lumba gaya Mario Kart, tetapi dengan sentuhan khas Ryu Ga Gotoku.
Mad Dog vs. Pirate
Salah satu ciri paling menarik dalam game ini adalah kemampuan Majima untuk beralih antara dua gaya bertarung: gaya Mad Dog klasik dan gaya Pirate yang baru. Setiap satu membawa rasa uniknya sendiri dalam pertarungan, menawarkan campuran kelajuan, kuasa, dan pilihan taktikal.
Gaya Mad Dog adalah gaya Majima yang klasik—cepat, lincah, dan huru hara. Majima boleh memanggil klon untuk mengelirukan musuh, bergerak seiring dengan mereka untuk menghasilkan serangan AOE seperti serangan sepak ikoniknya. Gaya ini tentang ketangkasan dan ketepatan, membolehkan anda mengejutkan musuh dan melancarkan serangan yang kuat dan bergaya.

Sebaliknya, gaya Pirate adalah tentang pertarungan jarak dekat dan tipu daya. Majima memakai pedang, dua pedang pendek, dan menggunakan alat lanun lain untuk mengalahkan musuh. Dia juga mempunyai akses kepada grappling hook, yang membolehkannya mendekati lawan atau melompat di belakang mereka untuk serangan mengejut.
Apabila Majima beralih ke gaya ini, dia bertukar kepada kostum lanun sepenuhnya.

Like a Dragon: Pirate Yakuza In Hawaii akan dilancarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series, PlayStation 4, Xbox One, dan PC (Steam, Microsoft Store) pada 28 Februari 2025. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post