Laptop baru MSI Titan 18 HX boleh dikatakan salah satu laptop berkuasa di pasaran buat masa ini pada 2024. Kami rasa ia juga mampu menggantikan desktop dengan spesifikasinya yang hebat, skrin yang besar, keyboard yang selesa dan banyak lagi ciri-ciri lain yang pastinya membuatkan gamer tegar suka. Sudah tentu harganya juga boleh tahan dengan segala ciri-ciri hebat yang hadir dengannya. Ingin tahu betapa berkuasanya laptop ini? Teruskan baca review kami ini!

Reka Bentuk
Reka bentuk casis untuk laptop ini dihasilkan oleh magnesium-aluminium alloy yang menjadikannya kukuh serta memberikan beberapa penambahbaikan padanya. Berbanding kelihatan seperti laptop gamer, MSI Titan 18 HX kelihatan lebih profesional serta minimalis. Dengan lid berwarna hitam berserta logo naga RGB di atasnya, ia tidaklah menarik perhatian sangat. Bahagian belakang casis mempunyai bahagian menonjol yang menempatkan sebahagian daripada sistem penyejukan. Ini membolehkan kipas yang lebih besar dan pengurusan haba yang lebih baik. Walaupun sesetengah orang mungkin mendapati benjolan itu mengganggu, ia mengutamakan fungsi untuk mesin berkuasa.
Dengan pelbagai benda yang dimasukkan pada laptop ini, berat MSI Titan 18 HX boleh tahan juga, dengan seberat 3.6kg. Jadi mungkin agak susah untuk bawanya ke mana-mana.

Paparan
MSI Titan 18 HX mempunyai paparan Mini LED yang sesuai untuk gamer dan pencipta profesional. Tidak kiralah anda berada dalam bangunan atau luar, gamut warna yang terang dan DisplayHDR 1000 pasti tidak akan mengecewakan anda. Ia juga mampu mencapai kecerahan sehingga 1000 nits. Dengan resolusi UHD+ (3840 x 2400) pada aspek ratio 16:10, visualnya juga tajam dan terperinci. Teks yang muncul juga mudah dibaca malah game yang demand juga mempamerkan kesetiaan grafik yang menakjubkan.
Paparannya juga mempunyai refresh rate 120Hz yang mampu memberikan pengalaman yang lancar semasa bermain game kegemaran terutamanya game yang fast-paced. Tidak kiralah anda berada di medan perang, berlumba mahupun berlawan di jalanan, anda akan alami pengalaman tanpa gangguan. Paparan ini juga menawarkan liputan gamut warna 100% DCI-P3, yang hebat untuk kerja kreatif seperti penyuntingan foto dan video. Warna dihasilkan semula dengan ketepatan yang luar biasa, memastikan hasil kerja anda kelihatan sama dengan apa yang anda inginkan.

Keyboard dan Touchpad
MSI Titan 18 HX memaparkan keyboard mekanikal dengan switch Cherry MX Ultra Low Profile, yang memberikan pengalaman menaip yang selesa serta puas hati. Ia juga responsif ketika bermain game malah mempunyai cahaya RGB pada setiap kunci.

Reka bentuk touchpad haptik juga bagus untuk dilihat dan walaupun ia sepatutnya menawarkan pengalaman yang lebih responsif, kami tidak begitu menyukai rasanya dan lebih suka touchpad biasa. Ada kalanya apabila kami cuba mengalihkan fail dan folder, tetapi tiba-tiba terhenti seolah-olah kami melepaskan jari daripada touchpad itu. Sistem pencahayaan RGB itu juga membolehkan penyesuaian yang meluas tetapi ia boleh berasa agak janggal untuk digunakan tanpa pencahayaan tersebut kerana ia sebati dengan casis laptop.

Sistem pencahayaan RGB itu juga boleh ditukar melalui MSI Mystic Light, jadi anda dengan mudah menggunakan warna yang sepadan dengan estetika tersendiri.
Port yang tersedia
Terdapat beberapa port berguna yang anda boleh gunakan pada laptop ini. Berikut adalah senarai port tersebut:
- 2x Thunderbolt 4 (1 x PD3.1)
- 3x Type-A USB3.2 Gen2
- 1x Full size SD card (UHS-III)
- 1x Audio combo jack
- 1x Kensington Lock
- 1x HDMI 2.1 (8K @ 60Hz / 4K @ 120Hz)
- 1 x DC jack
- 1x RJ45

Prestasi
Titan 18 HX dilengkapi dengan Intel Core i9 14900HX dan NVIDIA GeForce RTX 4090 Laptop GPU 16GB GDDR6, yang merupakan kombo luar biasa untuk mana-mana gamer yang mencari pengalaman gaming terbaik. Anda boleh mainkan hampir kesemua game AAA pada tetapi maksimum dan nikmati gameplay yang lancar pada fps tinggi serta resolusi tinggi. Ditambah pula dengan RAM sehingga 192GB dan 4TB NVMe PCIe Gen4x4 SSD, MSI Titan 18 HX memang gergasi hebat untuk menyimpan game, aplikasi serta segala fail anda.
Berikut adalah beberapa ujian benchmark yang telah kami lakukan pada laptop tersebut:
- PCMark 10 : 7382
- 3DMark: 18824
- Cinebench (Multi Core): 1334 pts
- Cinebench (Single Core): 123 pts
Kami telah mencuba tiga game pada laptop ini iaitu Returnal, Street Fighter 6 dan Like a Dragon: Infinite Wealth. Berikut adalah pengalaman bermain kami untuk ketiga-tiga game tersebut.
- Returnal

