Francais Fate telah pun mendapat game batu iaitu Fate/Samurai Remnant, yang dibangunkan oleh Omega Force di bawah Koei Tecmo dengan kerjasama Type-Moon. Kami pasti ada yang ingin memainkan game ini, tetapi risau tidka memahami konsep Fate yang dikatakan rumit untuk peminat baru. Tetapi bagi kami, game baharu ini tidaklah begitu berat untuk seseorang mulakan kerana ia bukanlah terikat dengan mana-mana siri Fate sedia ada. Ingin tahu lebih lanjut, teruskan baca review kami untuk Fate/Samurai Remnant!
Naratif yang mesra buat semua pemain
Saya pasti ramai yang takut untuk bermain game Fate kerana risau tidak memahami context serta lore yang sudah terbina dalam siri. Tetapi untuk Fate/Samurai Remnant, anda tidak perlu risau mengenainya. Anda akan masih diperkenalkan kepada beberapa maklumat serta watak-watak yang muncul dalam game. Buat peminat veteran, saya pasti anda juga akan suka kepada naratifnya.

Fate/Samurai Remnant membawa kita ke zaman Keian Jepun dan memperkenalkan kita kepada protagonis, Miyamoto Iori. Dia merupakan anak murid kepada Miyamoto Musashi, jadi memang tidak pelik jika dia seorang pengguna pedang yang hebat. Tetapi suatu hari dia sengaja tidak sengaja terjebak dengan satu konflik yang dipanggil Waxing Moon Ritual dan akhirnya menjadi salah seorang Master dalam ritual tersebut. Bersama servantnya, Saber, mereka akan melawan master lain untuk mendapatkan kuasa yang boleh memenuhi sebarang hajat.
Pada mulanya, Iori memang tidak tahu menahu tentang perkara yang berlaku ke atas dirinya. Tetapi dengan cerita semakin progress, lebih banyak perkara yang telah didedahkan. Sudah tentu kita juga akan mengetahui identiti servant yang muncul dalam game ini termasuklah Saber.

Tamat sahaja bermain, jangan lupa untuk mainkan New Game+ kerana game ini menyediakan sehingga 3 ending lain untuk anda buka. Untuk pengetahuan anda, ending ini juga dipengaruhi dengan pilihan yang anda buat dalam game, jadi pastikan anda save dahulu sebelum anda menyesal nanti.
Combat yang perlukan sedikit strategi
Tidak dinafikan yang combat game ini ada meletakkan formula musou didalamnya, tetapi saya rasa ia lebih kepada combat hack and slash. Kalau main dengan button smashing sahaja, memang anda akan susah untuk menang sebenarnya. Anda perlukan fikir mengenai serangan yang anda ingin lepaskan, melihat pattern serangan musuh, mengelak, menghalang serangan musuh dan banyak lagi perkara. Inilah yang akan memberikan lebih banyak damage kepada musuh. Anda juga tidak akan membazirkan banyak item kalau berlawan dengan betul.

Tetapi sudah tentu kesukarannya berbeza mengikut difficulty yang anda pilih. Terdapat tiga difficulty yang boleh dipilih iaitu: Sword Novice, Sword Fighter dan Sword Expert. Kalau anda rasa tidak mampu untuk hadap difficulty yang susah dan hanya nak alami penceritaannya, ambil sahaja difficulty yang paling senang.
Pada permulaan game, Iori sebenarnya agak lemah tetapi semakin lama anda progress, terdapat banyak skill dan Sword Stance yang boleh digunakannya. Iori mempunyai dua stance sebagai permulaan iaitu Earth dan Water. Masing-masing memberikan playstyle yang berbeza. Sebagai contoh, Water membolehkan Iori untuk menyerang lebih ramai musuh serta mempunyai range yang lebih luas manakala Earth pula lebih kepada pertahanan dan mudah untuk counter-attack musuh. Semasa menukar stance, Iori akan diberikan buff sementara jadi kenalah gunakannya sebaik mungkin.

Terdapat juga satu gauge bernama “Valor Gauge” yang membolehkan Iori untuk memberikan satu serangan hebat “Valor Strike”, lebih kurang seperti Ultimate attack. Tetapi gauge ini mengambil masa yang agak lama untuk penuh. Memang tidak berbaloi akan anda memakainya untuk mengalahkan musuh-musuh kecil sahaja.
Selain daripada pedang, Iori juga mampu menggunakan magecraft dan membolehkannya untuk menggunakan spell biasa yang akan menggunakan magic gem yang dikumpul. Sejujurnya, agak susah untuk kumpul gem dengan banyak. Jadi rancang elok-elok sebelum menggunakannya. Seeloknya anda gunakan sahaja gem tersebut apabila melawan boss nanti.

Paling best sekali, Iori tidak akan berlawan berseorangan kerana dia akan ditemani oleh Saber dan servant lain yang turut membantu. Dengan menggunakan Link Strike, anda boleh memberikan arahan kepada Saber untuk menyerang. Anda juga boleh melakukan serangan bersama-sama menggunakan sistem tersebut. Kadang-kadang Saber juga akan memanggil anda untuk melakukan serangan bersama-sama.

Bukan setakat itu sahaja, anda juga boleh bermain sebagai servant! Anda boleh berlawan sebagai servant pilihan dalam masa terhad apabila Link Gauge penuh. Daripada sini lebih banyak cara yang anda boleh gunakan untuk mengalahkan musuh kerana setiap servant mempunyai serangannya tersendiri. Sudah tentu anda boleh menghasilkan gabungan serangan yang menarik nanti.
Bila lawan dengan Servant ataupun musuh yang lebih besar, mereka akan mempunyai “shell” yang mampu dimusnahkan menggunakan Magic Gem, Stance Attack ataupun serangan oleh Servant. Ia bukan satu masalah besar untuk memusnahkannya tetapi saya rasa ia mengambil masa yang agak lama untuk dimusnahkan. Letih juga nak hadap banyak musuh sebegini.

Dengan segala combat yang flashy dan laju serta kepelbagaian serangan, memang terasa puas betul semasa melawan musuh. Walaupun kekadang terasa seperti agak berulang tetapi saya tidak terasa bosan langsung semasa bermainnya.
Skill & Maintenance senjata
Seperti yang saya sebutkan dalam combat, Iori dapat menambahkan skill untuk menjadikannya lebih kuat. Kesemua skill ini boleh dibuka melalui Skill Tree dengan menggunakan Skill Point. Yang menariknya, Skill Point ini kebanyakkannya boleh didapatkan melalui penerokaan, side quest dan pelbagai lagi. Jadi jangan lupa untuk jenguk segala side quest yang tersedia kalau anda ingin membuka semua skill yang ada. Agak licik juga cara pembangun untuk membuatkan pemain melakukan side quest ini.

Bukan Iori seorang sahaja yang mempunyai Skill Tree. Setiap servant yang anda ada mempunyai skill tree tersendiri. Ia juga penting untuk anda buka kerana ada antara skill Iori yang terikat dengan skill tree servant. Bunyi macam leceh, tetapi apa kan daya. Nasib baik cara bukanya tidak begitu rumit. Anda hanya perlu kalahkan seberapa jumlah musuh yang diperlukan atau pun gunakan sahaja skill point.

Pedang anda juga perlulah di maintenance. Dengan melakukan maintenance anda boleh mendapatkan bonus kepada EXP anda. Ia seperti mini game, di mana anda perlu hentikan gegelung dalam bulatan. Memang santai sahaja cara maintenance ini.
Penerokaan & Leyline
Dunia Fate/Samurai Remnant sememangnya cantik dan seronok untuk diterokai, lebih-lebih lagi di dalam bandar. Anda boleh berinteraksi dengan NPC lain, mengutip item, singgah ke kedai untuk membeli barang, melihat status side quest dan tidak dilupakan membelai kucing dan anjing yang anda jumpai!

Kadang-kadang anda akan melencong daripada quest kerana Saber menjumpai sesuatu yang menarik. Jadi kita layankan sahaja servant kita itu. Anda juga boleh terserempak dengan sekumpulan samseng atau raksasa. Jadi anda akan terus masuk ke dalam combat dan seperti biasa menumpaskan mereka semua.
Sepanjang berjalan-jalan di bandar ataupun dalam combat, kita akan ditemani dengan muzik latar yang hebat. Ianya sangat sesuai untuk setiap suasana dan boleh terasa kontrasnya antara satu sama lain. Bukan setakat itu, muziknya juga berubah mengikut jenis musuh yang anda lawan!

Tambahan kepada gameplay adalah Leylines yang tersedia pada peta Spiritual Lands. Ia seakan-akan mini-game turn based di mana anda perlu connect dan mengambil alih mode bernama Spirit Font. Kalau anda bertembung dengan musuh, maka anda akan mulakan battle. Anda boleh mendapatkan boost pada stat anda apabila anda selesai sesi Leyline. Penambahan Leyline ini sememangnya membuatkan penerokaan lebih menyeronokkan.

Kesimpulan
Fate/Samurai Remnant sememangnya sebuah entri yang baik serta penambahan yang hebat kepada siri Fate. Bukan sahaja kita dapat melihat kolaborasi menarik daripada Type-Moon dan Omega Force, ia juga memberikan pengalaman yang jauh berbeza daripada game Fate yang lain.

Hadir dengan kandungan yang banyak, combat yang flashy, art style menawan dan penerokaan yang menyeronokkan, memang berbaloi untuk anda habiskan masa untuk game ini. Jadi kalau anda seorang peminat Fate atau pun mereka yang mencari game action RPG baharu untuk dimainkan, saya sangat-sangat recommend akan untuk bermain Fate/Samurai Remnant.
Fate/Samurai Remnant sudah tersedia pada PS5, PS4, Nintendo Switch dan PC melalui Steam. Untuk dapatkan berita lain mengenai game ini daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Fate/Samurai Remnant
PROS
- Banyak kandungan untuk diterokai
- Mekanik combat dan Spirit Font yang menyeronokkan
- Rekaan dunia dan watak yang menawan
CONS
- Pacing cerita yang agak perlahan
- Combat kadang-kadang mengambil masa yang lama untuk tamat
Discussion about this post