Gama ini boleh dimainkan degan preset grafik dengan resolusi 2560×1440 dengan framerate uncapped. Menggunakan tool benchmark dalam game itu, kami mampu mendapatkan purata FPS sekitar ~97 FPS dengan beberapa zon mendapat purata setinggi 116 FPS manakala yang paling rendah dalam purata 80 FPS.
- Street Fighter 6

Kami telah mainkan game ini dengan tetapan tertinggi pada resolusi 4k dilaraskan kepada 16:9 (3840×2160) dan mencuba beberapa pusingan, semasa gameplay purata FPS kira-kira 60 FPS dengan beberapa penurunan kecil kepada kira-kira 44 FPS pada beberapa peta atau apabila terdapat banyak kesan visual berlaku pada skrin tetapi secara keseluruhan tiada apa-apa yang akan menjejaskan perjalanan anda menaiki pangkat dalam game.
- Like a Dragon: Infinite Wealth

Kami juga mencuba game ini dengan native 4k resolution (3840×2400) dan tetapan grafik ditetapkan kepada Highest dan tiba di Hawaii, kami disambut dengan prestasi yang kurang ideal. Selepas berjalan di sekitar jalan-jalan di Honolulu dan mencuba beberapa pertempuran, kami mendapat purata ~45 FPS yang boleh mencapai serendah 32 FPS terutamanya di kawasan tertentu di mana terdapat lebih ramai orang. Kalau anda ingin mendapatkan 60 FPS yang lebih stabil, nampaknya anda kena ubah sedikit tetapan game.
Satu perkara yang kami perasan sepanjang ujian benchmark, di bawah beban yang berat, laptop boleh menjadi agak panas dan bunyi kipas juga menjadi sangat kuat. Walau bagaimanapun, secara keseluruhan ia merupakan pengalaman yang sangat memuaskan kerana dapat mainkan game yang paling demand pada resolusi 4k dan 60 FPS yang stabil.
Hayat Bateri
Mementingkan kuasanya semasa digunakan, laptop ini mempunyai bateri 99Wh yang besar tetapi nampaknya ia tidak mampu bertahan lama dengan komponen-komponen yang dahagakan kuasa. Anda boleh gunakan dalam 2 – 3 jam semasa bermain game atau menggunakan perisian profesional. Kalau anda hanya melayari internet, menonton video atau menggunakan apilkasi produktiviti pada tetapan kuasa yang rendah, anda boleh gunakannya sehingga 4 jam.
MSI Titan 18 HX merupakan pengganti desktop dan bukanlah workstation mobile. Jadi kalau anda mencari laptop gaming berkuasa untuk digunakan di mana-mana sahaja, mungkin anda perlu mencari pilihan lain yang mempunyai keseimbangan lebih baik pada prestasi dan hayat bateri.

Kualiti Audio
Laptop ini mempunyai dua speaker yang terletak pada sisi keyboard dan dua di bawah laptop dengan dua subwoofer. Ia masih mampu memberikan audio yang kuat tetapi ia tidaklah begitu jelas malah ia kekurangan bass. Memandangkan laptop ini direka sebagai pengganti dekstop, mungkin ramai yang menggunakan headphone mahupun speaker external untuk pengalaman audio yang lebih imersif.
MSI Center
MSI Titan 18 HX hadir dengan aplikasi MSI Center, di mana anda boleh menguruskan serta menambahbaik pengalaman gaming anda. Anda boleh memantau perkakasan anda termasuk penggunaan CPU, GPU, cakera, penggunaan memori, suhu, kelajuan jam, kelajuan kipas dan banyak lagi. Anda juga boleh melaraskan prestasi sistem anda untuk memenuhi keperluan dan pilihan anda seperti gaming, penjimatan bateri atau operasi senyap. Anda juga boleh mengubah pencahayaan untuk produk Mystic Light serta selaraskan aksesori pencahayaan yang serasi menggunakan Ambient Link.
Apabila anda menghidupkan MSI AI Engine melalui MSI Center, sistem ini boleh mengesan senario pengguna menggunakan AI serta melarasnya kepada tetapan yang sesuai seperti prestasi, cahaya keyboard, mode audio dan lain-lain. Pengguna juga boleh menambah aplikasi kepada beberapa mode berbeza dan mengubah kepada mode sesuai apabila melancarkan aplikasi pada masa lain.
Kesimpulan
Tidak disangkal lagi bahawa MSI Titan 18 HX merupakan gaming laptop yang berkuasa serta menawarkan prestasi yang mantap, paparan yang menawan dan kualiti yang kukuh. Tetapi harganya pula terlampau tinggi dan mungkin menjadi masalah untuk orang ramai mendapatkannya. Dengan harga bermula RM 21,499, rasanya ramai yang rasakan bahawa mereka boleh menghasilkan sendiri desktop yang lebih berkuasa berbanding laptop ini.

Jika anda ingin yang terbaik daripada pengalaman gaming anda dan mudah alih bukanlah sesuatu yang membimbangkan, Titan 18 HX tidak akan mengecewakan anda. Tetapi bagi kebanyakan pemain, pilihan yang lebih berpatutan dengan spesifikasi yang sedikit lebih rendah mungkin merupakan pilihan yang lebih munasabah.
Untuk mendapatkan segala liputan mengenai produk MSI daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post